Sunday, June 20, 2010

Kisah Usahawan 2 - Pengorbanan

Kadang-kala pengorbanan yang dilakukan memberi makna yang amat besar ertinya di dalam kehidupan kita. Ia terpaksa dilakukan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh supaya apa yang dilakukan itu mencapai sasarannya dan dapat dikecapi kejayaannya.

Cerita pengorbanan seorang usahawan yang berjaya amat menarik minat saya untuk dikongsi bersama. Apatah lagi pengorbanan yang dilakukannya itu boleh dijadikan contoh teladan kepada bakal-bakal usahawan untuk berjaya di dalam bidang perniagaan. Ia bermula apabila beliau bertekad untuk menceburkan diri di dalam satu perniagaan baru di mana beliau tiada langsung pengetahuan dan pengalaman mengenainya tetapi yakin dengan potensi yang ada pada bidang perniagaan tersebut. Bidang perniagaan yang dimaksudkan itu ialah kek dan roti. Bidang ini adalah sama sekali berlainan dengan bidang pembinaan yang sedang diceburinya sekarang.

Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan bagi memastikan apa yang diimpikan itu menjadi kenyataan. Strategi yang berkesan terpaksa dirancang dan diatur termasuk melakukan pengorbanan yang memberi kesan yang mendalam di dalam kehidupannya sekarang yang boleh dibanggakan. Di antaranya ialah beliau telah meminta isterinya yang pada masa itu masih mempunyai anak kecil supaya mengikuti satu kursus membuat kek dan roti di satu kolej yang ternama di Kuala Lumpur.


Selepas mengikuti kursus tersebut selama setahun, beliau meminta isterinya pula bekerja sementara di beberapa kedai kek dan roti yang berprestij di sekitar Kuala Lumpur untuk menimba pengalaman dan mengetahui rahsia kejayaan mereka di dalam bidang tersebut. Kadang kala beliau terpaksa menjaga anak kecilnya dan membuat kerja rumah di kala isterinya sedang bekerja demi untuk memastikan rancangannya berhasil. Banyak wang terpaksa dilaburkan termasuk melantik perunding yang boleh merealisasikan impiannya untuk membuka sebuah kedai kek dan roti yang dapat memenuhi selera pelanggan.

Akhirnya strategi dan pengorbanan yang telah dilakukan menampakkan kejayaan apabila beliau dan isterinya telah membuka beberapa kedai kek dan roti di seluruh negara. Persoalannya adakah anda sanggup berbuat demikian bagi memastikan impian tercapai ?

Sunday, June 6, 2010

Kisah Usahawan 1 - Kelainan

Saya telah pergi ke satu pasar untuk mencari barang keperluan seperti daging, sayuran dan buah-buahan. Jumlah peniaga yang terlalu banyak menjual barang keperluan yang sama amat menyukarkan saya untuk membuat pilihan gerai yang mana satu hendak dipilih.

Situasi ini membuatkan saya mundar-mandir beberapa kali di sekitar pasar tersebut untuk memilih gerai yang sesuai. Di kala itu juga saya cuba memikirkan apakah kriteria yang boleh dibuat supaya senang saya membuat keputusan gerai yang mana satu hendak dipilih.

Akhirnya secara tidak sengaja saya tertarik dengan satu gerai yang menampakkan kelainan yang ditonjolkan terhadap barangan keperluan yang dijual. Saya singgah di gerai buah tersebut kerana tertarik dengan buah-buahan yang diletakkan di atas meja masih lagi mempunyai daun dan tangkai. Ia mengambarkan seolah-olah buah tersebut masih segar dan baru dipetik dari dusun. Lantas saya terus membuat keputusan untuk membeli buah-buahan di gerai tersebut.

Setelah itu saya menuju ke bahagian gerai yang menjual daging pula. Masalah yang sama menimpa saya iaitu jumlah gerai yang terlalu banyak menjual barangan yang sama amat menyukarkan saya untuk membuat pembelian.

Dicelah-celah gerai yang menjual daging lembu, ikan dan ayam itu, saya terlihat satu gerai yang menjual itik sekati. Bila saya perhatikan tiada satupun gerai yang menjual itik sekati selain daripada gerai tersebut. Ramai juga pelanggan yang singgah dan membeli itik sekati di gerai tersebut.

Daripada dua peristiwa ini saya terfikir bahawa sebagai usahawan kita hendaklah menonjolkan sesuatu kelainan terhadap barangan yang hendak dijual daripada orang lain supaya pelanggan tertarik dengan apa yang kita tawarkan.

Friday, May 28, 2010

Kaunseling

Bersama kaunselor tersohor di Malaysia, Haji Hushim Salleh.


Salah satu sesi kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor secara amali.

Setiap orang tidak boleh lari dari berhadapan dengan masalah. Boleh dikatakan sebahagian dari hidup ini dihabiskan untuk menyelesaikan masalah, tidak kira sama ada masalah itu besar atau kecil. Kita juga tidak dapat menduga masalah yang akan menimpa diri ini. Lagi besar masalah, lagi tinggi tekanan perasaan yang akan ditanggung, dan lagi cepat pula ia perlu diselesaikan. Kekadang belum sempat kita menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi, datang pula masalah lain yang juga perlu diberi perhatian dan diselesaikan sebaik mungkin.

Kesan daripada memikul bebanan masalah amat dahsyat sekali sehinggakan ada orang sanggup melakukan apa saja bagi menghilangkan masalah dalam dirinya. Kadang-kadang tindakan yang diambil itu adalah di luar jangkaan kita sama sekali seperti membunuh diri, amuk, murung yang berpanjangan dan minum racun. Mereka mengambil jalan mudah dan singkat setelah gagal mengawal masalah yang dihadapi dalam dirinya.

Setiap masalah mesti diselesaikan dengan segera dan ditangani dengan bijak. Sesuatu mesti dilakukan bagi mengurangkan stres. Jangan biarkan ia terus menguasai diri. Situasi ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja atau dipendam terlalu lama. Malah ia perlu diredakan bagi mengelakkannya dari terus merebak menjadi ‘barah’ yang sukar diubati. Berdepan dengan masalah secara matang dan profesional merupakan satu kemestian jika kita sayangkan diri kita sendiri dan juga orang lain.

Salah satu kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang menyelubungi diri ialah kaunseling. Ia bukan merupakan satu perkara baru dalam dunia psikologi. Sesetengah orang berpendapat kaunseling merupakan satu cara terbaik dalam membantu kaunseli untuk meluahkan tekanan perasaan yang sedang dihadapinya. Kaunseling akan membuka ruang yang lebih luas kepada kaunseli untuk memberitahu apa saja hal yang bersangkutan dengan masalah yang dihadapinya. Oleh sebab itulah salah satu kaedah terbaik semasa sesi kaunseling dijalankan ialah kaunselor hendaklah menjadi pendengar yang aktif dan tajam pemikirannya. Beliau hendaklah fokus terhadap setiap isu masalah yang disampaikan oleh kaunseli. Dalam kaunseling ia dikenali dengan fasa penerokaan. Selepas semua punca masalah telah dianalisa dan dikaji dengan mendalam, kemudian barulah kita boleh membincangkan alternatif terbaik yang mampu dilakukan oleh kaunseli. Kaunselor hendaklah membina ‘perhubungan’ yang kuat dan menanam kenyakinan yang tinggi dengan kaunseli terlebih dahulu sebelum proses kaunseling dapat dimulakan. Hanya dengan cara ini saja kaunseli boleh memberi kepercayaan penuh dan meletakkan harapan yang tinggi kepada kaunselor untuk membantunya.

Ilmu kaunseling perlu dimiliki oleh setiap orang dalam memastikan mereka mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah dirinya dan orang lain. Apabila semua teknik telah dipelajari maka kita hendaklah mempraktikkannya dengan menawarkan diri untuk membantu orang lain yang sedang dilanda musibah. Apakah reaksi kita jika ada rakan kita atau orang lain yang mengadu tentang masalah yang melanda dirinya sedangkan kita amat ceteh dalam ilmu kaunseling ? Mungkin kita bertuah pada masa ini kerana tanpa kita sedari ada orang yang sentiasa menyokong dan membantu kita berhadapan dengan masalah lalu. Maka tibalah giliran kita pula untuk menolong orang lain yang mungkin dengan bantuan yang diberikan itu maka ia akan memberi satu perubahan yang besar di dalam diri kaunseli. Ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup adalah lebih utama dari segala-galanya.

Monday, May 24, 2010

Cemas

Cara membalut apabila ditimpa kecederaan.

Salah satu cara mengangkat dan mengalihkan mangsa yang tercedera.

Cara membuang sesuatu dari saluran pernafasan bayi.

Cara betul melakukan CPR.

CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) - Nampak mudah tetapi sukar apabila mengalaminya sendiri.

Cara membuang sesuatu yang tersekat di saluran pernafasan

Apakah yang patut anda lakukan bila melihat orang pengsan di depan mata ? Sebelum menjawab soalan ini, saya ingin bertanya apakah perasaan anda apabila tiba-tiba ada orang pengsan di hadapan anda ? Apakah yang sedang terlintas di fikiran anda ketika itu ? Jika anda tidak panik dan tidak turut pengsan bersamanya, apakah yang anda rasa cara terbaik bagi menyelamatkannya ?

Antara masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat Malaysia ialah mereka tidak tahu bagaimana mangsa boleh diselamatkan jika berlaku kecemasan seperti pengsan, keracunan, kemalangan, sawan, pendarahan, kejutan elektrik, melecur, lemas, tercekik sesuatu dan sebagainya. Apa yang biasa dilakukan oleh mereka ialah dengan meminta bantuan ambulans yang entah bila tiba atau membawanya terus ke hospital yang kadang-kadang mengambil masa yang lama untuk sampai. Tahukah anda bahawa bantuan serta-merta yang diberikan oleh anda mungkin boleh menyelamatkan nyawanya ? Adakah anda akan menyalahkan ambulans yang lewat tiba di tempat kejadian menyebabkan kematiannya sedangkan anda tidak berbuat apa-apa pun terhadap mangsa tersebut untuk cuba menyelamatkannya ketika itu ?

Saya telah berkesempatan menghadiri satu kursus pertolongan cemas yang diadakan di tempat kerja saya. Setelah mengikutinya, saya mulai sedar bahawa betapa pentingnya peranan orang yang menyaksikan kejadian kecemasan, dengan serta-merta mesti menyelamatkan mangsa dengan menggunakan kaedah yang betul. Ini adalah penting kerana sistem pernafasan manusia adalah terlalu sensitif dan kritikal. Jika terganggu maka ia boleh menyebabkan mangsa boleh mati setelah bertarung dengan nyawanya sendiri dalam beberapa minit sahaja. Oleh itu tidak keterlaluan untuk saya nyatakan bahawa berkemungkinan besar nyawanya terletak di tangan kita ketika itu untuk menyelamatkannya sebelum ambulans tiba.

Saya menyeru agar setiap orang mempunyai kemahiran ini dalam memastikan mereka tidak panik dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila seseorang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan dengan segera. Suatu hari nanti mungkin ada orang memerlukan bantuan kita dan begitulah sebaliknya. Ingatlah peluang untuk hidup hanya sekali.



Monday, May 17, 2010

Cikgu

“Selamat hari guru..you are the best..thanks for everything.” Begitulah sms yang saya terima daripada salah seorang bekas pelajar saya yang berada di alam pekerjaan. Saya tergaman dan berfikir sejenak apabila membaca sms tersebut lantas membalasnya, “Saya tak terasa sangat dengan sambutan ini sebab saya bukannya guru yang sebenar, cuma ia mengingatkan guru yang pernah mengajar saya.”

Antara guru yang masih saya ingat sampai sekarang ialah guru yang mengajar Bahasa Malaysia iaitu Cikgu Noordin semasa saya di tingkatan 2. Cikgu Noodin adalah antara cikgu yang paling digeruni di sekolah saya pada masa itu kerana ketegasannya di dalam mengajar subjek tersebut. Saya masih ingat lagi di mana beliau telah mewajibkan setiap pelajarnya membeli Dewan Siswa pada setiap bulan dan mesti mengkhatamkannya dalam masa 2 minggu. Selepas tempoh tersebut, beliau akan bertanyakan beberapa soalan kepada sesiapa saja berkenaan dengan sebarang isu di dalam Dewan Siswa tersebut. Hukuman akan dikenakan jika pelajar tersebut gagal menjawab soalan yang ditanya oleh beliau. Setiap kali ada saja kawan-kawan saya yang kena denda kerana tidak membeli, terlupa bawa atau tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan. Oleh kerana terlalu gerun dengan cara guru ini, maka saya sentiasa memaksa diri menelaah Dewan Siswa dengan tekun bagi mengelakkan hukuman yang dikenakan oleh beliau.

Cara beliau mengajar subjek ini telah memberi kesan yang amat mendalam buat diri saya. Sejak dari itu saya mula merasa seronok melakukan aktiviti membaca terutama sekali semasa mengisi masa lapang. Saya bukan sahaja membaca Dewan Siswa seperti yang dikehendakinya malah turut membaca apa saja bahan yang berada di depan mata. Natijahnya saya bukan sahaja mendapat keputusan yang cemerlang di dalam setiap peperiksaan bagi subjek Bahasa Malaysia, malah ia telah berjaya memupuk dan menyemai satu amalan yang baik di dalam kehidupan saya iaitu budaya membaca yang telah lama diamalkan oleh rakyat di negara maju. Kini saya begitu yakin bertutur dan menulis di dalam Bahasa Malaysia kesan daripada budaya membaca yang diamalkan sejak diajar oleh Cikgu Noordin. Saya mula menyedari bahawa hanya dengan membaca, menulis dan bertutur sahaja cara yang paling berkesan dalam mempelajari sesuatu bahasa. Tanpa melalui proses ini saya mungkin tidak minat dan tidak fasih menulis di blog seperti hari ini.

Apa yang dapat saya jelaskan di sini ialah sesuatu tindakan atau cara yang kecil itu kadang-kala cukup signifikan di dalam merubah pemikiran, sikap dan tingkahlaku seseorang sehingga boleh mempengaruhi cara hidupnya hingga akhir hayatnya. Saya merasakan bahawa cikgu seperti inilah yang sepatutnya menerima sms yang dihantar kepada saya oleh bekas pelajar saya itu. Cuma timbul persoalan di sini adakah perkara yang sama berlaku ke atas bekas pelajar saya itu yang menyebabkan beliau bertindak menghantar sms kepada saya ? Terasa diri ini terlalu kerdil untuk menerima ucapan sedemikian jika dibandingkan dengan jasa Cikgu Noordin terhadap saya. Mudah mudahan cara saya sedikit sebanyak memberi kesan positif dalam membentuk peribadi beliau walau sekecil zarah sekalipun.

Begitulah kisah yang boleh dikongsi bersama sempena sambutan hari guru pada tahun ini. Selamat hari guru Cikgu Noordin. Selamat hari guru buat semua cikgu.

Friday, May 14, 2010

1harapan

"We need to have people who can debate, think out of the box, get out of the comfort zone, and articulate their thoughts."

- Wan Maimunah Wan Abdullah, the first women president in the history of the Institute of Surveyors Malaysia.

Sunday, May 9, 2010

Holistik

Bersama pemilik majalah USAHAWAN SUKSES, Mimi Salleh.

Muka depan majalah JUTAWAN.
Bersama Hajah Rohani semasa sessi autograf buku beliau.

Bersama pemilik majalah JUTAWAN, Dato' Stapa.

Muka depan majalah USAHAWAN SUKSES.

“Dari usahawan untuk usahawan”. Begitulah ungkapan yang saya tujukan khas kepada 3 orang usahawan yang telah mencurahkan pengalaman, ilmu dan ciri-ciri keusahawanan yang ada dalam diri masing-masing dalam bentuk buku atau majalah untuk tatapan umum dan juga mereka yang terlibat secara langsung di dalam bidang keusahawanan. Saya telah berkesempatan mengikuti sesi motivasi keusahawanan yang diberikan oleh ketiga-tiga usahawan tersebut baru-baru ini.

Usahawan pertama ialah pemilik kepada majalah “USAHAWAN SUKSES”, Mimi Salleh yang juga merupakan usahawan dalam bidang internet dan media baru. Usahawan kedua pula ialah penerbit majalah “JUTAWAN” yang dimiliki oleh Dato’ Stapa Hj Omar iaitu tokoh usahawan jualan langsung, DCL, dan yang terakhir sekali ialah Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir, usahawan yang memiliki syarikat perundingan di dalam bidang kewangan. Beliau telah menulis beberapa buah buku yang berkisar mengenai pengurusan kewangan.

Setelah membaca kedua-dua majalah “USAHAWAN SUKSES” dan “JUTAWAN”, saya mulai sedar bahawa ia bukanlah majalah sembarangan seperti majalah-majalah lain yang berada di pasaran. Ini kerana ia diterbitkan oleh mereka yang bukan sahaja tahu mengenai teori ilmu keusahawanan, malah juga merupakan pengamal kepada bidang keusahawanan itu sendiri. Penerbitnya mengetahui cerita apa yang patut disiarkan dan tahu apa yang ingin diketahui oleh masyarakat usahawan. Ia adalah ciri-ciri majalah yang bermutu dan patut dibaca oleh orang yang menyintai dunia keusahawanan. Setelah menemui kedua-dua usahawan tersebut, saya bertekad untuk melanggan majalahnya secara bulanan kerana ia memenuhi ‘citarasa’ saya dan mempunyai beberapa keistimewaan tertentu.

Secara peribadi saya membuat kesimpulan bahawa majalah tersebut mempunyai roh keusahawanan yang tinggi. Ini kerana ia bukan saja padat dengan isu, cerita, idea, maklumat dan peluang dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, malahan juga mampu menyuntik semangat dan motivasi diri supaya fikiran dan tindakan kita sentiasa segar dan terarah dalam membentuk jati diri seorang usahawan tulen serta boleh memupuk satu budaya atau cara hidup yang mempunyai nilai-nilai keusahawanan secara berterusan dan menyeluruh.

Sunday, April 25, 2010

Keikhlasan

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak mengampu orang atas. Fokus saya kepada kerja sahaja.


“Kakak ada berapa orang anak?” Sengaja saya bertanyakan soalan di luar kotak tajuk perbincangan agar ketegangan dapat diredakan.
“Oh ramai encik.”

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam hidup masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malahan salah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya lagi ?”
“Tanyalah encik.” ujar kakak itu sambil tersenyum.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana satu yang kakak pilih?”
Dengan pantas kakak itu menjawab, “Hati ibu encik,tentulah saya pilih anak-anak saya ‘menjadi’ walaupun tidak dinaikkan gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran.” kata saya.
“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang berjaya.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik.”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?” tanya kakak ingin kepastian.

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, sesiapa yang memberi kebaikan maka akan dibalas dengan kebaikan.”
Kakak itu termenung sejenak memikirkan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan keluarganya.
“Kita buat baik kepada A, tetapi bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi mungkin B atau C atau D yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku di dalam kehidupan ini.”

“Jadi kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersia-siakan?” tanya kakak itu lagi.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah itu Maha Kaya dan Maha Pengasih, sesiapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”ujar kakak memberi pandangan.

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup dan akan dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah, isteri yang taat atau suami yang setia, dan paling penting ialah hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal ini?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos kita tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “CEO”. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana kita tidak mendapat penghargaan.”
“Maksud encik?”

“Jangan mengharapkan terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa sampai begitu sekali encik?”
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya tetapi Allah tetap memberi kepada hambanya. Siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”

“Ah, kita terlalu ego.”

Itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan iaitu, orang ikhlas tertindas ?

Monday, April 12, 2010

Mencari Makna Kehidupan

Di awal pagi yang hening
aku bangkit di alam kehidupan mati
hanya bertemankan sepi
yang mengasyikkan jiwa
lantas aku bersujud
memohon restu ilahi
agar hidup dirahmati

Di waktu pagi yang indah
terpancar sinar sang suria
menerangi seluruh alam
dan di waktu itulah
aku menelusuri amanah
dengan sepenuh hati
mendidik anak bangsa
yang tercinta

Dinihari yang semakin suram
aku mendaki gunung
aku meredah onak
supaya keluar titisan peluh
untuk aku terus kuat
menongkah arus yang menggila
dengan jiwa yang tenteram

Di malam yang gelap gelita
bergemerlapan cahaya metafora
yang mengizinkan manusia
untuk terus mengganas
tapi aku
hanya bertemankan cahaya bulan
yang menyuluh hidupku
untuk muhasabah diri
supaya tidak diulangi lagi
kesilapan lalu

Setiap detik yang dilalui
aku sentiasa mencari
makna kehidupan yang sebenar
dalam meniti hari esok
dengan penuh keyakinan
keikhlasan dan ketakwaan

Saturday, April 10, 2010

Persaingan

Usahawan Siswazah yang telah berjaya dihasilkan melalui program keusahawanan universiti.


Deretan premis yang membuktikan persaingan sengit yang terpaksa ditempuhi.

Di dalam bisnes, keuntungan merupakan satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh setiap usahawan. Dengan keuntungan yang diperolehinya maka ia sudah tentu akan mempercepatkan lagi proses mendapatkan balik modal yang telah dilaburkan.

Akan tetapi bukan semua harapan akan menjadi kenyataan. Bisnes tidak menjanjikan keuntungan semata-mata. Kadang-kala ia turut mengundang kepada kerugian, bab kata pepatah ‘Di sangkakan panas sampai ke petang, tiba-tiba hujan di tengahari’. Malahan ada kalanya kerugian yang dialaminya amat berat untuk diterima kerana dirasakan mustahil untuk mendapatkan balik modal yang telah dilaburkan itu. Bayangkan jika modal yang digunakan itu adalah pinjaman yang dibuat daripada rakan taulan, sanak-saudara atau pihak bank, maka ini sudah tentu akan membuatkan dirinya menjadi lebih tertekan kerana terpaksa membayar hutang yang entah bila dapat dilangsaikannya. Ini tidak termasuk lagi hutang dengan pembekal dan pemilik premis tersebut. Pada saat ini, usahawan memerlukan satu kekuatan dalaman yang sangat tinggi untuk bangkit kembali. Hanya berbekalkan jiwa keusahawanan yang kental sahaja dapat membuatkan dirinya terus berdiri mengharungi musibah yang melanda.

Antara punca yang menjadi penyebab kegagalan di dalam perniagaan ialah faktor persaingan yang kita sendiri tidak menduganya telah memberi satu tamparan yang hebat sekali sehingga menjejaskan bisnes dan motivasi diri jika ia gagal ditangani dengan bijak. Apatah lagi pesaing-pesaing yang sedia ada sudah lama bertapak di situ dan telah mempunyai pelanggan tetapnya sendiri. Bayangkan jika terdapat 200 orang pelanggan yang datang dan tiada seorang pun yang hendak masuk ke premis kita, apakah perasaan kita ketika itu ? Teruk sangatkah premis kita sehingga membuatkan mereka enggan masuk ke sini ? Semuanya menuju ke premis-premis pesaing kita yang masing-masing mempunyai kelebihan dan keunikannya tersendiri.

Ini sudah tentu akan menimbulkan satu situasi yang mencemaskan jika ia terus berlarutan. Ini ditambah lagi dengan keyakinan diri kita bahawa tempat yang dipilih merupakan satu lokasi yang berpotensi untuk mendapatkan keuntungan setelah kajian ilmiah dibuat. Fikiran kita akan sentiasa cuba mencari punca kenapa berlakunya sedemikian walaupun keputusan terbaik telah pun dibuat.

Apakah tindakan kita selanjutnya jika ia terus berlarutan begini ? Adakah kita ingin menutup bisnes ini bagi mengurangkan kerugian ? Atau adakah kita tidak mahu menyerah kalah dan memikirkan beberapa strategi baru bagi menarik pelanggan datang ke gerai kita ? Setiap strategi baru yang ingin dilaksanakan sudah tentu memerlukan kos yang tinggi untuk merealisasikannya sedangkan modal sedia ada yang telah dilaburkan itu pun masih belum menampakkan apa-apa petanda untuk mendapatkannya kembali.

Cabaran inilah yang diharungi oleh usahawan siswazah di bawah bimbingan saya yang terpaksa menghadapi pelbagai ujian yang begitu hebat setelah hampir sebulan membuka premisnya. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kerana keberanian dan pengorbanannya yang tidak berbelah bagi dalam memastikan impiannya untuk membuka premis ini tercapai. Didoakan agar beliau banyak bersabar dan tabah dalam menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran. Diharapkan juga agar strategi baru yang sedang dan akan dilaksanakan kelak dapat menarik minat dan seterusnya menyakinkan pengunjung untuk datang ke premisnya. Semoga menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti.

Friday, April 2, 2010

Promosi

Pengunjung yang semakin ramai datang beriadah di sini.

Papan tanda : Strategi promosi yang berkesan dalam memperkenalkan sesuatu tempat atau produk

Usaha saya untuk menjaga kesihatan diri dengan beriadah di Bukit Bauk tidak pernah luntur. Ia amat sesuai bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semulajadi sambil bersenam. Saya telah ‘jatuh cinta’ dengan tempat ciptaan tuhan ini yang kaya dengan khazanah dan rahsia alam. Tempat ini cukup istimewa buat saya. Ia telah memberi satu kekuatan dan ketenangan yang sukar saya perolehi di tempat riadah lain. Setelah 4 tahun berlalu, tempat ini telah mula dikenali ramai. Suasana di sini telah berubah sama sekali. Tidak salah untuk saya jangkakan bahawa peningkatan kehadiran pengunjung baru ini telah meningkat sehingga 5 kali ganda sejak saya beriadah di sini. Suatu masa dahulu, tempat ini amat jarang dikunjungi kerana ia terletak di pinggir hutan simpan kekal yang tebal. Pernah suatu ketika saya merasa takut dan gerun untuk beriadah di situ kerana tiada seorang pun yang beriadah bersama saya. Tapi kini saya tidak lagi keseorangan kerana orang tidak putus-putus datang beriadah di situ. Cuma timbul persoalan kenapa orang semakin ramai mengunjungi tempat ini sejak kebelakangan ini. Adakah kerana kesedaran menjaga kesihatan yang semakin meningkat membawa mereka ke sini ? Atau disebabkan oleh promosi yang agresif membuatkan orang mula sedar tentang kewujudan tempat ini ? Saya mula menyedari bahawa orang semakin ramai datang ke sini setelah papan tanda yang tersergam di tepi jalan raya yang sibuk dinaikkan. Saya membuat kesimpulan sendiri bahawa promosi amat memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sesuatu tempat atau produk. Saya juga mula menyakini konsep promosi dalam bidang pemasaran setelah mengalami dan merasai sendiri keberkesanannya melalui peristiwa ini. Tidak kira strategi promosi apa pun, yang penting kita kena war-warkan kepada orang lain jika kita ingin melihat orang tahu apa yang sedang kita lakukan. Siapa tahu ada antara mereka yang mendengar dan melihat mengenai apa yang sedang kita perkatakan, lakukan atau pamerkan, merupakan salah seorang daripada pelanggan kita. Seorang usahawan pernah memberitahu saya bahawa kita hendaklah sentiasa membuka mulut (bercakap mengenai produk kita) jika mahu mendapatkan duit. Menurutnya lagi jika kita enggan, malas atau malu membuka mulut, bukan sahaja duit tidak dapat, malah habuk pun tak boleh masuk.

Wednesday, March 31, 2010

Jinak


Antara lembu yang paling jinak pernah saya lawati.


Usahawanita penternakan : Semoga menjadi usahawan berjaya.

Baru-baru ini saya berkesempatan melawat ladang lembu kepunyaan seorang usahawanita yang terletak di Kuala Berang. Ternyata lawatan ini telah memberi satu pengalaman yang cukup bermakna buat diri saya sebagai seorang pendidik yang sentiasa dahagakan pengetahuan dan pengalaman baru. Apa yang menariknya tentang ladang ini ialah semua lembu peliharaan yang terdapat di situ sangat jinak dan manja dengan manusia. Bayangkan saya telah ‘dilayan’ dengan begitu baik sekali oleh lembu-lembu itu walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke kandang tersebut. Menurut pemiliknya, ia telah dilatih untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan seperti waktu makan dan waktu masuk ke kandang. Ia seolah-olah memahami ‘bahasa’ tuannya dan akan bertindak terlebih dahulu sebelum mendapat arahan dari pemiliknya. Ini sudah tentu menyenangkan kerja kita tanpa terlalu berpenat-lelah memeliharanya. Semasa membelai lembu tersebut, terlintas di benak saya memikirkan alangkah bahagianya jika mempunyai anak murid yang mempunyai tingkah-laku yang sedemikian rupa, satu situasi yang dingini oleh semua orang yang mempunyai tanggungjawab mendidik sesiapa saja agar menuruti segala nasihat dan tunjuk-ajar yang dicurahkan. Timbul juga persoalan dalam diri memikirkan soal manusia yang sukar untuk ‘dijinakkan’ seperti haiwan tersebut sedangkan ia tidak mempunyai akal dan menggunakan bahasa yang langsung tidak dapat difahami oleh manusia. Apakah puncanya berlaku masalah anak, anak murid, suami, isteri, ibu, bapa yang derhaka ? Bukankah mereka sentiasa diajar dan dididik untuk menjadi seorang yang mulia di dunia ini? Kenapa seekor haiwan yang tiada otak, garang dan besar itu, malahan bercakap dalam bahasanya yang tersendiri, mampu dijinakkan oleh manusia untuk mengikuti setiap arahannya ? Kekadang bila direnung sejenak, ia suatu yang mustahil untuk diterima oleh akal kita yang waras bahawa haiwan lebih senang untuk diajar dan dijinakkan berbanding dengan manusia. Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar buat diri kita supaya tidak cepat putus-asa apabila melihat orang yang kita didik selama ini tidak bersikap seperti yang kita harapkan. Malahan jadikan ia sebagai satu motivasi diri dengan sentiasa memainkan soalan berikut di dalam pemikiran kita iaitu kenapa aku tidak boleh mendidik manusia dengan sempurna sedangkan haiwan yang bodoh itu pun boleh dijinakkan dan dimanja-manjakan oleh manusia.

Sunday, March 28, 2010

Rindu

Rinduku padanya tidak nokhtahnya
Kehadirannya membuatku bahagia
Pemergiannya cukup dirasai
Tanpamu aku hilang pedoman

Bila engkau menjelma
Hidupku sentiasa riang
Terasa ingin mendampingi dan membelaimu
Tidak kira waktu walau dimana jua

Rinduku padanya tidak pernah pudar
Tersemat utuh di sanubariku
Menjadi sumber inspirasiku
Dalam setiap detik hidupku

Saban hari terasa kesunyian
Mengenangkan dirimu disana
Hidupku terseksa menanti
Walaupun aku tahu
Salah diriku sendiri
Tidak pergi menjengokmu

Kini aku kebingungan
Entah mengapa engkau pergi
Meninggalkan aku keseorangan
Meronta-ronta bersendirian
Sehingga aku tertanya-tanya
Bilakah engkau akan kembali

Wahai widuriku..
Pulanglah ke pangkuanku
Kembalilah menemuiku
Dakaplah daku dalam redhamu
Kerana aku sangat merinduimu
Dan menyayangimu
Sampai akhir hayatku

Tuesday, March 23, 2010

Kental

Foto kenangan bersama pelajar EDIM 30

Konvo semasa menerima Master : Foto inspirasi untuk pelajarku.


Mengikuti pengajian secara formal pada usia muda merupakan satu perkara lumrah. Ini kerana pada usia tersebut kita tidak terikat dengan komitmen lain yang memerlukan kita membahagikan masa dengan bijak. Kita tidak perlu memikirkan masalah di tempat kerja, keluarga yang sentiasa perlu diberi keutamaan dan kedua-ibu bapa yang memerlukan perhatian. Seluruh masa, wang dan tenaga dapat ditumpukan untuk mengikuti pengajian dengan tekun. Maka sepatutnya tidak timbul masalah kegagalan dalam pengajian di kalangan mahasiswa pada peringkat tersebut. Bagaimana pula dengan golongan yang telah berusia tetapi masih lagi bermotivasi untuk belajar kembali demi memenuhi hasrat yang tidak dapat dicapai pada usia muda disebabkan oleh kekangan tertentu atau memilih peluang kerja yang lebih menarik pada masa itu ? Ini sudah tentu memberi satu cabaran yang cukup kuat kepada mereka yang terpaksa membahagikan masa antara keluarga, kerjaya dan pengajian yang perlu dilaksana dan disempurnakan secara serentak. Ia menuntut satu pengorbanan yang begitu besar buat diri kita sendiri dan juga orang lain seperti suami, isteri, anak-anak dan kedua ibu bapa yang memerlukan belaian dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Ramai yang tersungkur di persimpangan jalan ekoran dari kegagalan diri menguruskan kehidupannya sebagai seorang mahasiswa, ayah, ibu, anak dan pekerja. Ia bukan merupakan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan dalam memenuhi semua tuntutan, amanah dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul demi memberi kepuasan dan kebahagiaan semua pihak. Kenikmatan hidup yang dikecapi selama ini perlu dilupakan buat sementara waktu demi mengejar impian untuk menggenggam segulung diploma yang menjadi simbol martabat ketinggian ilmu manusia. Bab kata pepatah ‘Genggam api biar sampai jadi bara’. Hanya berbekalkan semangat yang kental dan motivasi yang tinggi saja membuatkan mereka terus berjuang dan berusaha hingga berjaya. Syabas diucapkan setelah berjaya menamatkan separuh daripada modul tersebut dan teruskan perjuagan dalam menempuh ranjau berliku yang sentiasa menanti di hadapan anda.

Monday, March 22, 2010

Pujuk Diri

Apabila kita membuat sesuatu kesalahan sama ada secara sedar atau tidak sedar, maka sudah tentu ia akan menimbulkan perasaan serba-salah atau kekesalan di atas perbuatan atau ketelanjuran yang telah dilakukan oleh kita. Maka ini sudah tentu akan membuatkan diri kita berasa tertekan atau stres apabila memikirkan kesilapan yang dilakukan itu dan motivasi diri yang ada dalam dirinya selama ini menjadi semakin luntur. Dia merasakan amat sukar untuk menerima kenyataan bahawa dirinya telah melakukan sesuatu perbuatan yang sangat dibencinya selama ini. Oleh yang demikian, apakah reaksi diri untuk mengurangkan stres ini sekurang-kurangnya dapat dilupakan perasaan kecewa yang membelenggu diri. Sesetengah orang cuba mengatasinya dengan melakukan aktiviti-aktiviti negatif seperti merokok, minum arak, seks bebas, makan atau tidur yang keterlaluan dengan harapan kesilapan lalu dapat dilupakan dari kotak fikirannya. Tidak dinafikan bahawa tindakan ini boleh memberi kesan positif di dalam dirinnya dimana dia dapat melupakan sejenak masalah yang sedang dialaminya apabila melakukan perkara sedemikian. Namun begitu tidakkah dia sedar bahawa ia sebenarnya mendedahkan dirinya kepada masalah lain seperti menjejaskan kesihatan mental dan fizikalnya. Malahan tanpa disedarinya secara tidak langsung dia telah terjerumus ke dalam masalah yang lain pula dan akhirnya situasi ini menyebabkan dirinya terus dirundung malang bab kata pepatah melayu “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong jatuh berciciran.” Oleh yang demikian berwaspadalah atau fikirkan semasak-masaknya setiap keputusan atau tindakan yang bakal diambil kerana ia mungkin meletakkan diri kita di dalam kecelakaan dan kedurjanaan. Gunakan kaedah yang positif seperti meluahkan kepada seseorang atau melakukan apa yang diajarkan oleh agama kita supaya sentiasa bersabar memohon kekuatan ilahi bagi mengurangkan stres dalam diri. Sesungguhnya orang yang hebat ialah mereka yang dapat menghadapi musibah dengan hati yang tenang kerana ia yakin bahawa di sebalik kepayahan itu mesti ada kesenangan dan penyelesaian. Oleh itu sentiasalah memujuk diri kita untuk menangani sebarang masalah dengan melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat demi kebaikan masa depan kita sendiri.

Tuesday, February 9, 2010

'Pengikut setia'

Bila bos kita membuat sesuatu keputusan yang sama sekali bertentangan dengan prinsip dan pendapat kita, apakah reaksi yang ditunjukkan oleh kita ? Adakan kita marah lantas meluahkan ketidakpuasan kita itu secara terbuka kerana ia tidak dapat diterima akal, atau marah kerana difikirkan bahawa keputusan itu dibuat secara melulu tanpa mengambil kira perasaan dan kepentingan orang lain ? Atau kita bersabar dan menunggu penjelasan terperinci dibuat bagi mengetahui dan memahami apakah punca sebenar beliau memutuskan demikian ? Atau kita menyatakan perasaan dan pendapat yang menerawang di kepala dengan mengatur pertemuan dengan bos kita untuk berbincang dan memberi penjelasan mengikut perspektif kita dengan harapan beliau memikirkan kembali implikasi keputusan yang telah dibuat lantas mengubahnya kembali ke asal ? Atau kita hanya mengikut sahaja sebarang keputusan yang diambil tanpa melawan sedikit pun walaupun kita tidak bersetuju dengan keputusan tersebut ? Pada kebiasaannya situasi ini timbul apabila keputusan yang telah diambil dianggap berat sebelah dan tidak adil oleh pihak yang satu lagi dan merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk menyedarkan pihak yang satu lagi. Jika jurang perbezaan ketidakpuasan itu terlalu tinggi maka ia sudah tentu memberi kesan yang sangat besar kepada pihak yang dianggap teraniaya dan tidak adil sehingga menyebabkan mereka bertindak kasar seperti marah dan mengamuk. Akan tetapi bagi mereka yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi maka jurang perbezaan itu akan cuba diatasi dengan berhemah seperti cuba melakukan pelbagai cara atau pendekatan terbaik sehinggalah supaya kedua-dua pihak berpuas-hati dengan keputusan yang telah diambil. Kadang-kala kaedah yang terakhir sekali sangat sesuai untuk dipraktikkan iaitu dengan hanya mengikut sahaja apa-apa keputusan yang diambil tanpa membuat sebarang komen, bantahan atau rayuan. Ini kerana ia akan menjadikan kita sentiasa ceria seolah-olah tiada masalah yang berlaku dan biarkan sahaja ia berlalu mengikut arus lantas membuatkan kita sentiasa tenang kerana dapat membebaskan diri dari dibelenggu masalah yang tidak berkesudahan.