Sunday, February 22, 2009
Budi bicara
Alangkah mudahnya hidup kita kalau setiap orang mempunyai sikap terbuka dan mudah memahami, suatu sikap yang memerlukan kita untuk memahami rintihan dan keluhan orang lain lalu keputusan yang diambil berdasarkan kepada pertimbangan semua faktor. Ternyata sekali keputusan yang dibuat akan menyenangkan hati semua pihak yang terlibat. Inilah yang dikatakan budi bicara atau sikap bertolak-ansur. Malahan walaupun sesuatu keputusan itu telah dibuat dan ia di dalam peringkat perlaksanaan, tetapi dengan budi bicaranya, dia akan meminta supaya keputusan itu ditangguhkan dahulu setelah mendapat teguran atau bantahan daripada sesuatu pihak. Ini kerana dia memikirkan mungkin teguran atau bantahan yang dibuat itu ada kebenarannya dan ia perlu diselidiki untuk memastikan kesahihannya. Maka semua orang akan menarik nafas lega dan berlapang dada kerana masalahnya itu mendapat perhatian serius. Sikap keterbukaannya dan adil itu akan membuatkan orang hormat dan menyenanginya. Sebaliknya pula jika seseorang itu terlalu tegas dengan pendiriannya walaupun bantahan yang dibuat itu berasas, ternyata ia akan hanya memuaskan hati dirinya sahaja sedangkan orang lain berasa amat kecewa dengan keputusan yang dibuatnya itu. Akhirnya orang akan membencinya jika dilaksanakan juga perkara itu dan ia akan mendatangkan mudarat kerana semua orang melaksanakannya tanpa sepenuh hati. Ini kerana orang menganggap keputusan yang dibuat itu adalah berat sebelah dan zalim. Kesimpulannya sikap tolak ansur dan budi bicara amatlah penting untuk diamalkan oleh setiap individu demi kebaikan kita bersama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment