Friday, October 9, 2009

Lawatan

Lawatan sambil belajar merupakan salah satu agenda utama yang telah ditetapkan kepada pelajar saya bagi setiap semester. Ia merupakan projek kumpulan yang perlu dipenuhi dalam penilaian akademik. Setakat ini sudah enam kali lawatan dibuat dan hampir 30 kilang telah dilawati. Semua syarikat yang telah dilawati terletak di seluruh pelusuk negara yang terdiri daripada pelbagai sektor. Antaranya ialah dalam bidang perkhidmatan, pembuatan automatif, makanan dan lain-lain lagi. Walaupun sudah banyak kali diadakan, namun saya masih lagi teruskan tradisi ini sehingga saya sendiri pun tidak pasti bila ia akan berakhir. Sesungguhnya hasil lawatan ini telah memberi satu kepuasan diri yang sukar digambarkan. Ini kerana disamping kita dapat mengetahui dan memahami proses pengeluaran sesuatu produk dan perkhidmatan dengan lebih mendalam, saya juga terpaksa 'berhempas-pulas' mendapatkan tempat yang terbaik untuk dilawati apabila setiap kali projek ini hendak diadakan. Saya juga perlu meluangkan banyak tenaga, masa dan wang ringgit bagi membantu pelajar merancang dan mengurus projek ini dengan jayanya. Bayangkan saya pernah mencuba tanpa mengenal erti putus asa bagi mendapatkan tempat untuk dilawati pada saat-saat akhir. Walaupun ia sesuatu yang agak mustahil untuk dicapai dan ditunaikan oleh pihak pengurusan syarikat, tetapi hasil berkat kegigihan, kesungguhan dan kesabaran, segala keperitan itu akhirnya mendapat balasan setimpal. Pelbagai strategi terpaksa digunakan termasuk meminta pertolongan dari 'orang dalam' dan juga pujuk rayu sehingga pemilik atau pihak pengurusan membenarkan kami membuat lawatan ke kilang mereka. Sesungguhnya ia bukan merupakan satu usaha yang mudah untuk dilakukan kerana tempat yang hendak dilawati merupakan antara tempat yang terpilih dan terpaksa melalui prosedur yang ketat. Sehingga kini saya masih berusaha untuk melawat satu kilang (enggan dinyatakan di sini) dimana sudah 3 kali permohonan kami ditolak. Melalui lawatan ini juga saya dapat menjalinkan hubungan yang baik antara universiti dan industri. Secara tidak langsung juga ia telah banyak membantu pelajar-pelajar saya mendapatkan tempat untuk praktikal. Begitulah secebis kisah suka duka berkenaan lawatan yang boleh dikongsi bersama. Apa yang paling mengesankan saya melalui lawatan ini ialah mampu mengingati nama pelajar-pelajar saya yang amat payah untuk dihafal di dalam bilik kuliah.