Thursday, June 4, 2009
Cuti
Sekarang sudah masuk pertengahan tahun 2009 tetapi saya tidak pernah mohon cuti. Setiap orang diberikan 30 hari cuti dalam setahun. Kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan cuti tidak percaya jika jumlah cuti kita tidak berganjak kerana mereka beranggapan seseorang itu 'bercuti' tanpa membuat permohonan secara rasmi. Bagi saya mungkin anggapannya itu ada benarnya. Mulai minggu depan saya ingin bercuti selama beberapa hari. Saya tidak perlu lagi mengisi borang cuti kerana semuanya boleh disempurnakan secara online. Saya ingin bercuti bagi mencari ketenangan disampin merehatkan diri daripada rutin kerja yang banyak. Disamping itu juga saya ingin mencari idea-idea baru yang boleh diketengahkan. Selamat bercuti untuk saya dan rakan-rakan semua.
Tuesday, June 2, 2009
Komunikasi
Tindakan pertama yang saya lakukan sebaik sahaja dilantik sebagai Koordinator MEDEC ialah dengan meminta Unit Teknologi Maklumat mewujudkan kumpulan email khusus untuk ahli-ahli yang terlibat dengan aktiviti MEDEC. Ia bertujuan untuk menjadikan email ini sebagai salah satu platfom kepada setiap ahli kumpulan dalam menyebarluaskan maklumat, memberi pandangan dan lain-lain fungsi yang dapat memberi manfaat kepada setiap ahli MEDEC. Semoga dengan adanya kumpulan ini maka segala informasi dapat disampaikan dengan pantas disamping mengurangkan salah faham akibat daripada kelemahan sistem komunikasi. Tindakan saya seterusnya ialah menyediakan satu kertas kerja yang antaranya mengandungi laporan semasa secara menyeluruh mengenai aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh pelajar dan juga penambahbaikan untuk subjek keusahawanan. Ia juga turut memuatkan perancangan jangka panjang bagi memastikan MEDEC terus berfungsi sebagai badan yang penting dalam membangunkan jiwa usahawan di kalangan pelajar.
Wednesday, May 6, 2009
Pemikir
Orang yang rajin berfikir selalunya disanjungi dan dipandang tinggi oleh masyarakat kita. Ini kerana buah fikirannya telah berjaya merungkai segala permasalahan atau kekusutan yang melanda dirinya dan orang lain. Otak pemikir sentiasa aktif, sensitif dan peka terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Antara ciri-ciri pemikir ialah dia begitu terbuka dalam menerima pandangan orang lain dan kelihatan matang apabila berkata-kata. Dia juga mengambil kira semua faktor sebelum menghasilkan sesuatu idea yang bernas. Selain daripada itu juga dia akan sentiasa membuat perubahan atau mengetengahkan perkara-perkara baru untuk dirinya dan juga orang lain bagi memastikan dirinya dan orang lain terus maju ke depan. Dia bukan sahaja berkeupayaan mengurus dirinya dengan baik, malahan menjadi sandaran kepada orang lain dalam membantu mereka mencari jalan penyelesaian terbaik. Pada kebiasaannya idea orang yang suka berfikir adalah unik dan mempunyai kelebihannya tersendiri jika dibandingkan dengan mereka yang sekali sekala cuba mengeluarkan buah fikiran. Golongan ini juga mempunyai sikap kreatif dan kuat bekerja. Contohnya rata-rata penulis lirik dan pencipta lagu berkebolehan dalam mencipta lagu yang bermutu serta mendapat sambutan pendengar setelah mereka bekerja keras memerah otak dan keringat dalam merealisasikan ideanya. Pemikir juga selalunya tidak ketinggalan dalam menghasilkan sesuatu malah kadang-kala hasil ciptaannya itu mengatasi pesaingnya. Persoalannya bagaimanakah kita ingin mengilap dan memupuk budaya sikap suka berfikir di dalam diri kita ? Fikir-fikirkanlah.
Saturday, May 2, 2009
Mulia
Mulia adalah salah satu sifat 4JJI dan ia perlu dicernakan di dalam diri setiap insan yang inginkan kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Pengertian mulia seakan sama dengan makna bersih, suci dan sempurna, cuma yang bezanya perkataan itu hanya digunapakai untuk mengambarkan ciri-ciri nilai yang ada pada manusia sahaja sedangkan perkataan lain turut digunakan untuk mengambarkan nilai objek yang lain. Saya teringat kepada satu kenyataan yang telah dibuat oleh mantan PM kita yang menyatakan bahawa seseorang pemimpin itu hendaklah bersih dan kelihatan bersih. Kalau dikaji dengan teliti, kenyataannya itu mempunyai makna dan maksud yang hampir sama dengan pengertian mulia itu sendiri. Apa yang boleh saya tafsirkan di sini ialah seseorang pemimpin itu hendaklah sentiasa menerapkan nilai hidup yang baik di dalam dirinya walau apa keadaan atau situasi sekalipun. Pada zaman sekarang, bukan senang kita menemui insan yang memenuhi kriteria tersebut dimana kita layak melabelkannya sebagai seorang yang mulia. Ini kerana perkataan mulia hanya layak diberikan kepada orang yang tidak melakukan kesalahan besar atau dosa besar dan pada masa yang sama juga dia sentiasa menghindarkan diri daripada melakukan kesilapan-kesilapan kecil, dan kekuatan yang ada padanya itu terserlah melalui perwatakannya yang amat menyakinkan sehinggakan orang hormat kepadanya serta amat sukar untuk menerima atau mempercayai jika tersebar berita yang menjatuhkan maruahnya. Kesimpulannya makna perkataan mulia ini hampir setaraf dengan maksud maksum yang hanya layak dianugerahi kepada nabi kita S.A.W. Begitulah betapa tingginya nilai mulia ini di sisi manusia dan kita digesa untuk menjadi seorang yang mulia kerana martabat dan nilainya yang amat tinggi di dalam masyarakat pada masa kini.
Sunday, April 26, 2009
Teruk
"Ya Allah ! kenapa manusia sekarang ini semakin teruk jadinya." Itulah antara keluhan yang sering kita dengar daripada orang yang cuba membuat perbandingan tentang ragam manusia yang hidup berlainan zaman dengannya. Mungkin dia merasakan bahawa tingkah laku manusia pada zamannya tidaklah sebegitu teruk berbanding dengan apa yang berlaku sekarang. Sesungguhnya kita mungkin juga termasuk di kalangan orang yang bersependapat dengan kenyataan di atas. Ini kerana orang selalu mengaitkan perkataan teruk itu dari sudut pandangannya sebagai suatu situasi atau suasana yang negatif dan menjijikkan. Contohnya ialah wujudnya golongan pondan atau tomboy, masalah sosial di kalangan golongan muda yang semakin meruncing, tren fesyen yang keterlaluan, masalah vandalisma, isu murtad, dadah, liwat, rogol, rasis, wabak penyakit selsema babi dan sebagainya. Namun begitu bagi mereka yang suka melihat dari sudut positif, perubahan yang berlaku di sekelilingnya juga menampakkan petanda peralihan yang semakin baik. Contohnya semakin ramai golongan miskin menjadi kaya-raya, bertambahnya golongan yang bijak pandai, kelahiran masyarakat yang semakin terbuka dan lain-lain lagi. Apa yang ingin saya bincangkan pada kali ini ialah berkaitan dengan sikap teruk manusia atau masyarakat dari sudut negatif kerana ternyata ia telah menimbulkan satu fenomena yang membimbangkan buat kita semua. Persoalannya apakah punca utama yang menjadikan manusia itu sebegitu teruk perangai, tindakan dan pemikirannya sehingga kita sukar untuk mempercayai dan menerima hakikat bahawa apa yang dilakukannya itu sama sekali bertentangan dengan nilai moral dan norma hidup masyarakat sejagat ? Ada orang mengatakan bahawa ini adalah antara ciri-ciri atau petanda akhir zaman yang makin hampir. Tidak kurang juga yang mengaitkan krisis ini sebagai bala kesan dari pengabaian manusia terhadap amalan ajaran agamanya sehinggakan tidak tahu membezakan apa yang baik untuk dirinya. Walau apa pun tafsiran orang, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri supaya sentiasa insaf dengan tujuan kita diciptakan di bumi ini iaitu untuk membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada seluruh alam serta mengamalkan sikap bersederhana dalam semua aspek kehidupan.
Monday, April 20, 2009
Tolong
Antara pertolongan terbesar yang 4JJI berikan kepada manusia ialah menyelamatkannya daripada neraka dengan menurunkan agama islam sebagai panduan hidup di alam dunia ini. Berdasarkan kepada fakta di atas maka dapat dibuat kesimpulan bahawa setiap orang memerlukan pertolongan atau bantuan sepanjang hidupnya apabila ditimpa kesusahan, dan sebagai seorang manusia yang prihatin kita perlu menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukannya bagi meringankan penderitaan yang dialaminya. Inilah yang dikatakan penerapan nilai-nilai murni di dalam masyarakat yang suka tolong menolong di antara satu sama lain. Akan tetapi kita sering kali berjumpa dengan orang yang menghulurkan bantuan dengan niat untuk mendapatkan sesuatu balasan. Kadangkala terdapat juga sikap kecewa yang keterlaluan di kalangan orang yang meminta bantuan jika kita gagal membantunya dan sebaliknya kita pula yang dipersalahkan di atas kegagalan membantunya. Dalam soal berhadapan dengan isu ini saya mempunyai beberapa pengalaman untuk dikongsi bersama. Antaranya ialah membantu pelajar saya untuk lulus di dalam peperiksaan setelah ternyata mereka gagal menjawab soalan dengan baik. Inilah dilema yang terpaksa saya hadapi setiap kali peperiksaan tiba di mana jika difikirkan sejenak adakah tindakan saya menolong pelajar yang gagal ini akan membantunya keluar daripada masalah sebenarnya ? Patutkah saya membantunya kerana belum tentu ia akan memberikan satu pengajaran yang cukup bermakna kepada dirinya ? Adakah ia menjadi satu kesalahan jika saya membantunya untuk lulus setelah mengambil kira semua faktor yang munasabah ? Bagi saya isu ini ada pro dan kontranya. Atas dasar simpati dan sentiasa memikirkan bahawa peperiksaan bukanlah segala-galanya menentukan sama ada pelajar itu serba serbi bagus, maka ia membuatkan saya terus ingin menolongnya walaupun kadang kala dirasakan ia akan merugikan pelajar itu sendiri kerana kegagalannya menguasai ilmu yang telah dipelajarinya. Tetapi tindakan ini sudah tentu akan menjejaskan kualiti keputusan peperiksaan jika kita membantunya kerana gred yang diperolehinya tidak mengambarkan pencapaian sebenar seseorang pelajar itu. Yang lebih parah ialah kita akan melahirkan pelajar yang lemah jiwanya kerana kita seolah-olah merestui kelemahannya itu dengan mambantunya walaupun jika difikirkan kegagalan pertamannya itu sangat terkesan mengajar dirinya untuk insaf dan kembali kental untuk bangkit daripada kegagalan lalu.
Sunday, April 19, 2009
Lewat
Allah berfirman di dalam Al-Quran bahawa antara ciri-ciri orang yang beriman ialah golongan yang selalu menepati janji. Menetapi masa ialah salah satu ciri orang yang membuat janji maka ia perlu dipatuhi dan ditepati. Begitu juga dengan penghutang yang perlu melangsaikan hutangnya dalam tempoh yang telah ditetapkan. Saya pasti bahawa setiap orang pernah mengalami peristiwa atau berhadapan dengan kedua-dua masalah tersebut. Malahan kadang-kala ramai orang mengambil kesempatan daripada kebaikan dan keikhlasan kita yang suka membantu tetapi akhirnya terperangkap dan menjadi mangsa kepada orang yang berniat serong terhadap kita. Ada sesetengahnya pula sanggup mereka-reka pelbagai alasan yang tidak munasabah apabila mereka gagal mematuhi masa atau janji yang telah ditetapkan. Persoalannya ialah kenapa orang islam suka mengingkari janji yang telah dibuatnya ? Apakah puncanya yang menyebabkan mereka gagal memenuhi persetujuan yang telah dicapai ? Kenapakah mereka memandang remeh isu ini sehingga menimbulkan perasaan kurang senang atau sakit hati kepada orang yang menepati janji ? Jika situasi ini berterusan diamalkan maka ia sudah tentu akan mencernakan satu budaya yang rendah martabatnya. Oleh yang demikian kita perlu sentiasa berwaspada dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya kita tidak terpedaya dengan helah orang yang rendah budinya itu di dalam masyarakat kita.
Subscribe to:
Posts (Atom)