Sunday, February 15, 2009

Pilihan

Bagi sesetengah orang, membuat pilihan untuk sesuatu perkara adalah merupakan suatu proses yang sukar dan amat payah. Ini kerana dia terpaksa menentukan keputusan yang terbaik untuk masa depannya. Oleh yang demikian, pemilihan perlu dibuat dengan teliti sebelum sebarang keputusan diambil. Apatah lagi keputusan yang akan dibuat melibatkan soal nyawanya. Tersilap membuat pilihan akan mengakibatkan dirinya merana sepanjang hayat. Jika dia diminta untuk membuat keputusan sama ada memilih hanya satu di antara dua pilihan yang diberikan, akan tetapi kedua-dua pilihan itu memenuhi kehendak hatinya, maka sudah pastilah akan wujudnya perasaan serba-salah dalam dirinya dan natijahnya tiada sebarang keputusan atau pendirian diambil. Di antara contoh membuat pilihan yang paling sukar dalam hidup kita ialah memakah undi, memilih calon untuk pasangan hidup, pilihan yang melibatkan nyawa orang lain dan sebagainya. Kadang-kala pilihan yang diberikan itu terlalu banyak sehingga menyebabkan dirinya menjadi 'kabur mata' dimana dia tidak tahu yang mana satu menjadi pilihan hatinya. Selain daripada itu terdapat juga di kalangan kita yang senang membuat pilihan dan keputusan. Walaupun dia mempunyai peluang yang sama untuk memilih,akan tetapi semua pilihan itu diketepikan kerana keputusan telah ada di tangannya. Ini akan memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. Dia amat tegas dalam keputusannya setelah difikirkan semasak-masakanya yang terbaik untuk dirinya dan orang lain. Kesimpulannya pilihan merupakan suatu nikmat bagi orang yang tahu menilainya dan menjadi malapetaka bagi orang yang bingung dan tidak keruan apabila diminta untuk putuskan sesuatu perkara. Waallahua'lam.

No comments: