Wednesday, February 11, 2009

Kecewa

Saya amat yakin bahawa setiap orang pernah merasai kekecewaan dalam hidupnya. Kadang - kala perasaan kecewa itu amat kuat mencengkam dirinya sehingga memberi kesan negatif kepada kesihatannya, tingkahlakunya dan juga pemikirannya. Ia mengambil masa yang agak lama untuk sembuh atau menghilangkan perasaan kekecewaan yang menyelubunginya. Kesimpulannya perasaan kecewa ini amat terkesan di dalam kehidupan kita. Puncanya mungkin disebabkan oleh sikap kita yang terlalu mengharapkan sesuatu sehingga sanggup mengorbankan apa saja apabila diminta demi memastikan apa yang diingininya tercapai. Ada juga yang kehilangan insan tersayang dalam hidupnya hingga dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa orang yang amat disayangi telah tiada atau meninggalkannya. Saya ada mengenali seseorang yang sudah mencecah umur 50 an tapi masih bujang kerana serik untuk bercinta lagi setelah ditinggalkan kekasih yang amat disayangi dan disanjunginya. Hasratnya untuk mengakhiri hubungan cinta dengan bekas kekasihnya itu hingga ke jinjang pelamin hancur berkecai menyebabkan perasaan kecewa itu terus melekat dan menjadi barah di dalam sanubarinya. Tidak kurang juga kes cuba bunuh diri kerana tertekan akibat kecewa ditinggalkan kekasih. Begitulah betapa dahsyatnya atau hebatnya kesan orang yang mengalami kekecewaan di dalam hidupnya. Semoga kita sentiasa redha, sabar, tabah dan tidak putus asa apabila ditimpa musibah sedemikian rupa di dalam hidup kita. Malahan jadikanlah ia sebagai pembakar semangat untuk terus bangkit dari kegagalan dan kekecewaan lalu supaya cahaya kehidupan terus bersinar dan bergemerlapan. Amin.

No comments: