Monday, February 9, 2009

Berdikari

Tidak semua orang mempunyai sifat suka berdikari. Berdikari bermakna kesanggupan seseorang membuat sesuatu perkara sendirian tanpa terlalu bergantung kepada pertolongan dari orang lain. Dia akan menggunakan kudrat yang ada pada dirinya atau mencuba sedaya mungkin terlebih dahulu sebelum dia pasrah atau 'menyerah' untuk mendapatkan bantuan daripada orang lain. Hidup orang yang suka berdikari biasanya diwarnai dengan sifat ketabahan dan kecekalan. Dia tidak akan mudah berputus asa untuk mencubanya terlebih dahulu apabila dia telah nekad untuk melakukannya. Segala cabaran dan rintangan akan dihadapi dengan penuh sabar tanpa mengenal erti penat lelah. Dengan hanya berbekalkan kudrat yang ada dalam dirinya, semangat untuk melakukannya sendirian dan sabar dalam setiap detik rintangan akan sentiasa memberi harapan kepadanya bahawa kejayaan akan menyusul di kemudian hari. Dia akan mengalah atau meminta pertolongan orang lain untuk memastikan hajatnya tercapai jika segala cara telah digunakan namun dia masih gagal untuk menyelesaikannya. Dikala itulah dia akan merasa sedikit kesedihan kerana terpaksa meminta bantuan orang. Akan tetapi dia akan belajar daripada kesilapan itu dan dirinya menjadi semakin kental dan tenang dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang. Oleh yang demikian saya mengajak anda semua untuk cuba mengamalkan sikap berdikari kerana itulah lambang kebebasan, kepuasan dan kemerdekaan diri yang sukar untuk digambarkan. Amin.

No comments: