Thursday, June 4, 2009

Cuti

Sekarang sudah masuk pertengahan tahun 2009 tetapi saya tidak pernah mohon cuti. Setiap orang diberikan 30 hari cuti dalam setahun. Kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan cuti tidak percaya jika jumlah cuti kita tidak berganjak kerana mereka beranggapan seseorang itu 'bercuti' tanpa membuat permohonan secara rasmi. Bagi saya mungkin anggapannya itu ada benarnya. Mulai minggu depan saya ingin bercuti selama beberapa hari. Saya tidak perlu lagi mengisi borang cuti kerana semuanya boleh disempurnakan secara online. Saya ingin bercuti bagi mencari ketenangan disampin merehatkan diri daripada rutin kerja yang banyak. Disamping itu juga saya ingin mencari idea-idea baru yang boleh diketengahkan. Selamat bercuti untuk saya dan rakan-rakan semua.

Tuesday, June 2, 2009

Komunikasi

Tindakan pertama yang saya lakukan sebaik sahaja dilantik sebagai Koordinator MEDEC ialah dengan meminta Unit Teknologi Maklumat mewujudkan kumpulan email khusus untuk ahli-ahli yang terlibat dengan aktiviti MEDEC. Ia bertujuan untuk menjadikan email ini sebagai salah satu platfom kepada setiap ahli kumpulan dalam menyebarluaskan maklumat, memberi pandangan dan lain-lain fungsi yang dapat memberi manfaat kepada setiap ahli MEDEC. Semoga dengan adanya kumpulan ini maka segala informasi dapat disampaikan dengan pantas disamping mengurangkan salah faham akibat daripada kelemahan sistem komunikasi. Tindakan saya seterusnya ialah menyediakan satu kertas kerja yang antaranya mengandungi laporan semasa secara menyeluruh mengenai aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh pelajar dan juga penambahbaikan untuk subjek keusahawanan. Ia juga turut memuatkan perancangan jangka panjang bagi memastikan MEDEC terus berfungsi sebagai badan yang penting dalam membangunkan jiwa usahawan di kalangan pelajar.