Tuesday, April 14, 2009
Persamaan
Perbezaan pendapat di dalam perbualan merupakan sesuatu yang lumrah di dalam kehidupan terutama sekali apabila kita berkomunikasi dengan seseorang yang berlainan prinsip dan ideologi sehinggakan ia boleh menimbulkan perselisihan. Malahan ia merupakan situasi yang tidak dapat dielakkan sebab setiap manusia mempunyai sikap, pemikiran dan cara bertindak yang berbeza tidak kira sama ada di rumah, tempat kerja atau di mana-mana sekalipun. Ini mungkin kerana masing-masing mempunyai kepercayaan dan alasan yang tersendiri serta kukuh yang menyebabkan mereka bertindak demikian. Cuma apa yang ingin dibincangkan di sini ialah bagaimanakah adat berbeza pendapat yang perlu dicernakan bagi menjamin keharmonian hubungan hatta perkara yang dibincangkan itu melibatkan soal agama, maruah dan prinsip hidup ? Maknanya jelas ternyata bahawa walaupun seseorang itu mempunyai aliran pemikiran yang berbeza, tetapi mereka tetap bertegur sapa atau bersalaman seolah-olah apa yang dibahaskan atau didebatkan sehingga berlaku pergeseran atau pertengkaran sebelum ini, sudah dilupakan. Bagi mereka yang mempunyai fikiran yang terbuka, bersikap matang dan sentiasa berlapang dada, ini bukan merupakan satu perkara yang susah untuk diamalkan kerana dia yakin walaupun terdapat perbezaan dari segi isu tertentu, perkara yang ada persamaan juga perlu di ambil kira seperti seagama sebagai benteng untuk mengelakkan permusuhan yang berterusan dan tanpa asas. Namun begitu sikap sebegini memerlukan nilai hidup yang tinggi dan murni. Bagi mereka yang berfikiran sempit dan sentiasa menganggap dirinya adalah betul dan terbaik, maka berubahlah kerana ia tidak banyak membantu untuk keharmonian masyarakat serta ditegah oleh agama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment