“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak mengampu orang atas. Fokus saya kepada kerja sahaja.”
“Kakak ada berapa orang anak?” Sengaja saya bertanyakan soalan di luar kotak tajuk perbincangan agar ketegangan dapat diredakan.
“Oh ramai encik.”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam hidup masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malahan salah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya lagi ?”
“Tanyalah encik.” ujar kakak itu sambil tersenyum.
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana satu yang kakak pilih?”
Dengan pantas kakak itu menjawab, “Hati ibu encik,tentulah saya pilih anak-anak saya ‘menjadi’ walaupun tidak dinaikkan gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!” Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran.” kata saya.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang berjaya.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik.”
“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?” tanya kakak ingin kepastian.
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, sesiapa yang memberi kebaikan maka akan dibalas dengan kebaikan.”
Kakak itu termenung sejenak memikirkan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan keluarganya.
“Kita buat baik kepada A, tetapi bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi mungkin B atau C atau D yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku di dalam kehidupan ini.”
“Jadi kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersia-siakan?” tanya kakak itu lagi.
“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah itu Maha Kaya dan Maha Pengasih, sesiapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”ujar kakak memberi pandangan.
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup dan akan dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah, isteri yang taat atau suami yang setia, dan paling penting ialah hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal ini?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos kita tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “CEO”. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana kita tidak mendapat penghargaan.”
“Maksud encik?”
“Jangan mengharapkan terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa sampai begitu sekali encik?”
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya tetapi Allah tetap memberi kepada hambanya. Siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego.”
Itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan iaitu, orang ikhlas tertindas ?
No comments:
Post a Comment