Monday, February 23, 2009

YES

Saya termasuk di dalam golongan orang yang susah hendak mengatakan 'tidak' atau 'no' semata-mata ingin menyenangkan hati pihak lain walaupun saya sebenarnya ada agenda lain yang perlu diselesaikan. Jawapan 'yes' atau 'no' merupakan satu penegasan yang perlu dinyatakan bagi mengambarkan pendirian kita di dalam kesanggupan melakukan sesuatu perkara. Jika kita mempunyai banyak masa terluang atau kita sudah selesai menjalankan kerja kita, maka kita boleh berkata 'yes' apabila orang lain ingin memohon pertolongan daripada kita. Apabila kita menyatakan persetujuan untuk membantunya, maka kita hendaklah menghulurkan bantuan sebaik mungkin supaya orang yang ditolong itu berpuas hati dengan pertolongan yang kita berikan. Jika kita hanya menolongnya umpama melepaskan batuk ditangga maka adalah lebih baik kita menyatakan 'no' untuk membantunya kerana ia akan mengecewakan orang yang meminta pertolongan. Saya rasa itu adalah lebih baik biarpun orang yang meminta bantuan akan berasa sedikit kecewa apabila kita mengatakan 'no' untuk membantunya. Kita perlu menerangkan kepadanya bahawa kita mempunyai komitmen lain yang perlu diutamakan dan kita mengharapkan agar dia memahami situasi yang sedang kita alami. Tetapi berdasarkan pengalaman sendiri pada hakikatnya saya masih sukar untuk mengatakan 'no' walaupun ada perkara lebih penting untuk diselesaikan terlebih dahulu apatah lagi orang yang ingin meminta bantuan itu merupakan ketua kita atau orang yang kita hormati kerana dia pernah menghulurkan bantuan kepada kita. Waallahua'lam.

Sunday, February 22, 2009

Budi bicara

Alangkah mudahnya hidup kita kalau setiap orang mempunyai sikap terbuka dan mudah memahami, suatu sikap yang memerlukan kita untuk memahami rintihan dan keluhan orang lain lalu keputusan yang diambil berdasarkan kepada pertimbangan semua faktor. Ternyata sekali keputusan yang dibuat akan menyenangkan hati semua pihak yang terlibat. Inilah yang dikatakan budi bicara atau sikap bertolak-ansur. Malahan walaupun sesuatu keputusan itu telah dibuat dan ia di dalam peringkat perlaksanaan, tetapi dengan budi bicaranya, dia akan meminta supaya keputusan itu ditangguhkan dahulu setelah mendapat teguran atau bantahan daripada sesuatu pihak. Ini kerana dia memikirkan mungkin teguran atau bantahan yang dibuat itu ada kebenarannya dan ia perlu diselidiki untuk memastikan kesahihannya. Maka semua orang akan menarik nafas lega dan berlapang dada kerana masalahnya itu mendapat perhatian serius. Sikap keterbukaannya dan adil itu akan membuatkan orang hormat dan menyenanginya. Sebaliknya pula jika seseorang itu terlalu tegas dengan pendiriannya walaupun bantahan yang dibuat itu berasas, ternyata ia akan hanya memuaskan hati dirinya sahaja sedangkan orang lain berasa amat kecewa dengan keputusan yang dibuatnya itu. Akhirnya orang akan membencinya jika dilaksanakan juga perkara itu dan ia akan mendatangkan mudarat kerana semua orang melaksanakannya tanpa sepenuh hati. Ini kerana orang menganggap keputusan yang dibuat itu adalah berat sebelah dan zalim. Kesimpulannya sikap tolak ansur dan budi bicara amatlah penting untuk diamalkan oleh setiap individu demi kebaikan kita bersama.

Saturday, February 21, 2009

Pemantauan

Saya telah diberitahu bahawa pada hari ini saya akan dipantau semasa bekerja oleh pasukan khas pemantauan. Pemberitahuan awal dibuat bagi memastikan supaya saya lebih bersedia semasa proses pemantauan dibuat. Ia juga untuk memastikan bahawa saya wajib mengikuti prosedur atau kriteria yang telah ditetapkan bagi melayakkan saya mendapat keputusan yang cemerlang atau memuaskan. Selain daripada itu ia juga untuk memastikan proses pemantauan berjalan dengan lancar seperti saya bekerja pada masa itu dan melakukan kerja utama yang dikehendaki untuk tujuan penilaian. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan pemantauan kerana memaklumkan perkara ini. Pada pendapat saya proses pemantauan merupakan satu kaedah dimana pemeriksaan akan dijalankan pada bila-bila masa tanpa pengetahuan orang yang akan dipantau. Ini bermakna orang yang dipantau akan sentiasa bersedia dengan mengikuti segala prosedur atau kriteria yang telah ditetapkan sepanjang dia bekerja. Oleh yang demikian dia tiada masalah untuk dipantau pada bila-bila masa kerana dia yakin bahawa apa yang dilaksanakan sepanjang dia bekerja telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Dia juga mencuba sedaya mungkin untuk menjadikan kriteria yang dikehendaki dijadikan sebagai budaya kerja. Hanya dengan cara ini sahaja kita akan menjadi cemerlang dan terbaik. Jadi tidak timbul isu masalah kualiti kerja yang tidak konsisten. Tetapi bukan mudah untuk merealisasikannya kerana ia memerlukan tahap komitmen yang tinggi dan jitu.

Friday, February 20, 2009

Pantai

Aku dan Pantai tidak dapat dipisahkan lagi. Pantai adalah manifastasi sebuah kehidupanku. Di Pantailah tempatku dibesarkan dan didewasakan. Di Pantailah tempatku belajar erti kehidupan. Di sinilah juga tempatku mencurahkan isi hati kehidupan. Di saat aku kegirangan, aku ke Pantai. Di kala aku kesepian dan kesedihan, aku ke Pantai, dan di waktu aku ingin belajar dan bemain-main, aku juga ke Pantai. Di sinilah tempatku mencari ketenangan daripada aku kecil hinggalah dewasa. Semua peristiwa yang telah dilalui masih lagi berlegar di dalam ingatanku dan ia terus segar di dalam diari nostalgia hidupku. Bayangkan sehingga kini aku masih lagi mengingati detik-detik kehidupan yang kulalui di Pantai sejak kecil. Kini setelah dewasa, aku sangkakan semakin jauh dengan kehidupan Pantai, tetapi sebaliknya takdir Allah meletakkan diriku sentiasa disampingnya. Hampir setiap pagi dan senja, aku sentiasa menyusuri Pantai menuju ke destinasi rezeki. Di sepanjang perjalanan itu, aku sentiasa mengecapi dan menikmati panorama Pantai yang mengasyikkan dan mendamaikan. Kesannya cukup mendalam di dalam kehidupanku. Ia sentiasa menyuntik semangat baru ke dalam mindaku dan sikapku. Ia juga telah memberi suatu perasaan ketenangan yang abadi. Tetapi kini Pantai yang menjadi tempatku berteduh selama ini, terhakis disebabkan oleh angin monson yang semakin mengganas. Gelombang ombaknya semakin menghampiri daratan sehinggakan aku merasa sedikit cemas dan gusar. Begitulah juga dengan kehidupanku yang turut melalui episod yang sama, hidup yang penuh dengan pasang dan surutnya. Berdasarkan cebisan luahan di atas, tidak keterlaluan untuk diriku menyatakan bahawa Pantai adalah kehidupanku dan di dalamnya tersimpan sejuta khazanah kisahku yang amat bernilai sebagai kenangan abadi. Ia adalah segala-galanya buatku. Ia adalah lambang ketenangan dan kedamaian.

Wednesday, February 18, 2009

Mendaki

Sudah agak lama saya tidak pergi mendaki gunung. Gunung yang paling akhir saya daki ialah Gunung Tebu. Setakat ini saya telah mendaki Gunug Stong di Jeli dan Gunung Tebu di Besut. Bila saya dapat tahu ada program mendaki Gunung Ledang pada bulan April ini, saya terus menawarkan diri untuk menyertai program tersebut. Bagi saya mendaki gunung adalah satu aktiviti lasak yang menyeronokkan. Ini kerana ia akan menguji kekuatan mental dan fizikal di sepanjang pendakian ke puncak gunung. Berkat kesabaran dan semangat yang tinggi untuk menawan gunung yang kita daki, akan memberikan satu aura yang luar biasa biarpun kita sudah berada di dalam keadaan penat dan terlalu letih. Kejayaan sampai hingga ke puncak akan memberikan satu kepuasan diri yang amat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Ini ditambah lagi dengan pemandangan alam sekeliling dari puncak yang sunguh menawan dan amat menakjubkan. Kita akan rasa terpegun dan terpesona dengan keindahan alam semulajadi ciptaan tuhan. Keadaan cuaca yang cerah dan angin yang bertiup dingin menambahkan lagi kenikmatan diri untuk mengecapi suasana sebenar di puncak. Ia juga memberi satu ketenangan yang abadi kerana segala masalah dunia dapat dilupakan buat sementara waktu. Dengan kata lain kita seolah-olah berada di dalam alam lain. Semoga hasrat saya untuk menawan Gunung Ledang dikabulkan 4JJI. Insya Allah.

Monday, February 16, 2009

Praktis

"Practice makes perfect". Begitulah ungkapan yang selalu disebut oleh orang yang mengajar kita. Walaupun segala ilmu telah diajar dan dicurahkan kepada kita namun jika tiada latihan atau amalan berterusan untuk mengaplikasikan ilmu tersebut, maka kita tidak akan pandai sampai bila-bila. Ilmu yang dipelajari lama kelamaan akan berkubur bersama perjalanan usianya. Tiada peningkatan dalam kehidupannya kerana kita tidak mengamalkan apa yang telah dipelajari sebelum ini. Apabila kita telah mempelajari sesuatu bidang tertentu yang ingin kita kuasai, maka segala ilmu yang telah diperlolehi hendaklan terus digilap dan dicanai sehingga ia terus melekat di dalam ingatan kita. Ini ditambah lagi dengan semangat yang jitu dan padu untuk menguasai sesuatu bidang yang dipelajari. Malahan sikapnya yang sentiasa ingin tahu terhadap bidang tersebut, akan membuatkan dia berkerja lebih keras dengan menelaah ilmu daripada sumber lain supaya dia lebih memahami dan menguasai sesuatu ilmu itu dengan lebih mendalam, selain daripada berguru dengan orang yang pakar di dalam bidang tersebut. Kesimpulan yang boleh dirumuskan di sini ialah berguru dengan orang yang pakar, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan ditambah dengan semangat yang jitu serta komitmen yang tinggi akan menentukan kejayaannya untuk menguasai ilmu yang dipelajarinya. Semoga peluang yang diberikan oleh saya dalam mempelajari dan menekuni ilmu bermain golf ini tidak akan disia-siakan. Saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya hajat saya untuk bermain golf bersama teman-teman di Kelab Golf Desa tercapai. Amin.

Sunday, February 15, 2009

Pilihan

Bagi sesetengah orang, membuat pilihan untuk sesuatu perkara adalah merupakan suatu proses yang sukar dan amat payah. Ini kerana dia terpaksa menentukan keputusan yang terbaik untuk masa depannya. Oleh yang demikian, pemilihan perlu dibuat dengan teliti sebelum sebarang keputusan diambil. Apatah lagi keputusan yang akan dibuat melibatkan soal nyawanya. Tersilap membuat pilihan akan mengakibatkan dirinya merana sepanjang hayat. Jika dia diminta untuk membuat keputusan sama ada memilih hanya satu di antara dua pilihan yang diberikan, akan tetapi kedua-dua pilihan itu memenuhi kehendak hatinya, maka sudah pastilah akan wujudnya perasaan serba-salah dalam dirinya dan natijahnya tiada sebarang keputusan atau pendirian diambil. Di antara contoh membuat pilihan yang paling sukar dalam hidup kita ialah memakah undi, memilih calon untuk pasangan hidup, pilihan yang melibatkan nyawa orang lain dan sebagainya. Kadang-kala pilihan yang diberikan itu terlalu banyak sehingga menyebabkan dirinya menjadi 'kabur mata' dimana dia tidak tahu yang mana satu menjadi pilihan hatinya. Selain daripada itu terdapat juga di kalangan kita yang senang membuat pilihan dan keputusan. Walaupun dia mempunyai peluang yang sama untuk memilih,akan tetapi semua pilihan itu diketepikan kerana keputusan telah ada di tangannya. Ini akan memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. Dia amat tegas dalam keputusannya setelah difikirkan semasak-masakanya yang terbaik untuk dirinya dan orang lain. Kesimpulannya pilihan merupakan suatu nikmat bagi orang yang tahu menilainya dan menjadi malapetaka bagi orang yang bingung dan tidak keruan apabila diminta untuk putuskan sesuatu perkara. Waallahua'lam.

Saturday, February 14, 2009

Pencipta

ALLAH ialah pemilik alam ini kerana dialah penciptanya. Oleh itu semua makhluk yang hidup di alamnya diwajibkan menyembahnya dan mematuhi segala ajaran dan tegahannya. Antara ciptaanya yang maha hebat ialah wujudnya manusia. Tiada makhluk lain yang mempunyai fizikal dan mental menyerupai manusia. Salah satu kehebatan manusia ialah kebolehan mencipta. Dengan anugerah akal fikiran, manusia mampu merekacipta segala keperluan yang dikehendaki oleh penduduk alam ini. Tetapi malangnya ramai juga manusia yang mencipta sesuatu yang akhirnya merosakkan dirinya sendiri dan orang lain seperti mencipta agama dan senjata. Bagi yang menginsafi, menyedari dan memanfaatkan anugerah tuhan ini, ciptaannya akan menjurus kepada keperluan yang memberi kemudahan kepada dirinya dan orang lain. Terdapat juga kelompok manusia yang kreatif dimana dia berkebolehan mengubah atau menambahbaikan ciptaan yang sedia ada kepada kaedah yang lebih mudah, senang difahami dan diamalkan oleh penggunanya. Ciptaan adalah salah satu daripada sifat Allah. Jadi manusia juga hendaklah sentiasa menerapkan dan mengamalkan sifat Allah ini ke dalam jiwanya untuk kebaikan bersama. Gunakanlah kebijaksanaan yang dianugerahkan itu untuk menjadi insan pencipta kerana orang yang mencipta lebih tinggi dan mulia kedudukannya daripada orang yang menggunakannya. Waallahua'lam.

Wednesday, February 11, 2009

Kecewa

Saya amat yakin bahawa setiap orang pernah merasai kekecewaan dalam hidupnya. Kadang - kala perasaan kecewa itu amat kuat mencengkam dirinya sehingga memberi kesan negatif kepada kesihatannya, tingkahlakunya dan juga pemikirannya. Ia mengambil masa yang agak lama untuk sembuh atau menghilangkan perasaan kekecewaan yang menyelubunginya. Kesimpulannya perasaan kecewa ini amat terkesan di dalam kehidupan kita. Puncanya mungkin disebabkan oleh sikap kita yang terlalu mengharapkan sesuatu sehingga sanggup mengorbankan apa saja apabila diminta demi memastikan apa yang diingininya tercapai. Ada juga yang kehilangan insan tersayang dalam hidupnya hingga dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa orang yang amat disayangi telah tiada atau meninggalkannya. Saya ada mengenali seseorang yang sudah mencecah umur 50 an tapi masih bujang kerana serik untuk bercinta lagi setelah ditinggalkan kekasih yang amat disayangi dan disanjunginya. Hasratnya untuk mengakhiri hubungan cinta dengan bekas kekasihnya itu hingga ke jinjang pelamin hancur berkecai menyebabkan perasaan kecewa itu terus melekat dan menjadi barah di dalam sanubarinya. Tidak kurang juga kes cuba bunuh diri kerana tertekan akibat kecewa ditinggalkan kekasih. Begitulah betapa dahsyatnya atau hebatnya kesan orang yang mengalami kekecewaan di dalam hidupnya. Semoga kita sentiasa redha, sabar, tabah dan tidak putus asa apabila ditimpa musibah sedemikian rupa di dalam hidup kita. Malahan jadikanlah ia sebagai pembakar semangat untuk terus bangkit dari kegagalan dan kekecewaan lalu supaya cahaya kehidupan terus bersinar dan bergemerlapan. Amin.

Tuesday, February 10, 2009

Tegur

Ada sesetengah orang pantang ditegur kesilapannya walaupun tujuan teguran itu dibuat adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain. Tidak kurang juga ramai yang suka ditegur kerana bukan senang untuk berjumpa dengan seseorang yang sanggup menegur kesilapan kita dengan seikhlas hati. Kadang kala kesilapan yang dilakukan bukanlah disengajakan dan amatlah beruntung jika ada orang yang ternampak kesalahan yang dilakukan oleh kita lalu menegurnya supaya tidak diulangi lagi kesilapan itu. Malah ada juga orang yang agak terbuka pemikiran dan sikapnya dengan bertanyakan pelanggannya agar diberikan sedikit komen tentang kekurangan dan kelemahan yang ada dengan perkhidmatan yang sedang diberikan pada masa itu. Selain daripada itu terdapat juga teguran yang dilakukan 'tidak kena tempat' menyebabkan niat murni orang yang menegur itu disalah tafsir oleh orang yang ditegur. Natijahnya timbullah perasaan tidak puas hati terhadap si penegur yang akhirnya merebak kepada perkara-perkara lain yang sama sekali tiada kaitan dengan isu teguran sebenar oleh orang yang ditegur. Begitulah rempah ratus kehidupan manusia yang kadang kala agak sukar untuk dimengerti dan difahami sikap dan perangainya. Semoga kita termasuk di kalangan orang yang sentiasa tenang dan terbuka supaya setiap teguran yang diberikan dapat dilihat dari sudut positif dan seterusnya segalanya dapat ditangani dengan baik. Wassalam.

Monday, February 9, 2009

Berdikari

Tidak semua orang mempunyai sifat suka berdikari. Berdikari bermakna kesanggupan seseorang membuat sesuatu perkara sendirian tanpa terlalu bergantung kepada pertolongan dari orang lain. Dia akan menggunakan kudrat yang ada pada dirinya atau mencuba sedaya mungkin terlebih dahulu sebelum dia pasrah atau 'menyerah' untuk mendapatkan bantuan daripada orang lain. Hidup orang yang suka berdikari biasanya diwarnai dengan sifat ketabahan dan kecekalan. Dia tidak akan mudah berputus asa untuk mencubanya terlebih dahulu apabila dia telah nekad untuk melakukannya. Segala cabaran dan rintangan akan dihadapi dengan penuh sabar tanpa mengenal erti penat lelah. Dengan hanya berbekalkan kudrat yang ada dalam dirinya, semangat untuk melakukannya sendirian dan sabar dalam setiap detik rintangan akan sentiasa memberi harapan kepadanya bahawa kejayaan akan menyusul di kemudian hari. Dia akan mengalah atau meminta pertolongan orang lain untuk memastikan hajatnya tercapai jika segala cara telah digunakan namun dia masih gagal untuk menyelesaikannya. Dikala itulah dia akan merasa sedikit kesedihan kerana terpaksa meminta bantuan orang. Akan tetapi dia akan belajar daripada kesilapan itu dan dirinya menjadi semakin kental dan tenang dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang. Oleh yang demikian saya mengajak anda semua untuk cuba mengamalkan sikap berdikari kerana itulah lambang kebebasan, kepuasan dan kemerdekaan diri yang sukar untuk digambarkan. Amin.

Sunday, February 8, 2009

Barakah

" Amin sentiasa tenang apabila ditimpa masalah yang bertubi-tubi datang menyinggah hidupnya. Tapi tindakan nekad Azizah merupakan sesuatu yang diluar dugaannya. Amin sama sekali tidak menjangka yang Azizah sanggup memperlakukannya sedemikian rupa. Kini hanya tinggal Amin sendirian untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang belum pasti pasang surutnya. Semua tanggungjawab terletak di bahu Amin setelah ketiadaan Azizah. Amin terpaksa menguruskan kehidupan Aminah yang baru berumur 1 tahun. Amin lah yang akan membancuh susu untuk Aminah, memandikannya saban hari, menemaninya ketika bermain, membasuh baju ketika Aminah tidur dan menidurkannya setiap malam. Amin melakukannya tanpa mengenal erti penat. Segala-galanya berubah setelah ketiadaan Aminah. Masa lapangnya yang sebelum ini sempat diluangkan bersama rakan- rakan sekerjanya kini sudah berkubur. Dia akan bergegas pulang ke rumah untuk menjaga Aminah setelah mengambilnya dari rumah Kak Ana yang mangambil upah menjaga Aminah diwaktu Amin bekerja. Amin tetap berkeras mahu menjaga Aminah walaupun beberapa kali didesak oleh ibunya di kampung agar menghantar Aminah untuk dijaganya. " Begitulah secebis kisah hidup duka lara yang sempat saya karang sebagai tatapan kita bersama. Semoga kisah ini ada sambungannya dan penghabisannya.

Saturday, February 7, 2009

Tenang

Ketenangan merupakan salah satu unsur penting dalam kehidupan seseorang manusia. Biasanya unsur ini dapat dirasai di dalam sanubari seseorang yang akhirnya terjelma menerusi peribadi dan personalitinya. Pendek kata unsur ini ada di dalam roh (mental) dan jasad(fizikal) kita. Sifat ini membolehkan manusia hidup penuh keceriaan, fikirannya tiada kekusutan, kata-katanya tersusun, terserlah kelembutan wajahnya, senyumannya manis, sopannya terselah dan sapaannya memukau. Sebenarnya sukar untuk menterjemahkan makna ketenangan yang ada pada setiap orang yang merasainya. Malahan orang yang sentiasa dilindungi dengan bayangan ketenangan akan sentiasa mempertahankan nilai itu supaya ia terus tersemat di dalam dirinya. Akibat kehilangan nilai ketenangan akan merasakan dirinya terasa kosong dan hidupnya seolah-olah tiada pedoman yang jelas. Oleh sebab itulah golongan ini akan sentiasa gigih berusaha agar nilai ini terus hidup subur di dalam dirinya. Begitulah sedikit penerangan dan penjelasan akan makna ketenangan dari perspektif saya. Semoga anda semua sentiasa berada di dalam ketenangan agar terpancar nilai-nilai kecemerlangan dalam setiap perbuatan yang anda lakukan seharian. Wassalam.

Thursday, February 5, 2009

Diri

Setiap manusia diciptakan dengan mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Tiada siapa yang boleh mendakwa bahawa dirinya adalah yang terbaik atau sempurna dikalangan yang terbaik kerana jika diselidiki dengan teliti sudah pastinya terselit sifat kekurangan diri. Oleh yang demikian kita tidak perlu mendabik dada mengistiharkan diri bahawa kita adalah yang terbaik. Jika dianugerahkan dengan sesuatu pengiktirafan sekalipun cukuplah dengan mengucapkan rasa syukur sebagai tanda terima kasih kepada yang maha esa di atas pemberian sifat kelebihan yang secebis itu. Bagi yang kurang berjaya atau menyerlah, usaha peningkatan diri secara berterusan hendaklah dilakukan bagi memperbaiki kelemahan diri yang ada. Dalam masa yang sama usaha tersebut hendaklah diiringi dengan doa supaya perubahan diri ini sentiasa mendapat inspirasi, ilham, kekuatan mental dan fizikal, semangat roh dan aura yang luar biasa. Begitulah secebis kisah rasa hati yang ingin dikongsi bersama supaya blog ini sentiasa terisi dengan santapan minda dan jiwa yang segar. Semoga apa yang dicoretkan ini mendapat sedikit manfaat berguna kepada pembaca yang ada kekosongan masa untuk menjenguk apa yang boleh dibaca dan dimanfaatkan.

Wednesday, February 4, 2009

Konflik

Konflik adalah suatu peristiwa yang normal berlaku di dalam diri setiap individu. Konflik berpunca daripada ketidakpuasan hati oleh seseorang yang akhirnya berlaku pertelagahan sama ada secara terbuka atau tertutup. Situasi ini boleh menjadi lebih serius jika ia dibiarkan berpanjangan tanpa penyelesaian yang konkrit. Pada hari ini kita dapat lihat pelbagai konflik yang sedang berlaku dimana-mana seperti konflik politik tanah air dan antrabangsa, konflik kemelesetan ekonomi dan perkerjaan, konflik sosial dan budaya yang semakin menjadi-jadi dan menular di dada akhbar, internet, tv dan sebagainya. Malahan ramai juga yang sedang mengalami konflik diri yang akhirnya memakan dirinya sendiri. Contoh konflik diri ialah masalah yang dihadapi di tempat kerja atau masalah peribadi yang gagal diselesaikan atau diluahkan untuk meringankan tekanan yang akhirnya masalah itu menguasai dirinya. Akibatnya dia mengalami konflik diri seperti emosinya terganggu dan tiada kemampuan diri untuk meneruskan kerja seharian. Kegagalan mengawal konflik diri boleh mengakibatkan gangguan kesihatan yang akhirnya hidupnya menjadi sia-sia. Oleh yang demikian saya sentiasa mengingati diri ini untuk sentiasa bersikap tenang, adil dan rasional dalam setiap keputusan yang dibuat supaya konflik diri dapat dikurangkan dan diatasi dengan baik. Yang lebih penting ialah sentiasa memohon kepada Alllah supaya segala permasalahan dapat diselesaikan mendapat bimbingan dan petunjuk darinya. Amin.

Monday, February 2, 2009

Taktik

Kadang-kadang kita terpaksa merancang helah tertentu bagi mengelakkan diri daripada termakan pujuk rayu atau strategi pengaruh oleh pihak-pihak tertentu yang inginkan sesuatu daripada kita. Ini kerana bukan semua orang mampu mengatakan 'tidak' sebagai manyatakan pendirian tegas mereka. Malahan pula sikap orang kita yang sentiasa berlemah lembut seolah-olah memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk mengambil kesempatan yang akhirnya kita tertewas dengan bujukannya. Cuma apa yang dirisaukan ialah jika kita selalu sangat membuat helah dengan niat untuk mengelakkan diri, akhirnya kita akan terbawa-bawa dengan taktik demikian rupa di dalam kehidupan kita. Bila kita selalu sangat mengunakan helah walaupun dengan niat dan tujuan yang baik, nanti orang lain yang tahu atau 'terkena' dengan helah kita akan menuduh kita sebagai pembohong besar. Apa yang kita perkatakan selepas itu dianggap tidak benar walaupun kita hanya menggunakan taktik helah dalam keadaan tertentu sahaja. Oleh yang demikian, saya menasihatkan diri saya dan rakan-rakan supaya berhati-hati apabila membuat helah dengan niat yang baik kerana dikhuatiri kita terperangkap di dalam golongan orang-orang yang suka menipu. Waallahua'lam.

Sunday, February 1, 2009

Sakit

Semalam saya sempat berkunjung ke salah sebuah hospital kerajaan. Di sana saya lihat ramai pesakit dari pelbagai peringkat umur ingin berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Melalui pemerhatian saya, mereka terdiri daripada pesakit biasa hingga kepada pesakit kronik. Dari sini timbul kesedaran dan keinsafan dalam diri saya bahawa betapa pentingnya nilai kesihatan dalam kehidupan kita. Maka tidak hairanlah ramai pesakit sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata untuk mendapatkan rawatan dan ubatan terbaik untuk sembuh. Walaupun kita tidak berapa pasti punca utama penyakit yang dijangkiti, tetapi kita tidak boleh nafikan bahawa tiada pencegahan awal juga turut menyumbang kepada faktor di atas. Bab kata pepatah ada mengatakan bahawa "mencegah lebih baik daripada merawat". Slogan ini amat wajar untuk diambil iktibar bagi mengelakkan diri kita dari terkena penyakit yang amat sukar diubati atau mengambil masa yang lama untuk sembuh. Pasti akan timbul perasaan menyesal dalam diri kita sendiri sesudah terkena penyakit akibat kealpaan dan kelalaian diri sendiri. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa penyakit yang ditimpa merupakan ketentuan ilahi namun usaha hendaklah dimulakan untuk mencegahnya. Apabila sudah ditimpa penyakit barulah kita dapat merasai dan menghargai nikmat sihat yang seluhurnya. Wassalam.