Sunday, February 1, 2009

Sakit

Semalam saya sempat berkunjung ke salah sebuah hospital kerajaan. Di sana saya lihat ramai pesakit dari pelbagai peringkat umur ingin berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Melalui pemerhatian saya, mereka terdiri daripada pesakit biasa hingga kepada pesakit kronik. Dari sini timbul kesedaran dan keinsafan dalam diri saya bahawa betapa pentingnya nilai kesihatan dalam kehidupan kita. Maka tidak hairanlah ramai pesakit sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata untuk mendapatkan rawatan dan ubatan terbaik untuk sembuh. Walaupun kita tidak berapa pasti punca utama penyakit yang dijangkiti, tetapi kita tidak boleh nafikan bahawa tiada pencegahan awal juga turut menyumbang kepada faktor di atas. Bab kata pepatah ada mengatakan bahawa "mencegah lebih baik daripada merawat". Slogan ini amat wajar untuk diambil iktibar bagi mengelakkan diri kita dari terkena penyakit yang amat sukar diubati atau mengambil masa yang lama untuk sembuh. Pasti akan timbul perasaan menyesal dalam diri kita sendiri sesudah terkena penyakit akibat kealpaan dan kelalaian diri sendiri. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa penyakit yang ditimpa merupakan ketentuan ilahi namun usaha hendaklah dimulakan untuk mencegahnya. Apabila sudah ditimpa penyakit barulah kita dapat merasai dan menghargai nikmat sihat yang seluhurnya. Wassalam.

No comments: