Monday, March 30, 2009

Berat

Nota Penimbang Berat

"Saya hanya mengikut cara sendiri dalam aspek penjagaan kesihatan. Apa yang penting, kita kena selalu bersederhana dalam segala hal, baik soal makan mahupun soal hidup dan pemakaian." Ini adalah sebahagian daripada petikan kata-kata Jay-Jay apabila ditanya oleh wartawan bagaimana dia boleh mengekalkan awet muda dalam usia 53 tahun. Pada usia tersebut, dia masih lagi mampu menyampaikan lagu-lagunya dengan baik dan bertenaga. Jadi tidak hairanlah saya masih lagi meminati kelunakan suaranya, alunan muzik lagunya dan gaya santainya hingga kini. Saya juga masih ingat seorang lagi artis menjawab umur hanyalah nombor apabila dia ditanya oleh wartawan kenapa dia beristerikan wanita yang lebih tua daripadanya. Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah nilai kesihatan akan terus dipandang tinggi dan menjadi keutamaan di dalam masyarakat kita. Saya juga percaya bahawa penjagaan kesihatan yang betul memainkan peranan penting dalam memastikan kita sentiasa kelihatan berseri, muda, cantik, ceria, bersemangat, berkeyakinan, matang dan bertenaga dalam apa jua keadaan. Apatah lagi pada zaman moden ini ramai orang sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mentalnya. Saya juga tidak ketinggalan dalam menitikberatkan soal kesihatan kerana ingin kelihatan sentiasa muda dan bertenaga dalam usia yang semakin lanjut. Oleh sebab itulah saya sentiasa menimbang berat badan saya setiap kali berkunjung ke pusat membeli belah untuk mengetahui ukuran berat saya kerana orang biasanya mengaitkan masalah kegemukan dengan kesihatan. Lagi pun saya secara sedar mengetahui bahawa selera makan saya semakin bertambah sejak akhir-akhir ini. Jadi tidak hairanlah berat badan saya telah naik sebanyak 4 kilogram dalam masa setahun. Saya selalu memikirkan bagaimana cara hendak mengurangkan saiz berat badan saya bagi memastikan ia dapat dikurangkan kepada 57 kilogram. Apa yang perlu saya lakukan sekarang ialah lebih bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang difikirkan dapat mengurangkan berat badan saya seperti beriadah dan berbasikal disamping mengawal diet pemakanan saya. Saya yakin anda juga menitikberatkan aspek kesihatan seperti saya. Oleh itu berkongsilah rahsia kejayaan penjagaan kesihatan anda dengan saya.

Saturday, March 28, 2009

Takut

Kenapa perlu takut ? Orang yang kuat perasaan takut sebenarnya ditakuti oleh bayang-bayangnya sendiri. Sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan jika kita mempunyai semangat juang yang kental untuk melawan perasaan takut di dalam diri kita. Jika kita berjaya melawan arus perasaan takut itu di dalam diri kita maka aura tersebut akan terjelma dalam bentuk perwatakan, pemikiran dan tindakan yang akhirnya membuatkan kita berani berhadapan dengan sesiapa saja hatta dengan musuh sekalipun. Persoalannya bagaimana untuk menghindarkan perasaan takut di dalam diri kita ? Kalau kita daripada kecil sudah dimomokkan dengan benda-benda yang menyuburkan perasaan takut nescaya ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada anak kecil itu apabila dia dewasa kelak. Perasaan takut dan lemah semangat itu akan terus menghantui dirinya apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi yang mencemaskan dan mengusik fikirannya. Dia sudah tentu dari awal-awal lagi menyerah kalah kerana tidak berdaya untuk menentang arus ketakutan yang cuba ingin menguasai dirinya. Bagi mereka yang diasuh dan dididik dengan sifat-sifat positif maka sudah tentu akan lahirlah jiwa merdeka lantas berkeyakinan dalam mengharungi apa jua rintangan di dalam kehidupan. Naluri melawan perasaan takut itu lebih menonjol di dalam dirinya sehinggakan dia kelihatan berani, yakin dan berwibawa apabila berada di dalam kelompok masyarakat. Inilah yang terjadi kepada pelajar-pelajar saya yang terlalu takut untuk bercakap di dalam bahasa Inggeris di khalayak sedangkan saya tahu mereka terdiri daripada golongan yang pandai dan berilmu. Saya tidak pasti apakah yang menerawang di dalam fikirannya sehinggakan dia bersikap demikian. Ayuh bangsaku bangkitlah segera dari ketakutan supaya kita tidak terus ketinggalan di dalam arus persaingan.

Friday, March 27, 2009

Diam

"Kenapa diam ?" Itulah antara soalan yang diajukan apabila berkomunikasi dengan orang yang asyik suka mendiamkan diri. Saya teringat di dalam satu hadis tentang bagaimana Rasulullah menangani persoalan diam di dalam satu peristiwa dimana Rasulullah menterjemahkan sikap berdiam diri seseorang itu sebagai tanda bersetuju dengan apa yang diperkatakan. Hadis tersebut boleh dijadikan sebagai sandaran dan panduan dalam kita memperkatakan soal diam. Cuma apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah dalam situasi tertentu kita kadang-kala amat sukar untuk memahami dan mengerti perasaan orang yang bersikap demikian. Sikap diamnya itu belum tentu menandakan bahawa dia bersetuju tentang apa yang diperkatakan. Ini sudah tentu akan menyusahkan atau memberi kesan yang negatif terhadap orang yang meminta kepastian. Dia merasakan seolah-olah pertanyaannya itu dipermain-mainkan kerana si pendiam mengantung jawapan yang entah bila kesudahannya. Malahan keadaan ini boleh mencetuskan perasaan kecewa dan derita kepada orang yang bertanya kerana sikap si pendiam itu boleh menimbulkan seribu persoalan di benak si penanya kerana tiada tindakan susulan yang boleh diambil. Persoalan yang ingin saya ketengahkan di sini ialah kenapakah seseorang itu suka mengambil sikap mendiamkan diri apabila diminta untuk memutuskan sesuatu perkara ? Kenapakan dia amat payah untuk menyatakan pendiriannya ? Adakah dia memikirkan tentang implikasi negatif yang mungkin timbul terhadap orang yang bertanya sehinggakan wujud perasaan serba-salah di dalam dirinya lalu tiada sebarang keputusan dibuat demi menjaga hati si penanya, atau mungkin dia tidak mahu berterus-terang menyatakan pendirian sebenar lalu dia enggan untuk berkata-kata, atau barangkali dia ingin melindungi aib orang yang bertanya maka adalah lebih baik berdiam diri saja, ataupun dia memang lemah serta tiada pendirian lalu takut mengambil risiko tentang konflik yang berlaku menjadi penyebab utama dia mendiamkan diri sebagai jalan paling selamat ? Pada pendapat saya kita perlu bijak dan memikirkan cara terbaik dalam memahami jiwa si pendiam. Kadang-kala sikap diammya itu telah memberikan satu jawapan yang pasti cuma mungkin memerlukan kebijaksanaan dan kewarasan kita untuk menduga dan mentafsir gerak hatinya. Walau apa pun yang berlaku kita pasti tetap didesak dan dipaksa untuk melontarkan jawapan sama ada ya @ tidak ataupun nak @ tak nak.

Wednesday, March 25, 2009

Marah

Agama islam menuntut umatnya agar menahan perasaan marah kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap individu itu sendiri dan juga kepada masyarakat. Malahan marah adalah pencetus kepada pergelutan dan perkelahian. Ia boleh membawa kemudaratan kepada kedua-dua pihak yang bertengkar dan bertelagah. Perasaan tidak puas hati yang lama terpendam di hati dan berpanjangan juga boleh mencetuskan kemarahan apabila dia gagal mengawal diri. Lawan perasaan marah adalah sentiasa bersabar terhadap musibah yang menimpa diri. Bab kata pepatah orang yang sabar selalu menang. Namun begitu bagi sesetengah orang, sabar itu ada batasnya. Apabila kesabarannya dicabar atau hilang akibat tekanan yang melampau sehingga boleh menggugat kesabarannya, maka luahan perasaan marah itu tidak dapat dielakkan lagi. Pada tahap ini dia sudah tidak menghiraukan lagi saranan agama kita supaya sentiasa mengawal perasaan marah dan sentiasa bersabar. Persoalannya siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini ? Adakah kita mahu menyalahkan orang tersebut sedangkan ia berpunca dari orang lain yang menyemarakkan perasaan marah itu terhadapnya. Oleh sebab itulah saya sentiasa mengingatkan diri saya supaya sentiasa mengawal perasaan marah dan banyak bersabar serta mengelakkan sesuatu perkara yang boleh mencetuskan kemarahan orang lain.

Monday, March 23, 2009

Research

Kebolehan menyelidik atau menganalisa adalah salah satu ciri orang yang bijak dan kritis. Kejayaan atau kegagalan penyelidikan yang dibuat dalam menghasilkan sesuatu penemuan akan menguji kewibawaan seseorang penyelidik. Jiwa penyelidik biasanya sensitif dan peka terhadap sesuatu peristiwa sehinggakan timbul persoalan dan minat di dalam dirinya untuk mengetahuinya secara mendalam atau mendapat kepastian tentang persoalan tersebut. Dia cuba melihat perspektif sesuatu perkara itu secara objektif dan tepat. Pendiriannya atau keputusan yang dibuat adalah bersandarkan kepada fakta. Dia akan berterusan menyelidik untuk mencari persoalan yang terbuku di fikiran tanpa mengenal erti penat dan lelah. Dia sanggup menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk penyelidikannya. Sebab itulah orang barat terkehadapan dalam penemuan ilmu-ilmu baru yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya. Mereka begitu teruja untuk meneroka ilmu melalui penyelidikan sehinggakan sanggup pergi ke serata dunia hanya untuk mencari kebenaran dan kesahihan tentang kajiannya. Hanya dengan cara inilah dia dapat mencungkil kebenaran sesuatu kajian yang dibuat. Sebagai seorang pensyarah, saya juga tidak dapat lari daripada tugas menyelidik. Ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk membuat kajian berkaitan dengan bidang saya bagi memantapkan lagi ilmu yang dikuasai. Saya juga telah diberi tanggungjawab untuk menyelia kajian beberapa orang pelajar menurut bidang yang telah ditentukan oleh mereka sendiri. Cuma persoalan yang timbul di sini ialah bagaimanakah kita mahu menjadikan aktiviti kajian ilmiah ini sebagai satu budaya di dalam masyarakat kita. Jika ini berlaku dan ditambah dengan minat yang mendalam, maka kerja menyempurnakan 'research' akan menjadi lebih mudah dan tepat. Harapan saya agar 'research' mampu melatih saya dan pelajar-pelajar saya menjadi penyelidik yang cekap dan mampu menghasilkan kajian ilmiah yang bermutu. Saya doakan agar rakan-rakan dan pelajar-pelajar saya berjaya menyiapkan 'research' masing-masing dengan lengkap dan signifikan.

Saturday, March 21, 2009

Dreams

Kursus yang saya hadiri baru-baru ini menekankan betapa pentingnya kita mencipta impian melalui imaginasi untuk mencapai apa yang kita inginkan. Ini bukanlah merupakan satu pendekatan terbaru yang digunapakai oleh pakar motivasi. Saya sudah beberapa kali berbuat demikian tetapi dirasakan agak mustahil untuk mencapainya kerana tiada keyakinan dan motivasi diri untuk mempercayai dan melakukannya. Dikatakan bahawa apabila impian tersebut digambarkan di dalam minda kita, maka otak kita akan bekerja menurut apa yang kita imaginasikan dan secara separa sedar ia akan mempengaruhi pemikiran, tindakan dan perwatakan kita. Apabila matlamat sudah ditetapkan dengan cara berimaginasi maka kita akan menjadi lebih fokus dan bekerja dengan aura yang luar biasa untuk merealisasikan apa yang kita imaginasikan.Pada kali ini juga penceramah melakukan perkara yang sama dengan meminta peserta menutup mata dan meminta mereka membayangkan urutan gambaran kejadian dan perasaan yang diingini berlaku di dalam minda mereka pada suatu hari nanti. Semasa sesi tersebut, saya menutup mata dan dengan penuh kenyakinan membayangkan pada 07.07. 2020 di suatu pagi yang hening, saya berada di dalam dewan yang indah dan berdiri di hadapan golongan profesional dengan berpakaian kot sedang memberikan satu ucapan penting di dalam bahasa inggeris. Ketika itu mereka memanggil saya Dr. Ariff dan saya melemparkan senyuman kepadanya. Semoga impian saya kali ini menjadi kenyataan. Anda pula bagaimana ?

Friday, March 20, 2009

Jahil

Saya rasa semua orang tahu perkataan ini, satu makna yang cukup sinonim dengan bangsa arab sebelum kedatangan agama islam. Dibayangkan bahawa kehidupan manusia pada masa itu penuh dengan keseronokan dan keduniaan. Masyarakat arab bebas melakukan apa saja demi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada batasannya. Setelah kedatangan islam, semua tindakan dan tingkah-laku manusia diperbetulkan demi untuk kepentingan kesejahteraan umat. Agama islam telah menjadikan manusia lebih beradab dan bertamadun sehinggakan ia pernah melahirkan satu negara yang kuat. Ia membuatkan bangsa lain menjadi gerun dan dengki sehinggakan orang islam dihormati dan dicemburui. Keindahan kehidupan yang berasaskan kepada agama ini telah berjaya mencorakkan hati dan fikiran manusia. Namun begitu berdasarkan kepada pemerhatian dan pengamatan saya, segelintir orang islam pada masa kini seolah-olah ingin kembali semula kepada kehidupan zaman jahiliah. Mereka lupa bahawa apa yang sedang dilakukan adalah cebisan daripada amalan dan kebiasaan orang jahiliah. Adakah mereka sedar bahawa apa yang dilakukannya itu adalah untuk keseronokan sementara dan boleh menjejaskan kesucian agama dan manusia itu sendiri. Walaupun agama islam yang dianutinya sejak turun-temurun sepatutnya menjadi pedoman hidup di dunia, namun ia tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap kehidupan orang islam itu sendiri. Kenapa fenomena ini berlaku ? Tepuk dada dan tanyalah hati untuk mencari kebenarannya.

Saturday, March 14, 2009

Hati

Tanpa diduga pada minggu lepas saya telah bersyarah selama 7 hari berturut-turut iaitu 5 hari untuk syarahan formal dan selebihnya sebagai fasilitator. Di sepanjang syarahan tersebut saya telah bercakap mengenai pelbagai isu dan tajuk di hadapan kelompok pelajar yang berlainan. Saya juga berkesempatan berbual-bual dan bertukar fikiran dengan mereka. Setiap kali sebelum saya memulakan sesi syarahan, saya akan merenung dan berfikir sejenak menyusun idea-idea penting untuk diketengahkan bergantung kepada tajuk dan tahap penerimaan pendengar. Saya juga cuba menyusun input sesuatu tajuk atau isu dengan harapan setiap orang dapat memahami setiap syarahan saya dengan baik. Itulah matlamat setiap penceramah iaitu untuk memastikan apa yang dikongsi bersama dapat memberi kesan yang mendalam terhadap si pendengar. Tetapi pada hakikatnya ia bukan satu kerja yang mudah kerana walau sehebat manapun syarahan atau ceramah yang diberikan, kuasa untuk mengubah pemikiran, sikap dan tingkah laku si pendengar adalah di luar bidang kuasa penceramah. Ia tertakluk kepada keinginan dan kesedaran yang timbul di dalam diri masing-masing untuk berubah. Malah kadang-kala proses perubahan berlaku dalam tempoh yang tidak dapat ditentukan untuk memastikan mereka dapat menerima dan mengamalkan apa yang diperkatakan. Pendek kata semuanya bergantung kepada kehendak hati masing-masing. Inilah cabaran yang terpaksa dipikul oleh setiap penceramah dalam memastikan ia mampu memberi kesan dan seterusnya dapat mengubah minda pendengar. Walaupun kuasa mengubah hati seseorang adalah ketentuan ilahi, namun begitu setiap penceramah menyakini bahawa ceramahnya adalah pencetus ke arah perubahan diri. Oleh sebab itulah setiap kali sebelum saya mengakhiri sesi syarahan saya, saya akan merenung wajah-wajah di hadapan saya sambil mendoakan supaya mereka akan menyahut seruan dan seterusnya berubah menjadi seorang manusia yang berguna pada suatu hari nanti. Waallahua'lam.

Friday, March 13, 2009

Hebat


Slumdog Millionaire

Anugerah dan pengiktirafan tertinggi yang dimenangi filem ini di pentas Amerika telah membuatkan saya teruja untuk menonton dan seterusnya menilai sejauh-mana kehebatan cerita ini. Setelah menontonnya, ternyata filem ini telah berjaya membuatkan saya terpukau dengan jalan ceritanya yang unik di samping lokasi penggambarannya yang sungguh menarik dan terkesan di dalam sanubari saya. Bagi saya filem hindi ini adalah antara yang terhebat pernah saya tontoni. Kebijaksanaan pengarah filem ini mengolah dan mengadaptasikan setiap watak dan babak sehinggakan ia seolah-olah benar-benar berlaku telah membuatkan saya terpegun dan kagum. Tiada langsung selingan tarian dan nyanyian diselitkan di dalam filem ini, satu strategi berani yang dilakukan oleh pengarahnya demi memenuhi citarasa peminat filem di serata dunia. Namun begitu ia sama sekali tidak menjejaskan latar ceritanya malah membuatkan ia mudah difahami. Oleh itu tidak hairanlah bahawa filem ini telah berjaya menembusi pasaran Amerika dan negara-negara lain. Apa yang pasti ia telah berjaya mengangkat martabat industri filem hindi ke tahap 'world class' dengan kreativiti dan acuannya yang tersendiri. Apa yang lebih menarik ialah pengarahnya dan watak heronya adalah muslim, maka secara tidak langsung ia telah berjaya mengangkat martabat orang islam di persada filem antarabangsa. Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini ialah adakah industri filem kita boleh melahirkan filem sehebat itu ? Selamat menonton.

Thursday, March 12, 2009

Kawan

Panorama dari puncak Bukit Bauk.

Akhirnya hari ini saya berjumpa dengan seorang kawan yang sudi menemani saya bermain golf setelah sekian lama saya mencari sesiapa yang sudi bermain bersama saya. Pada minggu lepas seorang sahabat pula mengajak saya menyiapkan 'research' bersamanya. Saya bersyukur kerana masih lagi mempunyai teman-teman yang sudi berkongsi suka dan duka dengan saya. Kehadiran kawan-kawan saya itu membuatkan saya sedar betapa pentingnya sahabat di dalam kehidupan kita. Walaupun saya banyak menghabiskan rutin kehidupan saya secara bersendirian, tetapi kadang-kadang kehadiran sahabat memainkan peranan yang signifikan apatah lagi dikala kita amat memerlukannya. Banyak masalah dapat diselesaikan dengan bantuan daripada rakan-rakan yang ada di sekeliling kita. Kadang-kadang kita sangat terharu dengan pertolongan dan pengorbanan yang dihulurkan dan bila difikirkan sejenak saya sendiri tidak sanggup untuk membantu apabila diminta berbuat demikian. Oleh itu adalah penting untuk kita menjaga hati dan perasaan sahabat-sahabat kita supaya jalinan persahabatan yang sedia ada dapat dikekalkan dan terus utuh. Saya masih lagi menghubungi bekas rakan-rakan persekolahan dan pelajar-pelajar saya kerana saya menganggap mereka semua adalah rakan-rakan saya yang baik walaupun tinggal berjauhan. Masih mencari teman untuk sama-sama beriadah di bukit bauk,ada sesiapa berminat nak join ?

Wednesday, March 11, 2009

Jati diri

Isu penggunaan bahasa inggeris semakin hangat diperkatakan pada masa kini. Malah ia merupakan isu yang paling tinggi mendapat perhatian oleh semua lapisan masyarakat di negara kita. Ia sudah menjadi isu nasional. Perlaksanaannya telah mendapat tentangan secara terbuka dan berani terutamanya daripada pejuang-pejuang bahasa, sasterawan dan budayawan. Ini membayangkan bahawa kemelut isu ini menjadi semakin mendesak untuk ditangani. Fenomena ini telah mencetuskan satu dimensi baru ke arah penyelesaian yang lebih konkrit atau mungkin membawa kepada suasana yang tidak sihat jika tidak ditangani dengan baik. Secara jelas kita semua mempersetujui bahawa objektif dasar tersebut dilaksanakan ialah untuk melahirkan generasi rakyat Malaysia yang boleh bersaing di arena global. Cuma yang menjadi pertikaiannya ialah kaedah atau strategi yang sedang dilaksanakan bukanlah dianggap yang terbaik kerana ia dikatakan telah mencemarkan kedaulatan bahasa kebangsaan itu sendiri disamping mencacatkan tranformasi ilmu kerana kedangkalan pelajar kita memahami dan menguasai bahasa tersebut. Dasar ini juga didakwa telah menjejaskan penguasaan bahasa ibunda dengan baik oleh golongan muda. Yang menjadi mangsa polemik ini ialah generasi muda kita yang sepatutnya mendapat pendidikan sempurna. Apa yang pasti kita semua inginkan satu generasi yang boleh menguasai bahasa inggeris dengan baik dan pada masa yang sama mempunyai jati diri bangsa dengan acuan kita sendiri. Persoalannya adakah perlaksanaan dasar tersebut telah menggugat jati diri generasi muda terhadap bahasa, bangsa dan agamanya. Sama samalah kita fikir fikirkan.

Saturday, March 7, 2009

Dugaan

Setiap manusia akan diuji oleh 4JJl tanpa mengira pangkat dan kedudukannya. Dugaan datang dalam pelbagai bentuk bergantung kepada ketentuan ilahi. Ada yang diduga dengan pelbagai keperitan dan kepayahan hidup seperti kematian orang tersayang atau kehilangan harta benda. Anugerah kecantikan, kesihatan, kesenangan dan kemewahan juga merupakan satu ujian. Ia diturunkan ke atas manusia untuk menilai sejauh mana keimanan seseorang hamba kepada penciptanya.Tuhan juga hendak menguji setiap manusia untuk menentukan sama ada dia berjaya atau tidak menempuh segala cabaran dan rintangan yang dihadapinya. Apabila seseorang itu menghadapi dugaan dengan penuh sabar, tenang dan bijaksana, maka ia akan dapat menyelesaikan masalah itu dengan baik dan rasional. Golongan ini sentiasa redha di atas setiap ujian yang melanda dirinya disamping berusaha untuk mencari jalan keluar supaya setiap masalah dapat ditangani dengan bijaksana. Malahan dia akan sentiasa berdoa dan bertawakal supaya apa yang telah dilaksanakan itu mendapat petunjuk dan hidayah daripada penciptanya. Ini kerana dia menyakini bahawa walaupun sesempurna mana usaha yang telah dibuat, tetapi sama ada berjaya atau tidak sesuatu usaha itu adalah dari ketentuan 4JJI jua. Jika sebaliknya berlaku maka dia akan terus kecundang dan bergelumang dengan masalahnya tanpa penyelesaian konkrit. Akhirnya dia menemui jalan buntu, tertekan dan gagal mengawal emosinya lalu mengambil jalan penyelesaian mudah dengan cuba melakukan perbuatan yang keji seperti minum arak yang membolehkan dia melupakan sejenak dugaan yang dialaminya. Orang yang sebegini rupa ternyata gagal menghadapi semua situasi ujian yang ditentukan ke atas dirinya. Oleh yang demikian hadapilah setiap ujian yang dihadapi dengan sabar dan tekun serta carilah jalan penyelesaian dengan bijaksana disamping berdoa dan bertawakal kepada tuhan agar kita berjaya melepasi setiap ujian yang melanda.

Friday, March 6, 2009

Model

Lawatan Industri 1 2009

"Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa". Ungkapan ini saya tujukan khas buat salah seorang keluarga pelajar saya yang sudi menghulurkan bantuan sepanjang lawatan kami. Sumbangan ikhlas yang diberikan cukup bermakna dan bererti bagi kami semua kerana ia sekurang-kurangnya menjimatkan budget kami di samping dapat mengenalinya dengan lebih rapat. Apa yang paling mengembirakan kami semua ialah layanan yang diberikan amat begitu istimewa sekali. Bayangkan tanpa mengira penat dan lelah, ibunya sanggup bangun di awal pagi bagi menyiapkan sarapan pagi kami (nasi lemak ayam) seramai 30 orang. Pada waktu petang pula kami dijamu dengan hidangan yang lazat dan menyelerakan termasuk menu kegemaran saya, salad ayam. Kami juga amat terharu kerana semua ahli keluarganya melayani kami sama seperti melayan keluarganya sendiri. Di samping itu juga saya amat teruja apabila pertama kali dapat melihat potret Wali Songo yang merupakan keturunan keluarga sebelah ayahnya. Apa yang boleh saya simpulkan tentang keunikan keluarga ini ialah ia merupakan satu keluarga kaya yang pemurah dan baik hati serta mengamalkan cara hidup secara sederhana di kota metropolitan, satu situasi yang amat jarang sekali kita jumpai di akhir zaman ini. Semoga saya dapat mengambil teladan daripadanya sebagai satu model keluarga cemerlang. Akhir sekali saya doakan agar keluarga ini sentiasa dicucuri rahmat hidup, kebahagiaan yang hakiki dan kekal abadi serta dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Syukur dan jutaan terima kasih saya ucapkan. Semoga bersua kembali.

Monday, March 2, 2009

Nostalgia




Di atas permintaan bekas pelajar saya, maka disini saya siarkan foto salah-satu kumpulan kelas sebagai kenangan terindah untuk dikongsi bersama. Kumpulan ini sebenarnya merupakan kumpulan pertama saya menyampaikan kuliah sebaik sahaja melaporkan diri sebagai pensyarah. Cuba anda bayangkan betapa gugupnya saya pada masa itu kerana tanpa pengalaman mengajar sedikitpun dan ditambah lagi dengan secebis bekalan ilmu di dada, saya diamanahkan untuk mengajar kelas ini dimana jumlah pelajar wanitanya agak begitu ramai. Seingat saya pada masa itu hanya ada 2 orang pelajar lelaki sahaja sedangkan jumlah pelajar perempuannya ialah seramai 47 orang, satu jumlah yang cukup teruja dan menggerunkan saya untuk berdiri di hadapan pentas dan menyampaikan kuliah pertama saya. Di sepanjang semester bersama pelajar-pelajar ini, saya cuba untuk memahami dan mempelajari selok-belok kaedah pengajaran yang terbaik untuk disampaikan. Di samping itu juga saya cuba mendekati pelajar-pelajar tersebut supaya hubungan kami (antara pensyarah dan pelajar) menjadi lebih mesra dan ceria. Akan tetapi masa begitu cepat berlalu, kini sudah hampir 2 tahun 8 bulan saya meninggalkan kumpulan ini. Di sepanjang tempoh tersebut, saya telah menyaksikan banyak perubahan yang belaku kepada diri saya dan juga pelajar-pelajar tersebut. Saya doakan supaya semua mereka berjaya di dalam bidang yang diceburi dan semoga hubungan ini akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat. Jadikanlah ia sebagai kenangan teristimewa bersama saya. Amin.

Sunday, March 1, 2009

Pengalaman

Pengalaman mematangkan kehidupan. Begitulah ungkapan yang boleh digambarkan tentang kepentingan pengalaman di dalam kehidupan kita. Hidup tanpa pengalaman diibaratkan seperti bayi yang baru lahir ke dunia, tidak mengerti apa-apa dan baru hendak megenal erti hidup. Sebab itulah orang yang mempunyai banyak pengalaman diberi kepercayaan penuh untuk mengemudi organisasinya. Walaupun kelayakannya tidak sehebat orang lain, tetapi pendedahan pengalaman yang telah dilaluinya membolehkan dia menguruskan diri dan organisasinya dengan baik dan cemerlang. Amatlah rugi kalau organisasi atau orang lain tidak menggembleng pengalaman yang ada padanya. Oleh yang demikian kita hendaklah mencari dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman yang ada di sekeliling kita. Anggaplah segala pengorbanan yang terpaksa kita curahkan demi untuk orang lain sebagai satu pengalaman berharga walaupun banyak masa, tenaga dan wang ringgit terpaksa dihabiskan. Jadikanlah ia sebagai satu peluang untuk kita terus mempertingkatkan kebolehan diri. Jika kita diberi amanah dan tanggungjawab untuk menyempurnakan sesuatu tugas yang diberikan, ambillah peluang tersebut kerana banyak pengalaman yang boleh dikutip darinya. Jadikanlah setiap kesilapan atau pengalaman pahit yang dilalui sebagai pedoman dan panduan untuk kita jadikan sempadan supaya kita tidak mengulangi persitiwa yang sama. Semoga pengalaman yang ditimba dapat memberi kekuatan kepada kita untuk merancang program supaya lebih mantap dan berjaya pada masa akan datang. Waallahua'lam.