Sunday, June 20, 2010

Kisah Usahawan 2 - Pengorbanan

Kadang-kala pengorbanan yang dilakukan memberi makna yang amat besar ertinya di dalam kehidupan kita. Ia terpaksa dilakukan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh supaya apa yang dilakukan itu mencapai sasarannya dan dapat dikecapi kejayaannya.

Cerita pengorbanan seorang usahawan yang berjaya amat menarik minat saya untuk dikongsi bersama. Apatah lagi pengorbanan yang dilakukannya itu boleh dijadikan contoh teladan kepada bakal-bakal usahawan untuk berjaya di dalam bidang perniagaan. Ia bermula apabila beliau bertekad untuk menceburkan diri di dalam satu perniagaan baru di mana beliau tiada langsung pengetahuan dan pengalaman mengenainya tetapi yakin dengan potensi yang ada pada bidang perniagaan tersebut. Bidang perniagaan yang dimaksudkan itu ialah kek dan roti. Bidang ini adalah sama sekali berlainan dengan bidang pembinaan yang sedang diceburinya sekarang.

Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan bagi memastikan apa yang diimpikan itu menjadi kenyataan. Strategi yang berkesan terpaksa dirancang dan diatur termasuk melakukan pengorbanan yang memberi kesan yang mendalam di dalam kehidupannya sekarang yang boleh dibanggakan. Di antaranya ialah beliau telah meminta isterinya yang pada masa itu masih mempunyai anak kecil supaya mengikuti satu kursus membuat kek dan roti di satu kolej yang ternama di Kuala Lumpur.


Selepas mengikuti kursus tersebut selama setahun, beliau meminta isterinya pula bekerja sementara di beberapa kedai kek dan roti yang berprestij di sekitar Kuala Lumpur untuk menimba pengalaman dan mengetahui rahsia kejayaan mereka di dalam bidang tersebut. Kadang kala beliau terpaksa menjaga anak kecilnya dan membuat kerja rumah di kala isterinya sedang bekerja demi untuk memastikan rancangannya berhasil. Banyak wang terpaksa dilaburkan termasuk melantik perunding yang boleh merealisasikan impiannya untuk membuka sebuah kedai kek dan roti yang dapat memenuhi selera pelanggan.

Akhirnya strategi dan pengorbanan yang telah dilakukan menampakkan kejayaan apabila beliau dan isterinya telah membuka beberapa kedai kek dan roti di seluruh negara. Persoalannya adakah anda sanggup berbuat demikian bagi memastikan impian tercapai ?

Sunday, June 6, 2010

Kisah Usahawan 1 - Kelainan

Saya telah pergi ke satu pasar untuk mencari barang keperluan seperti daging, sayuran dan buah-buahan. Jumlah peniaga yang terlalu banyak menjual barang keperluan yang sama amat menyukarkan saya untuk membuat pilihan gerai yang mana satu hendak dipilih.

Situasi ini membuatkan saya mundar-mandir beberapa kali di sekitar pasar tersebut untuk memilih gerai yang sesuai. Di kala itu juga saya cuba memikirkan apakah kriteria yang boleh dibuat supaya senang saya membuat keputusan gerai yang mana satu hendak dipilih.

Akhirnya secara tidak sengaja saya tertarik dengan satu gerai yang menampakkan kelainan yang ditonjolkan terhadap barangan keperluan yang dijual. Saya singgah di gerai buah tersebut kerana tertarik dengan buah-buahan yang diletakkan di atas meja masih lagi mempunyai daun dan tangkai. Ia mengambarkan seolah-olah buah tersebut masih segar dan baru dipetik dari dusun. Lantas saya terus membuat keputusan untuk membeli buah-buahan di gerai tersebut.

Setelah itu saya menuju ke bahagian gerai yang menjual daging pula. Masalah yang sama menimpa saya iaitu jumlah gerai yang terlalu banyak menjual barangan yang sama amat menyukarkan saya untuk membuat pembelian.

Dicelah-celah gerai yang menjual daging lembu, ikan dan ayam itu, saya terlihat satu gerai yang menjual itik sekati. Bila saya perhatikan tiada satupun gerai yang menjual itik sekati selain daripada gerai tersebut. Ramai juga pelanggan yang singgah dan membeli itik sekati di gerai tersebut.

Daripada dua peristiwa ini saya terfikir bahawa sebagai usahawan kita hendaklah menonjolkan sesuatu kelainan terhadap barangan yang hendak dijual daripada orang lain supaya pelanggan tertarik dengan apa yang kita tawarkan.