Monday, April 13, 2009

Taat

Beruntunglah orang yang mempunyai pekerja yang taat kepada majikannya atau juga isteri yang taat kepada suaminya. Prinsip taat setia ini adalah soal hati. Maknanya kalau hatinya bersih dan ikhlas ingin melakukan yang terbaik untuk bosnya atau suaminya itu, maka dirinya dengan mudah dan rela hati akan patuh apabila menerima setiap arahan daripada bosnya atau suaminya. Oleh itu perasaan bosnya atau suaminya akan sentiasa tenang dan kepalanya tidak berserabut kerana yakin dengan amanah atau tanggungjawab yang diberikannya itu, akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Namun begitu ada sesetengah majikan atau suami yang tidak pandai atau tidak mahu mengambil hati anak buahnya atau isterinya itu, setelah mereka telah banyak berkorban masa dan tenaga demi menjaga hati bosnya atau suaminya. Malahan mereka tidak menghargai langsung di atas pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini. Jika keadaan ini berterusan, maka sudah tentu semangat kesetiaan dan kesabaran akan menjadi semakin luntur lantas memberi kesan kepada produktiviti kerja dan hubungan sesama mereka. Inilah yang terjadi kepada kebanyakan pekerja-pekerja yang berdedikasi dimana mereka memprotes secara diam dan akhirnya berhenti kerja kerana tidak tahan dengan sikap bosnya itu. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa menjaga hati orang yang bertungkus lumus berkorban untuk kita kerana tanpa mereka siapalah diri kita yang lemah dan tidak mampu menyempurnakan semua kerja sendirian.

No comments: