Monday, April 13, 2009
Strategi
Coretan lepas berkisar tentang kepentingan seseorang manusia itu menyerahkan dirinya kepada tuhannya dengan berdoa untuk kesejahteraan orang tersayang yang tinggal berjauhan atau tiada disisinya. Pada kali ini pula saya ingin membawa anda semua untuk berfikir sejenak mengenai konsep berserah yang jika tidak difahami dengan baik maka ia boleh menimbulkan kemudaratan apabila diamalkan. Ini kerana kita disuruh berusaha sedaya mungkin terlebih dahulu sebelum bertawakal kepadanya. Ini jelas digambarkan di dalam beberapa peristiwa bagi memperincikan lagi konsep tersebut. Misalnya semasa perang Uhud berlaku pada zaman nabi S.A.W, baginda telah mengarahkan tentera-tentera islam untuk berkawal di setiap penjuru bukit tersebut bagi mengelakkan serangan tentera musuh yang mungkin datang daripada pelbagai arah. Baginda menyusun strategi peperangan dengan begitu teliti sekali tanpa menyerahkan bulat-bulat atau tidak berbuat apa-apa semata-mata berserah kepada tuhan untuk melindunginya. Pada zaman kini pula kita dapat perhatikan betapa banyaknya unit anggota sukarelawan yang wujud di kampung dan taman perumahan masing-masing bagi memastikan keselamatan penduduknya terbela. Ini jelas menunjukkan bahawa dalam apa jua kehendak yang ingin dicapai dalam hidup ini, maka kita perlu menyusun dan merangka strategi terbaik bagi memastikan kita berjaya mengatasi dan memperolehinya. Saya pula memikirkan apakah strategi terbaik untuk memastikan supaya pelajar-pelajar saya sentiasa berkelakuan baik, mempertahankan maruahnya serta tidak melakukan jenayah semasa berada di khalayak ramai.
Saturday, April 11, 2009
Berserah
"Berserah sajalah". Kata-kata ini amat sesuai dilafazkan kepada orang yang sering berada di dalam keadaan resah dan gelisah. Dirinya akan kelihatan tidak keruan apabila dihimpit kerisauan sehinggakan semua yang dibuatnya pada masa itu menjadi serba tidak kena. Kadang-kala wujud perasaan cemburu buta yang akhirnya memakan dirinya sendiri apabila ia sukar dikawal lagi. Begitulah ibarat orang yang sentiasa diselubungi perasaan sedemikian dimana emosi dan tingkah-lakunya sering terganggu dan menjadi tidak tenteram. Persoalannya apakah kaedah atau cara terbaik untuk menangani permasalahan ini ? Bagaimanakah cara untuk mengurangkan perasaan kerisauan yang menyelubungi diri ? Baru-baru ini saya telah mengikuti tazkirah yang diberikan oleh seorang ustaz dimana beliau menghuraikan mengenai perkara ini serta memberi petua terbaik untuk menanganinya. Di dalam tazkirah tersebut, beliau telah melontarkan persoalan iaitu bagaimanakah seorang bapa atau ibu sentiasa menyakini bahawa anaknya yang sedang mengikuti pengajian di universiti itu, rajin belajar serta tidak melakukan perkara keji tanpa pengetahuannya, atau bagaimanakah kita ingin mengurangkan perasaan cemburu apabila suami atau isteri terpaksa meninggalkan kita seketika atas urusan kerja, dengan rakan sekerja lelakinya atau wanitanya yang lain ? Jawapan yang diberikan oleh ustaz tersebut ialah hanya dengan doa yang mustajab sahaja dapat mengurangkan perasaan gusar dan cemburu yang sedang melanda diri pada setiap masa. Beliau menjelaskan "Setelah kita berdoa dengan sepenuh hati saban waktu memohon kesejahteraan, keselamatan dan perlindungan kepada orang tersayang, maka kita berserahlah kepadanya kerana Dia maha mengetahui tentang apa yang berlaku diluar sana, tanpa pengetahuan dan di luar daripada kawalan kita".
Friday, April 10, 2009
Mengaku
"Ah! mengaku saja lah." Jika diperhati, struktur ayat ini kelihatan pendek dan ringkas tetapi mempunyai maksud yang tersendiri. Pada kebiasaannya ia ditujukan kepada orang yang degil membuat pengakuan berkenaan sesuatu perkara apabila diminta untuk menyatakan kepastian. Kadang-kala kita terpaksa mencari bukti kukuh untuk menidakkan jawapannya yang agak meragukan serta sukar untuk dipercayai. Persoalannya kenapakah seseorang itu amat payah untuk menyatakan kebenaran apabila diminta untuk berbuat demikian ? Kenapakah dia masih ingin menyembunyikan rahsia hidupnya yang akhirnya boleh menyusahkan orang lain ? Apakah muslihat atau perkara yang tersirat di sebalik pembohongannya itu ? Kita sering berjumpa dengan orang yang berperangai aneh ini. Contohnya jika seseorang itu sudah pun bertunang atau berkahwin, dia bermati-matian mempertahankan pendiriannya bahawa dirinya masih bujang sedangkan setelah dibuat penyiasatan, ternyata dia sudah pun berkahwin dan mempunyai anak. Orang yang terperangkap atau terpedaya dengan helahnya itu sudah tentu akan teranaiya apatah lagi hubungan itu sudah lama terjalin. Saya teringat kisah seorang hamba Allah yang mempunyai kaitan dengan isu ini untuk diteladani. Semasa kematian hamba Allah ini, isterinya telah dua kali pengsan setelah menerima dua berita yang mengejutkan. Pertamanya sebaik sahaja isterinya mendapat berita tentang kematian suaminya itu yang mati secara mengejut, maka dia terus jatuh pengsan kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa suaminya telah tiada. Setelah jenazah suaminya itu sampai ke rumahnya, dia lantas pengsan buat kedua kalinya kerana baru diberitahu bahawa wanita yang mengiringi jenazah suaminya itu adalah madunya. Inilah akibatnya apabila kita suka sangat mengamalkan sikap tidak mahu mengaku hatta sudah dibuktikan penafiannya itu sekalipun.
Thursday, April 9, 2009
Prestasi
Antara tugas dan tanggungjawab seseorang ketua atau pemimpin ialah menilai sejauhmana prestasi orang bawahannya sepanjang tempoh masa perkhidmatan yang telah ditetapkan bagi tujuan kenaikan gaji atau pangkat. Ini bermakna jika seorang ketua mempunyai kakitangan bawahannya seramai 100 orang, maka dia terpaksa menilai prestasi setiap orang bawahannya itu, dengan adil. Dengan kata lain setiap kakitangan yang dinilainya itu bersyukur kerana kerja kerasnya selama ini mendapat perhatian dan penghargaan, atau mereka akan redha dengan keputusan yang rendah diterimanya. Persoalannya mampukah seseorang ketua itu membuat penilaian dengan seadil mungkin kepada semua kakitangannya yang seramai itu ? Dimanakah letaknya kebijaksanaan dan kematangan seorang ketua itu dalam membuat keputusan yang terbaik kepada setiap kakitangannya supaya setiap orang yang dinilainya itu berpuas hati dan berlapang dada dengan keputusan penilaian yang diterimanya ? Inilah dilema yang menghantui setiap ketua kerana ia bukan merupakan satu tugas yang mudah bagi memenangi hati setiap kakitangannya apatah lagi terpaksa berhadapan dengan pelbagai ragam dan karenah pekerjanya. Cuma apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah bagi saya seseorang ketua atau pemimpin yang baik ialah mereka yang sentiasa meniupkan semangat motivasi, memberi nasihat dan teguran dengan bijak dan berhemah kepada kakitangannya yang lemah supaya mereka termasuk di dalam kategori golongan yang cemerlang apabila dinilai kelak. Seseorang ketua juga hendaklah sentiasa muhasabah diri dalam menilai kelemahan diri kerana kadang-kala sikapnya itu memberi kesan kepada kecemerlangan prestasi pekerjanya. Bagi kakitangan pula hendaklah sentiasa sedar bahawa hanya yang terbaik sahaja layak mendapat pengiktirafan. Bagi saya orang yang paling layak membuat penilaian ialah diri sendiri kerana hanya dia sahaja yang tahu prestasi kerjanya. Cuma persoalannya hanya beberapa kerat sahaja yang benar-benar jujur dalam membuat penilaian diri sendiri kerana siapa yang tidak mahu duit dan kuasa lebih.
Wednesday, April 8, 2009
Sentuhan
Setelah mendengar lagu nyanyian Michael Heart yang bertajuk "We will not go down" (Song for Gaza ), saya terpegun dan terpesona seketika apabila menghayati lirik dan melodinya yang indah dan sedap didengar sehinggakan boleh menyentuh jiwa saya. Malahan ia membuatkan saya begitu teruja kerana ia telah dicipta oleh seorang non-muslim. Kepekaannya terhadap nasib yang menimpa penduduk Gaza pada masa kini amat mendalam sekali sehingga mampu diterjemahkan dalam bentuk lagu yang boleh menyentuh perasaan orang islam hatta non-muslim sekalipun. Kekuatan ini telah mencetuskan inspirasi dalam diri saya untuk berkongsi isu ini dengan anda. Ia telah menimbulkan pertanyaan di dalam diri saya iaitu bagaimana dia mendapat inspirasi mencipta lagu itu dan berkebolehan menyanyinya dengan penuh perasaan dan penghayatan seolah-olah dia turut menerima nasib yang sama ? Spirit apakah yang mendorongnya menghasilkan lagu sebaik itu ? Ilmu apakah yang diaplikasinya sehingga mampu mengadunkan idea, perasaan dan kreativiti yang akhirnya melahirkan satu produk yang baik dan mendapat tempat di khalayak ramai sekaligus melonjak namanya di serata dunia ? Sebenarnya saya juga pernah beberapa kali mencuba untuk menghasilkan produk yang bermutu tetapi seringkali gagal direalisasikan apatah lagi untuk mendapat tempat dihati khalayak umum. Ini mungkin disebabkan oleh keterbatasan upaya saya dalam menggarap potensi diri yang ada dengan sebaik mungkin. Akan tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berfikir, mencuba dan berusaha walaupun ia amat sukar untuk melepasinya. Bagi saya setiap orang telah dianugerahi kelebihan dan keistimewaan masing-masing, maka terpulanglah kepadanya untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk dirinya dan orang lain. Atas keyakinan inilah yang membuatkan saya masih lagi menanti produk-produk berkualiti hasil sentuhan tangan orang islam sendiri yang berbakat dan kreatif supaya saya boleh berbangga dan mengiktirafnya.
Monday, April 6, 2009
Persatuan
Pada hari ini kita dapat lihat betapa banyaknya persatuan, pertubuhan atau kelab yang wujud di serata pelusuk umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Kadang-kala persatuan yang ditubuhkan itu adalah diluar dugaan kita seperti Kelab Vespa, hatta yang melucukan, kelab mencari jodoh pun ada. Cuma timbul pertanyaan di benak saya kenapakah orang suka menubuhkan persatuan ? Apakah tujuan sebenar mereka menyertai persatuan ? Adakah persatuan boleh menyumbang kepada kepentingan ahli-ahlinya? Apakah kelebihan dan manfaat yang diperolehi hasil daripada penyertaannya di dalam persatuan tersebut ? Apakah kekuatan yang ada pada persatuan sebenarnya jika dibandingkan tanpa kewujudannya ? Bagi sesetengah persatuan, tidak dinafikan bahawa ia telah memberi impak yang signifikan kepada ahli-ahlinya. Malahan tidak kurang juga banyak persatuan yang diumpamakan seperti hidup segan tetapi mati tak mahu. Kita juga sering mendengar atau mungkin merasai sendiri ada di kalangan ahli-ahli persatuan yang bertelagah antara satu sama lain untuk merebut kuasa yang akhirnya kebajikan ahli-ahlinya tergadai. Selain daripada itu ada juga persatuan yang hanya ahli jawatankuasanya komited di dalam menganjurkan aktiviti sedangkan ahli-ahlinya hilang entah ke mana. Saya teringat kepada satu peribahasa yang mengiaskan sebatang lidi yang amat mudah dilentur dan dipatah-patahkan. Akan tetapi jika setiap batang lidi itu disatukan menjadi segenggam maka ia amat sukar untuk dilentur atau dipatahkan, malah boleh digunakan untuk menyapu atau memukul sesuatu. Begitulah ibarat yang boleh disamakan dengan orang yang menyertai persatuan. Sepatutnya dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan maka ia mampu menguatkan ikatan kesatuan fikiran dan tindakan ahli-ahlinya untuk merealisasikan apa yang diaspirasikan selama ini. Saya sangat suka menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana persatuan atau kelab selagi ia memberi kebaikan dan manfaat kepada saya. Sesungguhnya kehidupan bersosial melalui persatuan ini telah melahirkan suatu sikap yang positif dalam diri saya di samping dapat mengenali rakan-rakan yang sealiran dengan saya. Malah saya telah diberi beberapa jawatan penting bagi menerajui beberapa persatuan. Bagaimana pula dengan anda ? Adakah anda minat dan aktif berpesataun ?
Wednesday, April 1, 2009
Alasan
"Jika anda menjadi bos dan pekerja-pekerja anda memberikan pelbagai alasan yang kadang-kala tidak munasabah dan tidak masuk akal kerana kegagalannya menyiapkan kerja-kerja yang telah ditetapkan, maka apakah perasaan anda ketika itu". Persoalan itulah yang saya lontarkan kepada pelajar-pelajar saya meminta mereka berfikir sejenak dan dalam masa yang sama meminta mereka untuk cuba memahami dan menghormati perasaan dan keputusan saya ketika itu. Isu ini timbul ekoran sesetengah daripada mereka telah memberi pelbagai alasan meminta saya menangguhkan sesuatu perkara yang telah ditetapkan dari awal-awal lagi dengan harapan saya memahami rintihannya dan permintaannya itu ditunaikan. Malahan ia berlarutan sejak dari dulu lagi. Apa yang membuatkan saya sedih ialah kenapa baru sekarang mereka datang berjumpa saya meminta saya menangguhkan sesuatu perkara yang telah diputuskan beberapa bulan yang lalu ? Apakah masalah utama mereka sehingga sanggup berbuat demikian sedangkan saya yakin mereka mampu menyiapkannya dalam masa yang telah ditetapkan ? Bagi saya kadang-kala alasan yang diberikan direka-reka bagi mengelakkan dirinya dari dimarahi atau dikenakan hukuman. Saya dapat merasakan bahawa alasannya itu bukan datang dari lubuk hatinya yang tulus dan ikhlas. Adakah mereka tidak rasa bersalah atau berdosa di atas perbuatan yang dilakukannya itu ? Kita sedia maklum bahawa setiap tugasan yang diberikan merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap insan yang diamanahkan untuk menyempurnakannya. Jika dia gagal menyiapkan tugasan tersebut maka tindakan boleh diambil terhadapnya. Tetapi atas dasar simpati kebiasaannya mereka terlepas daripada menerima hukuman. Tetapi kadang-kala kita terpaksa menunjukkan sikap tegas kita bagi menyatakan pendirian bahawa tugasan adalah sesuatu yang amat penting dan perlu diberi perhatian serius selain daripada melatih mereka bekerja kuat dan kreatif dalam menghadapi setiap cabaran serta tidak mudah lemah semangat dan cepat mengalah. Saya bimbang jika budaya suka memberi alasan ini terus menular di dalam masyarakat kita maka ia boleh memburukkan lagi keadaan yang sedia ada. Oleh yang demikian saya sentiasa mengingatkan diri saya supaya sentiasa berhati-hati apabila ingin memberikan alasan kerana saya takut ia akan memakan diri sendiri dan akhirnya terjerumus ke lembah kehinaan kerana orang mulai meragui kepercayaan terhadap kita.
Subscribe to:
Posts (Atom)
