Saturday, May 2, 2009

Mulia

Mulia adalah salah satu sifat 4JJI dan ia perlu dicernakan di dalam diri setiap insan yang inginkan kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Pengertian mulia seakan sama dengan makna bersih, suci dan sempurna, cuma yang bezanya perkataan itu hanya digunapakai untuk mengambarkan ciri-ciri nilai yang ada pada manusia sahaja sedangkan perkataan lain turut digunakan untuk mengambarkan nilai objek yang lain. Saya teringat kepada satu kenyataan yang telah dibuat oleh mantan PM kita yang menyatakan bahawa seseorang pemimpin itu hendaklah bersih dan kelihatan bersih. Kalau dikaji dengan teliti, kenyataannya itu mempunyai makna dan maksud yang hampir sama dengan pengertian mulia itu sendiri. Apa yang boleh saya tafsirkan di sini ialah seseorang pemimpin itu hendaklah sentiasa menerapkan nilai hidup yang baik di dalam dirinya walau apa keadaan atau situasi sekalipun. Pada zaman sekarang, bukan senang kita menemui insan yang memenuhi kriteria tersebut dimana kita layak melabelkannya sebagai seorang yang mulia. Ini kerana perkataan mulia hanya layak diberikan kepada orang yang tidak melakukan kesalahan besar atau dosa besar dan pada masa yang sama juga dia sentiasa menghindarkan diri daripada melakukan kesilapan-kesilapan kecil, dan kekuatan yang ada padanya itu terserlah melalui perwatakannya yang amat menyakinkan sehinggakan orang hormat kepadanya serta amat sukar untuk menerima atau mempercayai jika tersebar berita yang menjatuhkan maruahnya. Kesimpulannya makna perkataan mulia ini hampir setaraf dengan maksud maksum yang hanya layak dianugerahi kepada nabi kita S.A.W. Begitulah betapa tingginya nilai mulia ini di sisi manusia dan kita digesa untuk menjadi seorang yang mulia kerana martabat dan nilainya yang amat tinggi di dalam masyarakat pada masa kini.

No comments: