Thursday, November 5, 2009

'Pukul gendang'

Apabila seseorang bertanyakan apakah maksud istilah tersebut, maka sudah tentu ia memaksa diri kita untuk merenung sejenak memikirkan apakah makna tersirat yang boleh dimengerti supaya bila orang menyebutnya maka mudah untuk kita fahami dan hayati apakah yang dimaksudkannya itu. Saya terpanggil untuk menulis isu ini kerana ada beberapa orang hadirin pada suatu majlis rasmi melontarkan istilah tersebut semasa seorang pemimpin sedang memberikan ucapan. Persoalannya kenapa istilah tersebut yang digunapakai semasa ucapan diberikan. Adakah ia ada kaitan dengan isi kandungan ucapan pemimpin tersebut. Jika ada apakah maksud yang tepat boleh diterjemahkan untuk memberi makna yang mudah difahami oleh orang kebanyakan. Dalam bahasa yang mudah difahami, istilah tersebut menerangkan tentang perbuatan memukul satu alat muzik yang dinamakan gendang dan ia mengeluarkan satu alunan muzik dimana orang yang mendengarnya akan terhibur dan terpesona dengan persembahan tersebut. Apa yang dipersembahkan hanyalah yang indah belaka sehingga membuatkan orang terpesona dan melupakan sejenak episod kesedihan. Maknanya perkara yang tidak diingini cuba disembunyikan sebaik mungkin walaupun apa yang diperkatakan adalah sama sekali bertentangan dengan situasi sebenar yang berlaku atau lebih mudah lagi jika kita mengaitkan dengan istilah 'cakap tidak serupa bikin'. Ataupun ia juga membawa maksud hasil yang sedikit diperbesar-besarkan supaya semua orang memujinya dan mengiktirafnya sebagai seorang jaguh yang handal dan hebat. Ini dapat digambarkan dengan pukulan gendang yang amat kuat bunyinya dan boleh didengari oleh semua orang dengan jelas. Begitulah serba ringkas yang dapat diterjemahkan oleh saya mengenai istilah tersebut sebagai renungan dan pengajaran.

No comments: