Sunday, December 4, 2011

Kenapa tak faham – faham !!!

Aku selalu menegur dan menasihatkan pelajar-pelajarku supaya datang awal atau tepat pada waktunya ke kelas kerana ia penting dalam proses untuk memahami sesuatu tajuk dengan menyeluruh. Setelah beberapa bulan berlalu dah plan pengajian sudah hampir sampai ke penghujungnya, mereka tetap lewat dan kadangkala tidak datang langsung ke kuliah. Kenapa mereka masih tak faham –faham !!!

Umat islam sentiasa di ingatkan untuk menjaga waktu solat dan berjemaah di masjid kerana pahalanya berlipat kali ganda dan banyak fadhilatnya. Tetapi ramai yang suka bersembahyang di rumah dan melewatkan solat sehinggakan masjid sentiasa kosong apabila azan berkumandang. Malahan masih ramai yang berkeliaran di tempat-tempat awam ketika makmun bersolat jemaah di masjid sehinggakan ada yang kelihatan tidak mengendahkan dan menghormati waktu solat langsung. Kenapa mereka tak faham-faham !!!

Aku selalu memprogramkan diriku supaya bangun seawal mungkin setiap pagi supaya dapat beribadah dan menyempurnakan rutin kerja harian selepasnya. Selain diri terasa tenang, bermotivasi, ceria, sihat dan tawaduk, banyak keistimewaan lain lagi yang akan diperolehi jika ia dapat direalisasikan dalam bentuk amalan secara istiqamah. Namun begitu ia amat sukar untuk dilakukan apabila tiba masa bangkit dari tidur yang enak sehinggakan kadang-kala terlajak hingga matahari terbit apatah lagi bersolat subuh pada waktunya. Diriku dapat merasakan kesan yang amat berbeza sekali apabila bangun lewat dimana terasa diri ini lemah semangat, tidak bermaya, lembap berfikir, kurang ceria dan hilang kemanisan iman. Tetapi hakikatnya diriku akan tidur kembali apabila sedar setelah dikejutkan jam loceng yang setia berdering. Kenapa diriku masih tak faham-faham !!!

Aku selalu meminta pelajar-pelajarku untuk berfikir secara kreatif dan analitik dalam memilih tajuk bagi tugasan masing-masing supaya mereka dapat menghasilkan satu projek yang futuristik, praktikal dan unik disamping melatih mereka menggunakan akal fikiran dengan semaksimum mungkin dalam menghasilkan sesuatu penyelesaian yang terbaik. Harapanku ialah untuk melihat mereka berjaya pada suatu hari nanti dengan mempunyai kebolehan luar biasa dalam menyelesaikan sesuatu isu. Tetapi mereka selalu merungut dan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah semata-mata untuk mempertahankan tindakan mereka yang lebih selesa dengan idea yang biasa-biasa saja. Malahan mereka menyalahkan diriku yang dianggapnya cerewet dan tidak memahami perasaan mereka yang dibebani dengan tugasan bertimbun yang menjadi penghalang untuk menghasilkan sesuatu idea yang unik. Kenapa mereka masih tak faham-faham !!!

Kita telah diberi amaran tentang bahayanya gejala rasuah yang boleh merosakkan nilai hidup masyarakat. Ini dikukuhkan lagi dengan bukti kesan sejarah terhadap kehancuran tamadun sesuatu kaum yang membiarkan budaya ini berleluasa sehingga sukar untuk dikawal dan akhirnya musnah segalanya. Tetapi ramai yang tidak mengambil pengiktibaran daripadanya dengan menjadikan rasuah sebahagian daripada budaya untuk hidup senang lenang dengan jalan singkat. Apa yang menyedihkan kita ialah ramai orang islam yang mengaku dirinya islam sanggup menggadaikan agama dan bangsanya demi untuk mencapai kesenangan dunia yang sementara. Kenapa mereka masih tak faham-faham !!!

Semua orang yang mempunyai fikiran yang waras mengakui bahawa merokok membahayakan kesihatan dan merugikan. Tambahan pula harganya yang sentaisa naik saban tahun telah memberi kesan yang besar kepada perbelanjaan kita. Tetapi masih ramai perokok tegar di dalam masyarakat yang tidak menghiraukan dan mempedulikan itu semua. Keperluan rokok sebagai sumber ketenangan, kenikmatan dan inspirasi mungkin menjadi penyebab kepada persoalan ini. Mereka terus merokok walaupun pelbagai cara dilakukan untuk memberi kesedaran supaya berhenti merokok. Kenapa tak faham-faham !!!

Monday, November 28, 2011

Maksud tersirat di sebalik lawatan

Sudah hampir 5 tahun berturut-turut saya mengadakan lawatan akademik dengan pelajar-pelajar saya menelusuri seluruh pelusuk negeri. Pelbagai lokasi telah kami lawati. Namun begitu perasaan untuk meneruskan agenda ini terus membara bagi sesi yang akan datang dan entah bila penghujungnya.

Lawatan ini bukan sahaja memberi satu kefahaman yang jelas berkenaan dengan sesuatu prinsip keilmuan yang ditekuni di dalam bilik kuliah, malah ia turut membuka minda pelajar saya untuk memikirkan tentang masa depan yang akan ditempuhinya kelak. Melaluinya, pelajar boleh memahami dan mengambarkan kehendak pasaran yang dikehendaki pada masa depan dan seterusnya membuat keputusan sewajarnya.

Terpulanglah kepada mereka untuk membuat pilihan setelah mengambil kira maklumat yang diperolehi sama ada melalui lawatan atau sumber lain. Diharapkan agar info yang diperolehi dapat membantu mereka untuk membuat keputusan yang tepat sesuai dengan minat dan matlamat yang ingin dicapai.

Lawatan ini juga cuba memberi fokus yang lebih jelas dan terarah kepada pelajar yang masih tercari-cari identiti hidup yang ingin dibinanya. Biarlah budaya kerja yang dipilihnya nanti menepati sasaran, citarasa dan arah tuju yang betul. Tersalah langkah membuat pilihan dan keputusan boleh mengakibatkan diri merana kerana amatlah sukar untuk kembali semula dan memulakannya dari awal. Semoga lawatan ini memberi inspirasi kepada mereka untuk memilih kerjaya yang akan menjadi sebahagian dari rutin hidupnya kelak.

Inilah maksud tersirat yang sentiasa ingin dicanangkan untuk pelajar-pelajar saya apabila setiap kali membuat lawatan akademik. Selain dari menimba pengalaman mengurus lawatan dan membina kenyakinan diri, ia sebenarnya menuntut hasrat yang lebih mendalam iaitu keinginan untuk melihat pelajar-pelajar saya berfikir, memahami dan seterusnya menilai masa depan dengan lebih objektif dan praktikal melalui lawatan yang diadakan di tempat-tempat terpilih.

Kesimpulannya ia bukan sekadar lawatan sambil belajar, makan angin dan membeli belah. Sesungguhnya lawatan ini mampu untuk memberi perspektif baru dan berbeza bagi sesiapa yang memikirnya secara serius dan kritikal. Pilihlah arah tuju yang terbaik dalam membina masa depan yang lebih terjamin dan cemerlang dalam menentukan kerjaya masing-masing.

Semoga mereka memahami maksud yang tersirat ini, melalui blog ini.

Wednesday, November 23, 2011

Setelah sekian lama...

Setelah sekian lama diriku menyepi menulis di blog ini, akhirnya dapat jua ku manfaatkan masa terluang yang ada untuk mencoretkan rasa hati yang terbuku selama ini. Sesungguhnya terasa diri ini 'kesunyian' setelah sekian lama tidak menulis. Ternyata sekali ia memberi kesan yang sangat signifikan dalam diri penulis.


Coretan di blog ini bukan sekadar tulisan yang menceritakan sesuatu peristiwa atau diari hidup yang mewarnai kehidupan penulis, malah ia merupakan satu luahan perasaan atau pemikiran yang sangat mendalam maknanya kepada diri penulis. Ia merupakan satu penyataan yang tulus dari jiwa sang penulis yang sentiasa 'memberontak' inginkan perhatian. Malah ia turut didokongi oleh roh yang sentiasa inginkan keadilan serta menuntut kebenaran dari hati yang ikhlas dan murni. Seringkali juga ia turut disulami oleh perasaan untuk meluahkan rasa hati duka dan gembira penulis. Keinginan untuk menggarap buah fikiran yang kritis dan kreatif turut menjadi dorongan yang kuat untuk kembali ke pentas blog ini.


Tidak ada apa yang dapat mengembirakan selain dari kembali menulis dan mencoretkan sesuatu di blog ini. Cuma apa yang dibimbangi penulis ialah mengekalkan tradisi supaya ruangan ini sentiasa terisi saban hari dan waktu. Walaupun tugasan ini nampak mudah untuk dilaksanakan, namun begitu bagi menyiapkan satu coretan yang baik bukanlah mudah. Ia menuntut kehadiran roh dan perasaan sang penulis yang membara supaya apabila dibaca nanti, ia mampu menimbulkan keasyikan dan mengusik perasaan pembaca. Mesej yang ingin disampaikan pula dapat dihayati dan difahami dengan jelas sekali sehingga ia boleh menyentak rasa keinsafan, simpati dan semangat baru pembaca.


Selain daripada itu, isu yang ingin diketengahkan juga mestilah menarik dan boleh menarik perhatian pembaca. Mudah-mudahan ia juga dapat memberi satu aspirasi dan perubahan sikap yang positif kepada pembaca yang mengikutinya secara tekun. Semoga tinta penulis ini dapat memberi sumbangan dan manfaat bagi tatapan generasi kini dan akan datang.


Dengan cara ini saja ia dapat membuatkan diri saya terus segar dan ceria sepanjang masa apabila tekanan fikiran dan perasaan yang terbuku dapat dilempiaskan di blog ini. Diharapkan agar ia dapat dijadikan rutin hidup penulis yang sentiasa dahagakan kebenaran, kepastian, ketenangan dan harapan.

Sunday, June 20, 2010

Kisah Usahawan 2 - Pengorbanan

Kadang-kala pengorbanan yang dilakukan memberi makna yang amat besar ertinya di dalam kehidupan kita. Ia terpaksa dilakukan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh supaya apa yang dilakukan itu mencapai sasarannya dan dapat dikecapi kejayaannya.

Cerita pengorbanan seorang usahawan yang berjaya amat menarik minat saya untuk dikongsi bersama. Apatah lagi pengorbanan yang dilakukannya itu boleh dijadikan contoh teladan kepada bakal-bakal usahawan untuk berjaya di dalam bidang perniagaan. Ia bermula apabila beliau bertekad untuk menceburkan diri di dalam satu perniagaan baru di mana beliau tiada langsung pengetahuan dan pengalaman mengenainya tetapi yakin dengan potensi yang ada pada bidang perniagaan tersebut. Bidang perniagaan yang dimaksudkan itu ialah kek dan roti. Bidang ini adalah sama sekali berlainan dengan bidang pembinaan yang sedang diceburinya sekarang.

Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan bagi memastikan apa yang diimpikan itu menjadi kenyataan. Strategi yang berkesan terpaksa dirancang dan diatur termasuk melakukan pengorbanan yang memberi kesan yang mendalam di dalam kehidupannya sekarang yang boleh dibanggakan. Di antaranya ialah beliau telah meminta isterinya yang pada masa itu masih mempunyai anak kecil supaya mengikuti satu kursus membuat kek dan roti di satu kolej yang ternama di Kuala Lumpur.


Selepas mengikuti kursus tersebut selama setahun, beliau meminta isterinya pula bekerja sementara di beberapa kedai kek dan roti yang berprestij di sekitar Kuala Lumpur untuk menimba pengalaman dan mengetahui rahsia kejayaan mereka di dalam bidang tersebut. Kadang kala beliau terpaksa menjaga anak kecilnya dan membuat kerja rumah di kala isterinya sedang bekerja demi untuk memastikan rancangannya berhasil. Banyak wang terpaksa dilaburkan termasuk melantik perunding yang boleh merealisasikan impiannya untuk membuka sebuah kedai kek dan roti yang dapat memenuhi selera pelanggan.

Akhirnya strategi dan pengorbanan yang telah dilakukan menampakkan kejayaan apabila beliau dan isterinya telah membuka beberapa kedai kek dan roti di seluruh negara. Persoalannya adakah anda sanggup berbuat demikian bagi memastikan impian tercapai ?

Sunday, June 6, 2010

Kisah Usahawan 1 - Kelainan

Saya telah pergi ke satu pasar untuk mencari barang keperluan seperti daging, sayuran dan buah-buahan. Jumlah peniaga yang terlalu banyak menjual barang keperluan yang sama amat menyukarkan saya untuk membuat pilihan gerai yang mana satu hendak dipilih.

Situasi ini membuatkan saya mundar-mandir beberapa kali di sekitar pasar tersebut untuk memilih gerai yang sesuai. Di kala itu juga saya cuba memikirkan apakah kriteria yang boleh dibuat supaya senang saya membuat keputusan gerai yang mana satu hendak dipilih.

Akhirnya secara tidak sengaja saya tertarik dengan satu gerai yang menampakkan kelainan yang ditonjolkan terhadap barangan keperluan yang dijual. Saya singgah di gerai buah tersebut kerana tertarik dengan buah-buahan yang diletakkan di atas meja masih lagi mempunyai daun dan tangkai. Ia mengambarkan seolah-olah buah tersebut masih segar dan baru dipetik dari dusun. Lantas saya terus membuat keputusan untuk membeli buah-buahan di gerai tersebut.

Setelah itu saya menuju ke bahagian gerai yang menjual daging pula. Masalah yang sama menimpa saya iaitu jumlah gerai yang terlalu banyak menjual barangan yang sama amat menyukarkan saya untuk membuat pembelian.

Dicelah-celah gerai yang menjual daging lembu, ikan dan ayam itu, saya terlihat satu gerai yang menjual itik sekati. Bila saya perhatikan tiada satupun gerai yang menjual itik sekati selain daripada gerai tersebut. Ramai juga pelanggan yang singgah dan membeli itik sekati di gerai tersebut.

Daripada dua peristiwa ini saya terfikir bahawa sebagai usahawan kita hendaklah menonjolkan sesuatu kelainan terhadap barangan yang hendak dijual daripada orang lain supaya pelanggan tertarik dengan apa yang kita tawarkan.

Friday, May 28, 2010

Kaunseling

Bersama kaunselor tersohor di Malaysia, Haji Hushim Salleh.


Salah satu sesi kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor secara amali.

Setiap orang tidak boleh lari dari berhadapan dengan masalah. Boleh dikatakan sebahagian dari hidup ini dihabiskan untuk menyelesaikan masalah, tidak kira sama ada masalah itu besar atau kecil. Kita juga tidak dapat menduga masalah yang akan menimpa diri ini. Lagi besar masalah, lagi tinggi tekanan perasaan yang akan ditanggung, dan lagi cepat pula ia perlu diselesaikan. Kekadang belum sempat kita menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi, datang pula masalah lain yang juga perlu diberi perhatian dan diselesaikan sebaik mungkin.

Kesan daripada memikul bebanan masalah amat dahsyat sekali sehinggakan ada orang sanggup melakukan apa saja bagi menghilangkan masalah dalam dirinya. Kadang-kadang tindakan yang diambil itu adalah di luar jangkaan kita sama sekali seperti membunuh diri, amuk, murung yang berpanjangan dan minum racun. Mereka mengambil jalan mudah dan singkat setelah gagal mengawal masalah yang dihadapi dalam dirinya.

Setiap masalah mesti diselesaikan dengan segera dan ditangani dengan bijak. Sesuatu mesti dilakukan bagi mengurangkan stres. Jangan biarkan ia terus menguasai diri. Situasi ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja atau dipendam terlalu lama. Malah ia perlu diredakan bagi mengelakkannya dari terus merebak menjadi ‘barah’ yang sukar diubati. Berdepan dengan masalah secara matang dan profesional merupakan satu kemestian jika kita sayangkan diri kita sendiri dan juga orang lain.

Salah satu kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang menyelubungi diri ialah kaunseling. Ia bukan merupakan satu perkara baru dalam dunia psikologi. Sesetengah orang berpendapat kaunseling merupakan satu cara terbaik dalam membantu kaunseli untuk meluahkan tekanan perasaan yang sedang dihadapinya. Kaunseling akan membuka ruang yang lebih luas kepada kaunseli untuk memberitahu apa saja hal yang bersangkutan dengan masalah yang dihadapinya. Oleh sebab itulah salah satu kaedah terbaik semasa sesi kaunseling dijalankan ialah kaunselor hendaklah menjadi pendengar yang aktif dan tajam pemikirannya. Beliau hendaklah fokus terhadap setiap isu masalah yang disampaikan oleh kaunseli. Dalam kaunseling ia dikenali dengan fasa penerokaan. Selepas semua punca masalah telah dianalisa dan dikaji dengan mendalam, kemudian barulah kita boleh membincangkan alternatif terbaik yang mampu dilakukan oleh kaunseli. Kaunselor hendaklah membina ‘perhubungan’ yang kuat dan menanam kenyakinan yang tinggi dengan kaunseli terlebih dahulu sebelum proses kaunseling dapat dimulakan. Hanya dengan cara ini saja kaunseli boleh memberi kepercayaan penuh dan meletakkan harapan yang tinggi kepada kaunselor untuk membantunya.

Ilmu kaunseling perlu dimiliki oleh setiap orang dalam memastikan mereka mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah dirinya dan orang lain. Apabila semua teknik telah dipelajari maka kita hendaklah mempraktikkannya dengan menawarkan diri untuk membantu orang lain yang sedang dilanda musibah. Apakah reaksi kita jika ada rakan kita atau orang lain yang mengadu tentang masalah yang melanda dirinya sedangkan kita amat ceteh dalam ilmu kaunseling ? Mungkin kita bertuah pada masa ini kerana tanpa kita sedari ada orang yang sentiasa menyokong dan membantu kita berhadapan dengan masalah lalu. Maka tibalah giliran kita pula untuk menolong orang lain yang mungkin dengan bantuan yang diberikan itu maka ia akan memberi satu perubahan yang besar di dalam diri kaunseli. Ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup adalah lebih utama dari segala-galanya.

Monday, May 24, 2010

Cemas

Cara membalut apabila ditimpa kecederaan.

Salah satu cara mengangkat dan mengalihkan mangsa yang tercedera.

Cara membuang sesuatu dari saluran pernafasan bayi.

Cara betul melakukan CPR.

CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) - Nampak mudah tetapi sukar apabila mengalaminya sendiri.

Cara membuang sesuatu yang tersekat di saluran pernafasan

Apakah yang patut anda lakukan bila melihat orang pengsan di depan mata ? Sebelum menjawab soalan ini, saya ingin bertanya apakah perasaan anda apabila tiba-tiba ada orang pengsan di hadapan anda ? Apakah yang sedang terlintas di fikiran anda ketika itu ? Jika anda tidak panik dan tidak turut pengsan bersamanya, apakah yang anda rasa cara terbaik bagi menyelamatkannya ?

Antara masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat Malaysia ialah mereka tidak tahu bagaimana mangsa boleh diselamatkan jika berlaku kecemasan seperti pengsan, keracunan, kemalangan, sawan, pendarahan, kejutan elektrik, melecur, lemas, tercekik sesuatu dan sebagainya. Apa yang biasa dilakukan oleh mereka ialah dengan meminta bantuan ambulans yang entah bila tiba atau membawanya terus ke hospital yang kadang-kadang mengambil masa yang lama untuk sampai. Tahukah anda bahawa bantuan serta-merta yang diberikan oleh anda mungkin boleh menyelamatkan nyawanya ? Adakah anda akan menyalahkan ambulans yang lewat tiba di tempat kejadian menyebabkan kematiannya sedangkan anda tidak berbuat apa-apa pun terhadap mangsa tersebut untuk cuba menyelamatkannya ketika itu ?

Saya telah berkesempatan menghadiri satu kursus pertolongan cemas yang diadakan di tempat kerja saya. Setelah mengikutinya, saya mulai sedar bahawa betapa pentingnya peranan orang yang menyaksikan kejadian kecemasan, dengan serta-merta mesti menyelamatkan mangsa dengan menggunakan kaedah yang betul. Ini adalah penting kerana sistem pernafasan manusia adalah terlalu sensitif dan kritikal. Jika terganggu maka ia boleh menyebabkan mangsa boleh mati setelah bertarung dengan nyawanya sendiri dalam beberapa minit sahaja. Oleh itu tidak keterlaluan untuk saya nyatakan bahawa berkemungkinan besar nyawanya terletak di tangan kita ketika itu untuk menyelamatkannya sebelum ambulans tiba.

Saya menyeru agar setiap orang mempunyai kemahiran ini dalam memastikan mereka tidak panik dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila seseorang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan dengan segera. Suatu hari nanti mungkin ada orang memerlukan bantuan kita dan begitulah sebaliknya. Ingatlah peluang untuk hidup hanya sekali.