Friday, February 20, 2009
Pantai
Aku dan Pantai tidak dapat dipisahkan lagi. Pantai adalah manifastasi sebuah kehidupanku. Di Pantailah tempatku dibesarkan dan didewasakan. Di Pantailah tempatku belajar erti kehidupan. Di sinilah juga tempatku mencurahkan isi hati kehidupan. Di saat aku kegirangan, aku ke Pantai. Di kala aku kesepian dan kesedihan, aku ke Pantai, dan di waktu aku ingin belajar dan bemain-main, aku juga ke Pantai. Di sinilah tempatku mencari ketenangan daripada aku kecil hinggalah dewasa. Semua peristiwa yang telah dilalui masih lagi berlegar di dalam ingatanku dan ia terus segar di dalam diari nostalgia hidupku. Bayangkan sehingga kini aku masih lagi mengingati detik-detik kehidupan yang kulalui di Pantai sejak kecil. Kini setelah dewasa, aku sangkakan semakin jauh dengan kehidupan Pantai, tetapi sebaliknya takdir Allah meletakkan diriku sentiasa disampingnya. Hampir setiap pagi dan senja, aku sentiasa menyusuri Pantai menuju ke destinasi rezeki. Di sepanjang perjalanan itu, aku sentiasa mengecapi dan menikmati panorama Pantai yang mengasyikkan dan mendamaikan. Kesannya cukup mendalam di dalam kehidupanku. Ia sentiasa menyuntik semangat baru ke dalam mindaku dan sikapku. Ia juga telah memberi suatu perasaan ketenangan yang abadi. Tetapi kini Pantai yang menjadi tempatku berteduh selama ini, terhakis disebabkan oleh angin monson yang semakin mengganas. Gelombang ombaknya semakin menghampiri daratan sehinggakan aku merasa sedikit cemas dan gusar. Begitulah juga dengan kehidupanku yang turut melalui episod yang sama, hidup yang penuh dengan pasang dan surutnya. Berdasarkan cebisan luahan di atas, tidak keterlaluan untuk diriku menyatakan bahawa Pantai adalah kehidupanku dan di dalamnya tersimpan sejuta khazanah kisahku yang amat bernilai sebagai kenangan abadi. Ia adalah segala-galanya buatku. Ia adalah lambang ketenangan dan kedamaian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
waaaaaaaaaaaaaaaa.... same ah en.arif... pantai pon kehidupan abby gak.. ehhe... tiap2 ptg abby lepak pantai dpn umah abby tuh... hehe
Post a Comment