Monday, February 23, 2009

YES

Saya termasuk di dalam golongan orang yang susah hendak mengatakan 'tidak' atau 'no' semata-mata ingin menyenangkan hati pihak lain walaupun saya sebenarnya ada agenda lain yang perlu diselesaikan. Jawapan 'yes' atau 'no' merupakan satu penegasan yang perlu dinyatakan bagi mengambarkan pendirian kita di dalam kesanggupan melakukan sesuatu perkara. Jika kita mempunyai banyak masa terluang atau kita sudah selesai menjalankan kerja kita, maka kita boleh berkata 'yes' apabila orang lain ingin memohon pertolongan daripada kita. Apabila kita menyatakan persetujuan untuk membantunya, maka kita hendaklah menghulurkan bantuan sebaik mungkin supaya orang yang ditolong itu berpuas hati dengan pertolongan yang kita berikan. Jika kita hanya menolongnya umpama melepaskan batuk ditangga maka adalah lebih baik kita menyatakan 'no' untuk membantunya kerana ia akan mengecewakan orang yang meminta pertolongan. Saya rasa itu adalah lebih baik biarpun orang yang meminta bantuan akan berasa sedikit kecewa apabila kita mengatakan 'no' untuk membantunya. Kita perlu menerangkan kepadanya bahawa kita mempunyai komitmen lain yang perlu diutamakan dan kita mengharapkan agar dia memahami situasi yang sedang kita alami. Tetapi berdasarkan pengalaman sendiri pada hakikatnya saya masih sukar untuk mengatakan 'no' walaupun ada perkara lebih penting untuk diselesaikan terlebih dahulu apatah lagi orang yang ingin meminta bantuan itu merupakan ketua kita atau orang yang kita hormati kerana dia pernah menghulurkan bantuan kepada kita. Waallahua'lam.

Sunday, February 22, 2009

Budi bicara

Alangkah mudahnya hidup kita kalau setiap orang mempunyai sikap terbuka dan mudah memahami, suatu sikap yang memerlukan kita untuk memahami rintihan dan keluhan orang lain lalu keputusan yang diambil berdasarkan kepada pertimbangan semua faktor. Ternyata sekali keputusan yang dibuat akan menyenangkan hati semua pihak yang terlibat. Inilah yang dikatakan budi bicara atau sikap bertolak-ansur. Malahan walaupun sesuatu keputusan itu telah dibuat dan ia di dalam peringkat perlaksanaan, tetapi dengan budi bicaranya, dia akan meminta supaya keputusan itu ditangguhkan dahulu setelah mendapat teguran atau bantahan daripada sesuatu pihak. Ini kerana dia memikirkan mungkin teguran atau bantahan yang dibuat itu ada kebenarannya dan ia perlu diselidiki untuk memastikan kesahihannya. Maka semua orang akan menarik nafas lega dan berlapang dada kerana masalahnya itu mendapat perhatian serius. Sikap keterbukaannya dan adil itu akan membuatkan orang hormat dan menyenanginya. Sebaliknya pula jika seseorang itu terlalu tegas dengan pendiriannya walaupun bantahan yang dibuat itu berasas, ternyata ia akan hanya memuaskan hati dirinya sahaja sedangkan orang lain berasa amat kecewa dengan keputusan yang dibuatnya itu. Akhirnya orang akan membencinya jika dilaksanakan juga perkara itu dan ia akan mendatangkan mudarat kerana semua orang melaksanakannya tanpa sepenuh hati. Ini kerana orang menganggap keputusan yang dibuat itu adalah berat sebelah dan zalim. Kesimpulannya sikap tolak ansur dan budi bicara amatlah penting untuk diamalkan oleh setiap individu demi kebaikan kita bersama.

Saturday, February 21, 2009

Pemantauan

Saya telah diberitahu bahawa pada hari ini saya akan dipantau semasa bekerja oleh pasukan khas pemantauan. Pemberitahuan awal dibuat bagi memastikan supaya saya lebih bersedia semasa proses pemantauan dibuat. Ia juga untuk memastikan bahawa saya wajib mengikuti prosedur atau kriteria yang telah ditetapkan bagi melayakkan saya mendapat keputusan yang cemerlang atau memuaskan. Selain daripada itu ia juga untuk memastikan proses pemantauan berjalan dengan lancar seperti saya bekerja pada masa itu dan melakukan kerja utama yang dikehendaki untuk tujuan penilaian. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan pemantauan kerana memaklumkan perkara ini. Pada pendapat saya proses pemantauan merupakan satu kaedah dimana pemeriksaan akan dijalankan pada bila-bila masa tanpa pengetahuan orang yang akan dipantau. Ini bermakna orang yang dipantau akan sentiasa bersedia dengan mengikuti segala prosedur atau kriteria yang telah ditetapkan sepanjang dia bekerja. Oleh yang demikian dia tiada masalah untuk dipantau pada bila-bila masa kerana dia yakin bahawa apa yang dilaksanakan sepanjang dia bekerja telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Dia juga mencuba sedaya mungkin untuk menjadikan kriteria yang dikehendaki dijadikan sebagai budaya kerja. Hanya dengan cara ini sahaja kita akan menjadi cemerlang dan terbaik. Jadi tidak timbul isu masalah kualiti kerja yang tidak konsisten. Tetapi bukan mudah untuk merealisasikannya kerana ia memerlukan tahap komitmen yang tinggi dan jitu.

Friday, February 20, 2009

Pantai

Aku dan Pantai tidak dapat dipisahkan lagi. Pantai adalah manifastasi sebuah kehidupanku. Di Pantailah tempatku dibesarkan dan didewasakan. Di Pantailah tempatku belajar erti kehidupan. Di sinilah juga tempatku mencurahkan isi hati kehidupan. Di saat aku kegirangan, aku ke Pantai. Di kala aku kesepian dan kesedihan, aku ke Pantai, dan di waktu aku ingin belajar dan bemain-main, aku juga ke Pantai. Di sinilah tempatku mencari ketenangan daripada aku kecil hinggalah dewasa. Semua peristiwa yang telah dilalui masih lagi berlegar di dalam ingatanku dan ia terus segar di dalam diari nostalgia hidupku. Bayangkan sehingga kini aku masih lagi mengingati detik-detik kehidupan yang kulalui di Pantai sejak kecil. Kini setelah dewasa, aku sangkakan semakin jauh dengan kehidupan Pantai, tetapi sebaliknya takdir Allah meletakkan diriku sentiasa disampingnya. Hampir setiap pagi dan senja, aku sentiasa menyusuri Pantai menuju ke destinasi rezeki. Di sepanjang perjalanan itu, aku sentiasa mengecapi dan menikmati panorama Pantai yang mengasyikkan dan mendamaikan. Kesannya cukup mendalam di dalam kehidupanku. Ia sentiasa menyuntik semangat baru ke dalam mindaku dan sikapku. Ia juga telah memberi suatu perasaan ketenangan yang abadi. Tetapi kini Pantai yang menjadi tempatku berteduh selama ini, terhakis disebabkan oleh angin monson yang semakin mengganas. Gelombang ombaknya semakin menghampiri daratan sehinggakan aku merasa sedikit cemas dan gusar. Begitulah juga dengan kehidupanku yang turut melalui episod yang sama, hidup yang penuh dengan pasang dan surutnya. Berdasarkan cebisan luahan di atas, tidak keterlaluan untuk diriku menyatakan bahawa Pantai adalah kehidupanku dan di dalamnya tersimpan sejuta khazanah kisahku yang amat bernilai sebagai kenangan abadi. Ia adalah segala-galanya buatku. Ia adalah lambang ketenangan dan kedamaian.

Wednesday, February 18, 2009

Mendaki

Sudah agak lama saya tidak pergi mendaki gunung. Gunung yang paling akhir saya daki ialah Gunung Tebu. Setakat ini saya telah mendaki Gunug Stong di Jeli dan Gunung Tebu di Besut. Bila saya dapat tahu ada program mendaki Gunung Ledang pada bulan April ini, saya terus menawarkan diri untuk menyertai program tersebut. Bagi saya mendaki gunung adalah satu aktiviti lasak yang menyeronokkan. Ini kerana ia akan menguji kekuatan mental dan fizikal di sepanjang pendakian ke puncak gunung. Berkat kesabaran dan semangat yang tinggi untuk menawan gunung yang kita daki, akan memberikan satu aura yang luar biasa biarpun kita sudah berada di dalam keadaan penat dan terlalu letih. Kejayaan sampai hingga ke puncak akan memberikan satu kepuasan diri yang amat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Ini ditambah lagi dengan pemandangan alam sekeliling dari puncak yang sunguh menawan dan amat menakjubkan. Kita akan rasa terpegun dan terpesona dengan keindahan alam semulajadi ciptaan tuhan. Keadaan cuaca yang cerah dan angin yang bertiup dingin menambahkan lagi kenikmatan diri untuk mengecapi suasana sebenar di puncak. Ia juga memberi satu ketenangan yang abadi kerana segala masalah dunia dapat dilupakan buat sementara waktu. Dengan kata lain kita seolah-olah berada di dalam alam lain. Semoga hasrat saya untuk menawan Gunung Ledang dikabulkan 4JJI. Insya Allah.

Monday, February 16, 2009

Praktis

"Practice makes perfect". Begitulah ungkapan yang selalu disebut oleh orang yang mengajar kita. Walaupun segala ilmu telah diajar dan dicurahkan kepada kita namun jika tiada latihan atau amalan berterusan untuk mengaplikasikan ilmu tersebut, maka kita tidak akan pandai sampai bila-bila. Ilmu yang dipelajari lama kelamaan akan berkubur bersama perjalanan usianya. Tiada peningkatan dalam kehidupannya kerana kita tidak mengamalkan apa yang telah dipelajari sebelum ini. Apabila kita telah mempelajari sesuatu bidang tertentu yang ingin kita kuasai, maka segala ilmu yang telah diperlolehi hendaklan terus digilap dan dicanai sehingga ia terus melekat di dalam ingatan kita. Ini ditambah lagi dengan semangat yang jitu dan padu untuk menguasai sesuatu bidang yang dipelajari. Malahan sikapnya yang sentiasa ingin tahu terhadap bidang tersebut, akan membuatkan dia berkerja lebih keras dengan menelaah ilmu daripada sumber lain supaya dia lebih memahami dan menguasai sesuatu ilmu itu dengan lebih mendalam, selain daripada berguru dengan orang yang pakar di dalam bidang tersebut. Kesimpulan yang boleh dirumuskan di sini ialah berguru dengan orang yang pakar, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan ditambah dengan semangat yang jitu serta komitmen yang tinggi akan menentukan kejayaannya untuk menguasai ilmu yang dipelajarinya. Semoga peluang yang diberikan oleh saya dalam mempelajari dan menekuni ilmu bermain golf ini tidak akan disia-siakan. Saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya hajat saya untuk bermain golf bersama teman-teman di Kelab Golf Desa tercapai. Amin.

Sunday, February 15, 2009

Pilihan

Bagi sesetengah orang, membuat pilihan untuk sesuatu perkara adalah merupakan suatu proses yang sukar dan amat payah. Ini kerana dia terpaksa menentukan keputusan yang terbaik untuk masa depannya. Oleh yang demikian, pemilihan perlu dibuat dengan teliti sebelum sebarang keputusan diambil. Apatah lagi keputusan yang akan dibuat melibatkan soal nyawanya. Tersilap membuat pilihan akan mengakibatkan dirinya merana sepanjang hayat. Jika dia diminta untuk membuat keputusan sama ada memilih hanya satu di antara dua pilihan yang diberikan, akan tetapi kedua-dua pilihan itu memenuhi kehendak hatinya, maka sudah pastilah akan wujudnya perasaan serba-salah dalam dirinya dan natijahnya tiada sebarang keputusan atau pendirian diambil. Di antara contoh membuat pilihan yang paling sukar dalam hidup kita ialah memakah undi, memilih calon untuk pasangan hidup, pilihan yang melibatkan nyawa orang lain dan sebagainya. Kadang-kala pilihan yang diberikan itu terlalu banyak sehingga menyebabkan dirinya menjadi 'kabur mata' dimana dia tidak tahu yang mana satu menjadi pilihan hatinya. Selain daripada itu terdapat juga di kalangan kita yang senang membuat pilihan dan keputusan. Walaupun dia mempunyai peluang yang sama untuk memilih,akan tetapi semua pilihan itu diketepikan kerana keputusan telah ada di tangannya. Ini akan memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain bagi mengelakkan sebarang kekeliruan. Dia amat tegas dalam keputusannya setelah difikirkan semasak-masakanya yang terbaik untuk dirinya dan orang lain. Kesimpulannya pilihan merupakan suatu nikmat bagi orang yang tahu menilainya dan menjadi malapetaka bagi orang yang bingung dan tidak keruan apabila diminta untuk putuskan sesuatu perkara. Waallahua'lam.