Monday, February 16, 2009

Praktis

"Practice makes perfect". Begitulah ungkapan yang selalu disebut oleh orang yang mengajar kita. Walaupun segala ilmu telah diajar dan dicurahkan kepada kita namun jika tiada latihan atau amalan berterusan untuk mengaplikasikan ilmu tersebut, maka kita tidak akan pandai sampai bila-bila. Ilmu yang dipelajari lama kelamaan akan berkubur bersama perjalanan usianya. Tiada peningkatan dalam kehidupannya kerana kita tidak mengamalkan apa yang telah dipelajari sebelum ini. Apabila kita telah mempelajari sesuatu bidang tertentu yang ingin kita kuasai, maka segala ilmu yang telah diperlolehi hendaklan terus digilap dan dicanai sehingga ia terus melekat di dalam ingatan kita. Ini ditambah lagi dengan semangat yang jitu dan padu untuk menguasai sesuatu bidang yang dipelajari. Malahan sikapnya yang sentiasa ingin tahu terhadap bidang tersebut, akan membuatkan dia berkerja lebih keras dengan menelaah ilmu daripada sumber lain supaya dia lebih memahami dan menguasai sesuatu ilmu itu dengan lebih mendalam, selain daripada berguru dengan orang yang pakar di dalam bidang tersebut. Kesimpulan yang boleh dirumuskan di sini ialah berguru dengan orang yang pakar, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan ditambah dengan semangat yang jitu serta komitmen yang tinggi akan menentukan kejayaannya untuk menguasai ilmu yang dipelajarinya. Semoga peluang yang diberikan oleh saya dalam mempelajari dan menekuni ilmu bermain golf ini tidak akan disia-siakan. Saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya hajat saya untuk bermain golf bersama teman-teman di Kelab Golf Desa tercapai. Amin.

No comments: