Thursday, November 19, 2009

"lebih baik"

"Saya akan lakukan yang terbaik". Begitulah ungkapan yang biasa kita dengar bila menerima sesuatu tanggunggjawab atau menyatakan pendirian bagi menyakinkan orang lain. Tapi pernahkan kita terfikir sebaik mana yang mampu kita lakukan supaya apa yang dinyatakan itu dapat dikotakan dengan sebaik mungkin dan mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada orang lain. Ini kerana orang akan mempertikai usaha dan pengorbanan kita selama ini jika matlamat yang telah dicapai masih tidak dapat memenuhi apa yang diharapkan. Walaupun kita merasakan bahawa apa yang telah dihasilkan itu adalah yang terbaik, namun begitu dari sudut pandangan dan pemerhatian orang lain, kita sepatutnya masih boleh melakukan lebih daripada apa yang telah dibuat dan dicapai itu. Jika berlaku situasi demikian, maka sudah tentu akan timbul pertikaian bagi mempertahankan pendirian dan pendapat masing-masing yang akhirnya tiada penyelesaian konkritterhadap isu tersebut dibuat. Pada hakikatnya siapakah yang harus dipersalahkan dalam soal ini apatah lagi jika ia berlaku ke atas diri sendiri. Apakah pendekatan terbaik yang akan kita lakukan bagi mengatasi kemelut ini dari terus berpanjangan. Pada pendapat saya orang yang menyatakan pendirian itu hendaklah sentiasa bermuhasabah semasa menjalankan amanah yang dipikul supaya ia sentiasa menepati hasrat sebenar disebalik berusaha keras menuju ke matlamat yang hendak dicapai. Maka dengan ini ia akan dapat merungkaikan matlamat tersirat yang mungkin ada untuk dilakukan bagi kepuasan kepada semua pihak.

Thursday, November 5, 2009

'Pukul gendang'

Apabila seseorang bertanyakan apakah maksud istilah tersebut, maka sudah tentu ia memaksa diri kita untuk merenung sejenak memikirkan apakah makna tersirat yang boleh dimengerti supaya bila orang menyebutnya maka mudah untuk kita fahami dan hayati apakah yang dimaksudkannya itu. Saya terpanggil untuk menulis isu ini kerana ada beberapa orang hadirin pada suatu majlis rasmi melontarkan istilah tersebut semasa seorang pemimpin sedang memberikan ucapan. Persoalannya kenapa istilah tersebut yang digunapakai semasa ucapan diberikan. Adakah ia ada kaitan dengan isi kandungan ucapan pemimpin tersebut. Jika ada apakah maksud yang tepat boleh diterjemahkan untuk memberi makna yang mudah difahami oleh orang kebanyakan. Dalam bahasa yang mudah difahami, istilah tersebut menerangkan tentang perbuatan memukul satu alat muzik yang dinamakan gendang dan ia mengeluarkan satu alunan muzik dimana orang yang mendengarnya akan terhibur dan terpesona dengan persembahan tersebut. Apa yang dipersembahkan hanyalah yang indah belaka sehingga membuatkan orang terpesona dan melupakan sejenak episod kesedihan. Maknanya perkara yang tidak diingini cuba disembunyikan sebaik mungkin walaupun apa yang diperkatakan adalah sama sekali bertentangan dengan situasi sebenar yang berlaku atau lebih mudah lagi jika kita mengaitkan dengan istilah 'cakap tidak serupa bikin'. Ataupun ia juga membawa maksud hasil yang sedikit diperbesar-besarkan supaya semua orang memujinya dan mengiktirafnya sebagai seorang jaguh yang handal dan hebat. Ini dapat digambarkan dengan pukulan gendang yang amat kuat bunyinya dan boleh didengari oleh semua orang dengan jelas. Begitulah serba ringkas yang dapat diterjemahkan oleh saya mengenai istilah tersebut sebagai renungan dan pengajaran.

Wednesday, November 4, 2009

Dilema kasih sayang..

Kasih sayang terlalu mahal harganya. Nilainya tiada bandingan. Tidak boleh ditukar ganti dengan sesuatu pun di dunia ini. Semua orang impikan kasih sayang yang sejati. Kasih sayang yang boleh membahagiakan hidupnya sepanjang masa. Hidup yang akan sentiasa diselubungi ketenangan walaupun diri dirundung duka. Ia adalah ubat motivasi diri dalam mengecapi nikmat hidup. Inilah hikmahnya kasih sayang. Bila tercabut nilai kasih sayang di dalam dirinya, maka hidupnya menjadi tidak keruan. Apa yang dibuatnya menjadi serba tidak kena. Dia merasakan dirinya telah dilanda musibah yang amat dahsyat seolah-olah tiada apa yang tinggal lagi di dunia ini. Dia merasakan lebih baik mati sahaja daripada terus dirundung duka nestapa. Dirinya semakin jauh dengan nilai kasih sayang yang dikecapinya selama ini. Ia pergi tiada kembali lagi. Akhirnya dia berubah kerana dirasakan tiada lagi cebisan kasih sayang yang tinggal. Sudah sampai masanya dia bertindak kerana begitu kecewa dengan kehilangan kasih sayang yang belum puas dikecapi dan dinikmati. Dirasakan hanya tuhan sahaja yang tahu perasaannya ketika itu. Peluang untuk kembali bahagia tidak diendahkan lagi oleh sesiapa pun. Inilah keputusanku. Inilah pendirianku. Inilah isi hatiku. Biarkan aku pergi buat selamanya meninggalkan kasih sayang yang entah bila dapat dikecapi lagi. Izinkan aku pergi. Terima kasih di atas curahan kasih sayang yang telah singgah sekejap di dalam hidupku selama ini. Selamat tinggal semua.
Nostalgia Tragedi 1112009.