Saturday, January 31, 2009

Wang

Bagi sesetengah orang, wang adalah segala-galanya. Manusia sanggup melakukan apa saja tanpa mengira dosa pahala atau status sama ada untuk meneruskan hidup ataupun hidup bermewahan. Ada juga manusia mengejar wang dengan bekerja bersungguh-sungguh atau berniaga mati-matian yang akhirnya keringatnya itu mendapat habuan dalam bentuk kepuasan diri dan harta kekayaan. Malahan ada juga golongan tertentu yang sanggup melacurkan diri semata-mata untuk menyara diri atau sebagai pendapatan sampingan. Begitulah cebisan perkongsian cerita untuk mengambarkan kedudukan wang di dalam kehidupan kita. Pada zaman kemelesetan ekonomi ini wang menjadi semakin dominan sebagai sumber rezeki bagi menampung asas kehidupan. Kawan saya yang berada dalam bidang industri menceritakan bagaimana kemelesetan ekonomi memaksa penjawat jawatan tinggi seperti jurutera menjual goreng pisang di tepi-tepi jalan setelah kehilangan pekerjaannya. Hidup perlu diteruskan, insuran kereta dan rumah perlu dibayar, anak-anak ingin meneruskan persekolahan dan keluarga dikampung juga perlukan wang. Jadi fenomena di atas bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dihairankan. Semoga saya dan rakan-rakan boleh mengambil iktibar dan bersyukur supaya kita tidak termasuk di kalangan orang-orang yang berada di dalam kesempitan hidup yang sedemikian rupa dan senantiasa beringat untuk membelanjakan wang yang ada dengan berhemah dan bijaksana. Amin.

Thursday, January 29, 2009

Motivasi

Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri untuk mengekalkan tahap motivasi diri bagi memastikan matlamatnya tercapai. Malah ada juga orang yang kekal tahap motivasi dirinya tanpa perlu merasa risau tentang momentum motivasi yang ada dalam dirinya. Ada juga orang yang semakin tinggi tekanan hidup atau kerja yang dialaminya, maka semakin tinggi tahap motivasi dalam dirinya yang akhirnya meletakkan dirinya dalam golongan orang yang cemerlang dan berkualiti. Saya berada dalam kategori orang yang sentiasa perlu mendapat suntikan motivasi bagi meneruskan perjuangan hidup. Kadang-kala saya tidak bersemangat dalam melakukan sesuatu kerja atau aktiviti harian. Contohnya saya sangat malas mengisi masa lapang dengan perkara-perkara berfaedah seperti membaca sedangkan saya perlu melakukannya untuk mengekalkan tahap motivasi diri. Pada masa inilah saya dapat mengambarkan diri saya yang kurang momentum semangat dalam diri untuk meneruskan hidup. Dikala inilah saya perlu berusaha mencari punca masalah yang menyebabkan saya kurang bermotivasi dan memikirkan bagaimana cara untuk keluar daripada situasi tersebut. Jalan penyelesaian perlu di atasi dengan segera bagi memastikan tabiat negatif dan tidak ketentuan ini tidak berpanjangan dan dapat di atasi dengan bijaksana. Semoga rakan-rakan saya mempunyai nilai hidup yang baik dan dapat diamalkan secara berterusan bagi mengekalkan motivasi diri yang tulen dan sejati. Wassalam.

Wednesday, January 28, 2009

EKONOMI

Kemelesetan ekonomi sedang menjadi isu yang paling hangat diperkatakan selain daripada isu Gaza dan isu pilihanraya. Lebih menggerunkan kenyataan akhbar oleh Bill Gates yang menjangkakan ia akan mengambil masa 1o tahun untuk pulih seperti sedia kala. Saya pula memikirkan tentang kemana arah tuju mahasiswa kita selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing dikala hampir semua syarikat perniagaan sedang membuang pekerjanya untuk mengecilkan operasi pengeluaran. Sebenarnya kemelesetan ekonomi juga boleh memberi kebaikan kepada golongan-golongan tertentu seperti pelabur kerana pada masa inilah kebanyakan harga saham dan barangan tertentu akan menjadi murah. Saya tidak amat terasa bahang kemelesetan ekonomi kerana bekerja makan gaji dan berada di dalam organisasi yang terjamin status kerjayanya. Malah mungkin inilah masa yang amat sesuai untuk saya membeli barangan keperluan hidup seperti rumah kerana harganya yang murah sedikit berbanding dengan harga pasaran. Apa yang perlu saya lakukan ialah hanya mengikuti dan menganalisa perkembangan ekonomi semasa supaya peluang keemasan ini dapat dipergunakan sebaik mungkin untuk membuat pelaburan memandangkan pendapatan saya yang amat terhad. Saya juga mencadangkan kepada rakan-rakan untuk mengambil peluang yang sama supaya setiap nilai wang yang dibelanjakan dapat dimaksimakan. Nasihat saya kepada mahasiswa pula supaya lebih rajin belajar dan menimba pengalaman sebanyak mungkin semasa di universiti untuk menjadi yang terbaik dikalangan yang lebih baik. Wassalam.

Tuesday, January 20, 2009

Perjuangan

Hidup tanpa perjuangan diibaratkan seperti seekor kera yang sentiasa menunggu arahan dari tuannya untuk mengait buah kelapa. Perjuangan memerlukan bekalan ilmu yang cukup supaya dia berani dan tabah menentang sesiapa saja yang cuba menghalang niatnya. Dia akan mempertahankan prinsipnya hatta terpaksa mengorbankan masa dan tenaga demi melihat matlamatnya menjadi realiti. Setiap orang mempunyai isu yang tersendiri untuk diperjuangkan demi menyelamatkan maruah atau menegakkan kebenaran. Namun begitu kita kadang kala rebah atau tersungkur di tengah jalan kerana tidak berdaya mempertahankan apa yang hendak diperjuangkan. Saya turut tergolong dalam individu yang terpaksa berjuang bagi menegakkan kebenaran. Sebenarnya bukan mudah untuk saya menghadapi saat genting ini apatah lagi isu yang hendak diperjuangkan itu melibatkan 'pergelutan' dengan rakan-rakan saya dan orang yang saya hormati. Saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk masuk ke gelangang perjuangan kerana saya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemungkinan-kemungkinan perkara yang akan berlaku hatta diluar daripada dugaan kita. Namun begitu saya tekad dan membuat keputusan untuk tidak berundur bagi mempertahankan kebenaran. Semoga 4JJI sentiasa memberi petunjuk dalam setiap detik langkah perjuangan saya supaya tidak tersasar dari matlamat asal perjuangan. Wassalam.

Sunday, January 18, 2009

Hiburan

Aktiviti hiburan merupakan sesuatu perbuatan atau tindakan yang dilakukan oleh setiap insan untuk merehatkan dirinya daripada tekanan kerja, keluarga, peribadi dan sebagainya. Kesannya ia mampu meringankan atau mengurangkan tekanan yang sedang dihadapinya kerana ia mengelakkan dirinya daripada memikirkan soal kehidupan seharian secara lebih serius dan berterusan. Cara atau pendekatan untuk berhibur bergantung kepada individu itu sendiri asalkan mencapai tujuan di atas. Malah ada juga golongan manusia sanggup melakukan perbuatan negatif semata-mata atas alasan sebagai cara untuk berhibur atau bersukaria. Contohnya semakin ramai golongan remaja yang terlibat dengan aktiviti sosial yang tidak bermoral seperti parti seks sebagai cara untuk berhibur. Yang lebih menariknya terdapat sesetengah orang yang menganggap aktiviti hariannya sebagai sebahagian daripada aktiviti hiburan kerana ia memberi kepuasan dalam dirinya seperti melakukan aktiviti menulis, melukis, menyolek, berceramah yang dianggapnya sebagai hobi. Saya turut melakukan beberapa aktviti yang boleh dikategorikan sebagai aktiviti untuk berhibur seperti membaca, menulis, bermain bowling, berjogging, menonton filem, mendengar lagu, melancong, berborak dan lain-lain lagi. Semoga apa yang saya lakukan boleh menceriakan hidup saya untuk mengurangkan tekanan dan bebanan hidup yang terpaksa dipikul. Wassalam.

Saturday, January 17, 2009

Rakyat

Keputusan pilihanraya KT membuktikan bahawa suara rakyat adalah penentu kemenangan. Walaupun setiap parti mempunyai prinsip perjuangan yang tersendiri dan masing-masing berjuang mempertahankan kebenarannya, namun begitu setiap warganegara berhak untuk menilai dan memilih parti mana yang dirasakan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka. Selain daripada faktor di atas, kredibiliti calon, strategi kempen dan isu yang diketengahkan juga memainkan peranan yang penting untuk memenangi hati rakyat. Yang penting sekarang iailah memahami kemahuan dan kehendak rakyat supaya selari dengan prinsip perjuangan parti yang dibawa. Kadangkala kedangkalan ilmu dan maklumat serta bebaur dengan emosi yang keterlaluan menyebabkan rakyat mudah tertewas dengan strategi kempen yang dijalankan sehingga gagal untuk membuat keputusan terbaik dan matang. Kesimpulannya saya mempunyai amanah dan tanggungjawab yang berat untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu, matang, berfikiran kritis dan berjiwa besar supaya mereka membuat keputusan yang tepat untuk diri mereka sendiri dan orang lain dalam setiap tindakan yang dilakukannya.

Friday, January 16, 2009

Iman

Setiap muslim mempunyai tahap keimanan yang berbeza-beza bergantung kepada amalannya. Selain daripada usaha berterusan mengamalkan aktiviti yang boleh mengekalkan tahap keimanannya, dalam masa yang sama usaha untuk mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang boleh melunturkan imannya hendaklah dilakukan. Ini adalah penting bagi memastikan jiwanya sentiasa bersih dan tenang serta kuat daripada hasutan godaan syaitan. Dua perkara inilah yang amat sukar dilakukan bagi sesetengah muslim untuk mengekalkan keimananya kepada 4JJI. Saya turut tergolong daripada orang yang dimaksudkan di atas. Walaupun saya memahami bahawa agama islam itu mudah dan universal, tetapi orang seperti saya amat sukar untuk melaksanakannya dalam amalan harian. Mengamalkan ajaran islam dan dalam masa yang sama meninggalkan larangannya merupakan satu perkara yang sukar untuk diselaraskan dan diadunkan sebaik mungkin supaya kedua-duanya bergerak selari dalam kehidupan seharian saya. Namun begitu saya senantiasa berusaha agar dua perbuatan ini dapat bergerak serentak supaya saya mampu mengekalkan tahap keimanan yang tinggi. Saya berdoa agar 4JJl senantiasa megampunkan dosa-dosa saya dan seterusnya memberi hidayah kepada saya menjadi muslim sejati. Amin.

Menulis

Saya baru sahaja menghadiri bengkel penulisan karya kreatif bersama sasterawan terkenal tanah air kita seperti Rejab FI, Sharif Putera, Ismail Restu, Abdul Halim R dan Jamaludin D. Input - input yang disampaikan cukup bermakna dan menyeluruh kerana peserta dibimbing bagaimana cara untuk menulis puisi, pantun, novel dan cerpen dengan betul dan hebat. Apa yang dapat saya simpulkan disini iailah setiap orang berkemampuan untuk menghasilkan karya -karya seperti yang dinyatakan di atas asalkan mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang penulisan, banyak membaca, meransang otak untuk berfikiran kreatif, mempunyai sikap peka terhadap sesuatu peristiwa yang dilaluinya dan belajar kaedah menulis dengan betul. Kerjaya saya sekarang sangat berkait rapat dengan bidang penulisan malah tuntutan itu kadang - kadang menjadi prioriti utama berbanding dengan tugas kerja saya yang lain. Bengkel ini telah memberi kesedaran kepada saya tentang betapa pentingnya menulis. Ia juga telah memberi satu suntikan motivasi kepada saya untuk terus menulis di dalam blog ini sebagai platfom untuk mencetuskan dan meransang mood, semangat, disiplin dan konsisten dalam mengadunkan dan mengolah ilmu, idea dan emosi saya dengan teratur dan hidup. Semoga 4JJI terus memberi kudrat untuk saya terus bergiat secara aktif dalam bidang penulisan sehingga mampu menerbitkan karya-karya yang bagus dan bermesej. Wassalam.

Wednesday, January 14, 2009

Politik

Kewujudan ilmu sains politik di tempat kerja saya menyebabkan saya lebih mudah untuk memahami dunia politik sebenar. Ini ditambah lagi dengan penglibatan saya secara langsung dalam membuat kajian tentang analisis pilihanraya Kuala Terengganu. Keperluan kajian ini memerlukan saya mengumpul dan menganalisa data bagi semua parti politik yang bertanding. Saya juga mula mempelajari dan memahami proses dan kaedah yang digunapakai untuk menghasilkan satu kajian yang terbaik dan menyeluruh. Bagi saya ia merupakan satu pengalaman yang cukup menarik dan berkesan kerana kaedah yang digunakan sama sekali berlainan dengan yang sedia ada. Yang lebih penting saya turut memahami bagaimana strategi percaturan politik oleh semua parti dilakukan untuk memenangi hati para pengundi sehingga saya tidak boleh menafikan bahawa prinsip 'politik menghalalkan cara' ada kebenarannya. Dari sinilah saya juga boleh memahami erti demokrasi yang sebenar. Apa yang lebih penting iailah minat saya yang mendalam dalam ilmu politik sejak dulu lagi menjadi semakin subur dan ini amat membantu saya untuk membuat keputusan sama ada ingin menceburi dalam bidang politik ataupun tidak. Semoga 4JJI senantiasa memberi petunjuk ke arah kebenaran kepada saya dan rakan-rakan terhadap apa yang saya lakukan sekarang dan akan datang. Wassalam.

Tuesday, January 13, 2009

Perancangan

Dalam ucapan saya sebagai penasihat persatuan iailah meminta AJK yang baru dilantik supaya dapat berbincang untuk membuat perancangan aktiviti persatuan sepanajng tempoh mereka memegang jawatan. Saya juga menekankan betapa pentingnya kita membuat perancangan supaya sekurang-kurangnya kita dapat mejangkakan apa yang akan berlaku dan seterusnya membuat persiapan aktiviti yang akan dijalankan tanpa mengira sama ada aktiviti itu memberi impak yang besar mahupun kecil. Perancangan ini juga adalah penting bagi semua ahli persatuan untuk memgetahui halatuju sesebuah organisasi itu. Begitu juga dengan manusia yang tidak ketinggalan perlukan perancangan hidup sepanjang hayatnya. Saya merasakan perancangan hidup saya tidak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku. Mungkin juga saya tidak membuat perancangan yang betul dan konkrit menjadi penyebab utama kenapa saya senantiasa tidak dapat menduga apa yang berlaku ke atas diri saya sekarang. Sikap saya yang suka mengubah perancangan hidup juga menyumbang kepada faktor di atas. Apa yang hendak saya perkatakan disini iailah hanya masa yang menentukan perancangan hidup saya. Saya berdoa agar apa yang saya rancangkan atau yang tidak saya rancangkan berlaku dalam hidup saya mendapat keredhaannya di dunia dan di akhirat.

Sunday, January 11, 2009

USAHAWAN

Perkataan usahawan atau bisnes sangat sinomin dalam hidup saya dan sukar untuk dipisahkan walaupun saya pernah cuba untuk menguburkannya. Ada pepatah mengatakan air dicincang tidak akan putus dan begitulah perumpamaan untuk mengambarkan diri saya dengan bisnes apatah lagi saya dari keturunan darah orang berniaga. Hampir separuh daripada ruang hidup saya sudah dihabiskan semata-mata untuk mancari ilmu keusahawanan. Terlalu banyak masa, tenaga, harta dan wang ringgit terpaksa dikorbankan demi memenuhi naluri diri terhadap tuntutan bisnes. Biarpun saya sudah mempunyai pekerjaan tetap sekarang tetapi hati kecil ini masih berkata-kata untuk menjadi seorang usahawan pada suatu hari nanti. Mulai hari ini saya mula meneguhkan tekad saya untuk menjadi usahawan yang berjaya. Saya sentiasa berdoa agar 4JJ1 memakbulkan impian saya sebelum saya menutup mata saya meninggalkan dunia ini.

Wednesday, January 7, 2009

Bersosial

Aktivit bersosial merupakan salah satu platfom terbaik untuk merapatkan silaturrahim disamping memberi peluang untuk merehatkan diri daripada kesibukan kerja. Malahan secara tidak langsung ia juga boleh menghapuskan atau mengurangkan jurang salah faham atau ketidakpuasan hati semasa membuat urusan rasmi antara sesama kita. Tanpa mengira kedudukan sama ada ditempat kerja atau di dalam masyarakat, setiap orang akan berseronok dan bergembira bersama-sama sambil bersaing untuk mencapai kemenangan di dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan. Di sini saya menyenaraikan beberapa aktiviti sosial yang akan dijalankan oleh organisasi saya dan sudah pasti saya akan turut serta untuk mencapai maksud di atas:

1. Perlawanan bowling.
2. Hari Keluarga.
3. Team building.
4. Bersenam.
5. Treasure hunt.

Semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan kelapangan masa untuk saya dan rakan-rakan menyertai aktiviti-aktiviti di atas. Wassalam.

ILMU

Ilmu menjadi begitu dominan di zaman alaf baru ini. Tahap ilmu yang dimiliki oleh seseorang boleh mengubah atau menentukan kedudukannya di dalam masyarakat atau organisasi. Ilmu semakin dikejar oleh setiap insan yang tahu akan nilainya walaupun terpaksa bergolok-gadai demi memastikan keinginannya tercapai. Saya tidak ketinggalan dalam soal mengejar ilmu ini. Di sini saya senaraikan beberapa jenis ilmu yang perlu saya pelajari atau kuasai pada tahun ini untuk memastikan saya tidak ketinggalan dalam mengejar impian yang akan mengubah kehidupan saya di dunia dan di akhirat:

1. Belajar bermain golf.
2. Belajar memahami ayat-ayat dalam Al-Quran.
3. Menekuni ilmu PHD.
4. Belajar menguasai penggunaan BI dengan lebih sempurna.
5. Berlatih bermain bowling.
6. Belajar mencari duit untuk menambahkan pendapatan.

Sebenarnya apa yang ingin saya lakukan di atas sedang diusahakan atau dilaksanakan kecuali bermain golf. Penyenaraian di atas hanyalah sebagai satu penegasan untuk memastikan bahawa matlamat yang diatur menjadi lebih terancang dan bermotivasi. Semoga apa yang diimpikan di atas tercapai dan mendapat keredhaan Allah.

Wassalam

Monday, January 5, 2009

PDA

Saya sedang berkira-kira untuk membeli handset baru sejak beberapa bulan yang lepas. Semalam sahabat saya menceritakan tentang PDA yang baru dibelinya. Dia menceritakan tentang kelebihan PDAnya kepada saya. Saya sangat tertarik dengan penerangan yang diberikan termasuk rekabentuk PDAnya yang canggih dan menawan. Sejak itu saya mula jatuh hati dengan PDA kerana fungsinya yang cukup sempurna sesuai dengan kerjaya saya. Cuma mungkin harganya menjagkaui daripada harga sebuat handset normal yang selalu saya berkira-kira untuk membelinya. Semoga hajat saya untuk memiliki sebuah PDA tercapai. Hanya kerja keras dan tekun sahaja dapat melayakkan saya memiliki PDA yang saya inginkan itu. Motivasi buat diri saya dan rakan-rakan "teruskan perjuangan hingga berjaya".
Wassalam.

Saturday, January 3, 2009

Good To Great (G2G) in 2009

Kalau dibaca, ayat di atas adalah ringkas dan mudah untuk difahami. Tetapi jika dilihat dari sudut maksud tersirat, ia adalah sesuatu yang sukar untuk dimegerti dan dilaksanakan oleh setiap insan. Ayat di atas berkisar mengenai perubahan diri kepada yang lebih baik terutamanya dalam menempuh alam tahun baru. Persoalannya bagaimanakah kita menterjemahkannya dalam bentuk tindakan dan perbuatan supaya apa yang kita impikan tercapai. Sudah tentu sekali setiap orang mempunyai pendekatan yang berbeza untuk melakukannya. Akan tetapi, sebagai seorang muslim, saya ingin mengariskan beberapa cadangan bagi menterjemahkan maksud di atas dalam bentuk tindakan sebagai panduan hidup saya iaitu:

1. Puasa sunat setiap isnin dan ahad.
2. Baca al-mathurat setiap pagi dan petang.
3. Bangun awal pagi untuk solat dan kerja.
4. Konsisten dalam solat berjemaah.
5. Sentiasa berzikir dalam hati.

Semoga apa yang digariskan di atas dapat dilaksanakan dengan konsisten supaya kesan yang nyata dapat dirasai dan dijiwai. Harapan saya semoga setiap orang yang seagama dengan saya juga mempunyai niat, pemikiran dan tindakan yang sama untuk terus mempertingkatkan prestasi diri.

Amin.

Thursday, January 1, 2009

2009

Tahun baru biasanya dikaitkan dengan azam baru, matlamat baru dan semangat baru. Saya tidak ketinggalan dalam menyahut cabaran tahun baru ini untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk yang belum disempurnakan pada tahun lepas. Berikut adalah keazaman, matlamat dan semangat baru yang perlu saya pikul dan sempurnakan pada tahun ini :

1. Menulis di blog.
2. Menyiapkan 2 research.
3. Mengumpul info untuk tajuk PHD.
4. Memiliki sebuah rumah.

Semoga apa yang saya impikan ini dapat direalisasikan pada tahun 2009. Hanya keazaman dan semangat yang tinggi dan disertakan dengan doa dan tawakkal sahaja dapat melepasi semua halangan dan rintangan yang berliku-berliku. Selamat tahun baru dan awal muharram kepada rakan-rakan, pelajar-pelajar dan sesiapa yang mengenali diri saya.

Wassalam.