Wednesday, May 6, 2009

Pemikir

Orang yang rajin berfikir selalunya disanjungi dan dipandang tinggi oleh masyarakat kita. Ini kerana buah fikirannya telah berjaya merungkai segala permasalahan atau kekusutan yang melanda dirinya dan orang lain. Otak pemikir sentiasa aktif, sensitif dan peka terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Antara ciri-ciri pemikir ialah dia begitu terbuka dalam menerima pandangan orang lain dan kelihatan matang apabila berkata-kata. Dia juga mengambil kira semua faktor sebelum menghasilkan sesuatu idea yang bernas. Selain daripada itu juga dia akan sentiasa membuat perubahan atau mengetengahkan perkara-perkara baru untuk dirinya dan juga orang lain bagi memastikan dirinya dan orang lain terus maju ke depan. Dia bukan sahaja berkeupayaan mengurus dirinya dengan baik, malahan menjadi sandaran kepada orang lain dalam membantu mereka mencari jalan penyelesaian terbaik. Pada kebiasaannya idea orang yang suka berfikir adalah unik dan mempunyai kelebihannya tersendiri jika dibandingkan dengan mereka yang sekali sekala cuba mengeluarkan buah fikiran. Golongan ini juga mempunyai sikap kreatif dan kuat bekerja. Contohnya rata-rata penulis lirik dan pencipta lagu berkebolehan dalam mencipta lagu yang bermutu serta mendapat sambutan pendengar setelah mereka bekerja keras memerah otak dan keringat dalam merealisasikan ideanya. Pemikir juga selalunya tidak ketinggalan dalam menghasilkan sesuatu malah kadang-kala hasil ciptaannya itu mengatasi pesaingnya. Persoalannya bagaimanakah kita ingin mengilap dan memupuk budaya sikap suka berfikir di dalam diri kita ? Fikir-fikirkanlah.

No comments: