Monday, February 23, 2009

YES

Saya termasuk di dalam golongan orang yang susah hendak mengatakan 'tidak' atau 'no' semata-mata ingin menyenangkan hati pihak lain walaupun saya sebenarnya ada agenda lain yang perlu diselesaikan. Jawapan 'yes' atau 'no' merupakan satu penegasan yang perlu dinyatakan bagi mengambarkan pendirian kita di dalam kesanggupan melakukan sesuatu perkara. Jika kita mempunyai banyak masa terluang atau kita sudah selesai menjalankan kerja kita, maka kita boleh berkata 'yes' apabila orang lain ingin memohon pertolongan daripada kita. Apabila kita menyatakan persetujuan untuk membantunya, maka kita hendaklah menghulurkan bantuan sebaik mungkin supaya orang yang ditolong itu berpuas hati dengan pertolongan yang kita berikan. Jika kita hanya menolongnya umpama melepaskan batuk ditangga maka adalah lebih baik kita menyatakan 'no' untuk membantunya kerana ia akan mengecewakan orang yang meminta pertolongan. Saya rasa itu adalah lebih baik biarpun orang yang meminta bantuan akan berasa sedikit kecewa apabila kita mengatakan 'no' untuk membantunya. Kita perlu menerangkan kepadanya bahawa kita mempunyai komitmen lain yang perlu diutamakan dan kita mengharapkan agar dia memahami situasi yang sedang kita alami. Tetapi berdasarkan pengalaman sendiri pada hakikatnya saya masih sukar untuk mengatakan 'no' walaupun ada perkara lebih penting untuk diselesaikan terlebih dahulu apatah lagi orang yang ingin meminta bantuan itu merupakan ketua kita atau orang yang kita hormati kerana dia pernah menghulurkan bantuan kepada kita. Waallahua'lam.

No comments: