Sunday, June 20, 2010

Kisah Usahawan 2 - Pengorbanan

Kadang-kala pengorbanan yang dilakukan memberi makna yang amat besar ertinya di dalam kehidupan kita. Ia terpaksa dilakukan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh supaya apa yang dilakukan itu mencapai sasarannya dan dapat dikecapi kejayaannya.

Cerita pengorbanan seorang usahawan yang berjaya amat menarik minat saya untuk dikongsi bersama. Apatah lagi pengorbanan yang dilakukannya itu boleh dijadikan contoh teladan kepada bakal-bakal usahawan untuk berjaya di dalam bidang perniagaan. Ia bermula apabila beliau bertekad untuk menceburkan diri di dalam satu perniagaan baru di mana beliau tiada langsung pengetahuan dan pengalaman mengenainya tetapi yakin dengan potensi yang ada pada bidang perniagaan tersebut. Bidang perniagaan yang dimaksudkan itu ialah kek dan roti. Bidang ini adalah sama sekali berlainan dengan bidang pembinaan yang sedang diceburinya sekarang.

Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan bagi memastikan apa yang diimpikan itu menjadi kenyataan. Strategi yang berkesan terpaksa dirancang dan diatur termasuk melakukan pengorbanan yang memberi kesan yang mendalam di dalam kehidupannya sekarang yang boleh dibanggakan. Di antaranya ialah beliau telah meminta isterinya yang pada masa itu masih mempunyai anak kecil supaya mengikuti satu kursus membuat kek dan roti di satu kolej yang ternama di Kuala Lumpur.


Selepas mengikuti kursus tersebut selama setahun, beliau meminta isterinya pula bekerja sementara di beberapa kedai kek dan roti yang berprestij di sekitar Kuala Lumpur untuk menimba pengalaman dan mengetahui rahsia kejayaan mereka di dalam bidang tersebut. Kadang kala beliau terpaksa menjaga anak kecilnya dan membuat kerja rumah di kala isterinya sedang bekerja demi untuk memastikan rancangannya berhasil. Banyak wang terpaksa dilaburkan termasuk melantik perunding yang boleh merealisasikan impiannya untuk membuka sebuah kedai kek dan roti yang dapat memenuhi selera pelanggan.

Akhirnya strategi dan pengorbanan yang telah dilakukan menampakkan kejayaan apabila beliau dan isterinya telah membuka beberapa kedai kek dan roti di seluruh negara. Persoalannya adakah anda sanggup berbuat demikian bagi memastikan impian tercapai ?

1 comment:

Unknown said...

pengorbanan yang dilalkukan oleh usahawan itu sgt luar biasa..dan pastinya sekarang dia berada didalam kedudukan org2 luar biasa..manusia x akan sedar dan bangun sekiranya tiada bebanan yg terpksa di tanggung.kerana sikap tangguh2 dan x sedar diri yg kuasai khidupan.oleh itu pergorbanan lah yg menjadikan dan memastikan impian seseorng itu diraih.dan bila impian itu diraih.ia merupakan satu kemenangan yg sgt2 manis dan bermakna.