Tuesday, February 10, 2009

Tegur

Ada sesetengah orang pantang ditegur kesilapannya walaupun tujuan teguran itu dibuat adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain. Tidak kurang juga ramai yang suka ditegur kerana bukan senang untuk berjumpa dengan seseorang yang sanggup menegur kesilapan kita dengan seikhlas hati. Kadang kala kesilapan yang dilakukan bukanlah disengajakan dan amatlah beruntung jika ada orang yang ternampak kesalahan yang dilakukan oleh kita lalu menegurnya supaya tidak diulangi lagi kesilapan itu. Malah ada juga orang yang agak terbuka pemikiran dan sikapnya dengan bertanyakan pelanggannya agar diberikan sedikit komen tentang kekurangan dan kelemahan yang ada dengan perkhidmatan yang sedang diberikan pada masa itu. Selain daripada itu terdapat juga teguran yang dilakukan 'tidak kena tempat' menyebabkan niat murni orang yang menegur itu disalah tafsir oleh orang yang ditegur. Natijahnya timbullah perasaan tidak puas hati terhadap si penegur yang akhirnya merebak kepada perkara-perkara lain yang sama sekali tiada kaitan dengan isu teguran sebenar oleh orang yang ditegur. Begitulah rempah ratus kehidupan manusia yang kadang kala agak sukar untuk dimengerti dan difahami sikap dan perangainya. Semoga kita termasuk di kalangan orang yang sentiasa tenang dan terbuka supaya setiap teguran yang diberikan dapat dilihat dari sudut positif dan seterusnya segalanya dapat ditangani dengan baik. Wassalam.

No comments: