Sunday, April 26, 2009

Teruk

"Ya Allah ! kenapa manusia sekarang ini semakin teruk jadinya." Itulah antara keluhan yang sering kita dengar daripada orang yang cuba membuat perbandingan tentang ragam manusia yang hidup berlainan zaman dengannya. Mungkin dia merasakan bahawa tingkah laku manusia pada zamannya tidaklah sebegitu teruk berbanding dengan apa yang berlaku sekarang. Sesungguhnya kita mungkin juga termasuk di kalangan orang yang bersependapat dengan kenyataan di atas. Ini kerana orang selalu mengaitkan perkataan teruk itu dari sudut pandangannya sebagai suatu situasi atau suasana yang negatif dan menjijikkan. Contohnya ialah wujudnya golongan pondan atau tomboy, masalah sosial di kalangan golongan muda yang semakin meruncing, tren fesyen yang keterlaluan, masalah vandalisma, isu murtad, dadah, liwat, rogol, rasis, wabak penyakit selsema babi dan sebagainya. Namun begitu bagi mereka yang suka melihat dari sudut positif, perubahan yang berlaku di sekelilingnya juga menampakkan petanda peralihan yang semakin baik. Contohnya semakin ramai golongan miskin menjadi kaya-raya, bertambahnya golongan yang bijak pandai, kelahiran masyarakat yang semakin terbuka dan lain-lain lagi. Apa yang ingin saya bincangkan pada kali ini ialah berkaitan dengan sikap teruk manusia atau masyarakat dari sudut negatif kerana ternyata ia telah menimbulkan satu fenomena yang membimbangkan buat kita semua. Persoalannya apakah punca utama yang menjadikan manusia itu sebegitu teruk perangai, tindakan dan pemikirannya sehingga kita sukar untuk mempercayai dan menerima hakikat bahawa apa yang dilakukannya itu sama sekali bertentangan dengan nilai moral dan norma hidup masyarakat sejagat ? Ada orang mengatakan bahawa ini adalah antara ciri-ciri atau petanda akhir zaman yang makin hampir. Tidak kurang juga yang mengaitkan krisis ini sebagai bala kesan dari pengabaian manusia terhadap amalan ajaran agamanya sehinggakan tidak tahu membezakan apa yang baik untuk dirinya. Walau apa pun tafsiran orang, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri supaya sentiasa insaf dengan tujuan kita diciptakan di bumi ini iaitu untuk membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada seluruh alam serta mengamalkan sikap bersederhana dalam semua aspek kehidupan.

No comments: